Bayi
berkepala matahari itu datang lagi. Cahaya benderang dari wajahnya terkadang menyilaukan
mata. Dengan sepasang kepak kapas yang tumbuh dari tulang belakang dan peluh
yang menebakkan keharuman setanggi kasturi. Ah ! makhluk apakah ini ?
Bayi
itu terbang menghampiri. Salam dihulur dan sebaik sahaja bertaut cengkaman
tangan terus dibawa terbang tinggi melangit. Ini perjalanan ke syurga katanya.
Perjalanan ini tidak pernah dihiasi dengan permaidani merah dan mahkota indah.
Perjalanan ini dipenuhi azab neraka.
Dia
dibawa menelusuri segala ceruk yang belum pernah dilihatnya. Kadangkala ceruk
itu melapangkan hatinya dan kala lain cuak pula memenuhinya. Dia melihat jauh
di bawah sana segerombolan manusia rakus mencarik dan memamah tubuh sesama
mereka. Ada pula manusia yang dipanggang kaki hingga menggelegak otaknya.
Dia
dibawa ke kawasan lain. Kali ini yang dilihatnya begitu melapangkan jiwa.
Sebuah taman yang dihiasi bidadari-bidadari yang montok dadanya. Pohonan hijau
merimbun buahnya. Sungai berair putih mengalir sungguh menenangkan mata yang
memandang.
“Perjuangan
ini memerlukan mereka yang berkesedaran dan sentiasa menyucikan diri dari
segala debu-debu dosa yang menghitamkan.”
Baihaqi terjaga dari lena. Keringat peluh didahinya terasa bagai diperah-perah. Kepala terasa berat untuk diangkat. Jam tangan dikerling “oh baru jam 3.00 pagi” dia bermonolog. Kira-kira lagi satu jam setengah subuh akan menjenguk wajah.
Mimpi
peliknya itu datang lagi. Kali ini sudah masuk kali ke lima dia bermimpikan
perkara yang serupa. Terasa bagai mimpinya itu begitu dekat dengan diri.
Kadang-kadang dia keliru antara realiti, angan, dan mimpinya. Dia pernah
bermimpi angannya menjadi realiti, dan dia juga pernah berangan agar realitinya
hanyalah sekadar mimpi.
Isterinya
di sebelah masih nyenyak diulit mimpi. Zahrina az-Zarqa. Wanita ini dikenalinya
beberapa tahun yang lalu di Universiti Ahmad Kiftaro, Syria. Isterinya tua
setahun daripadanya. Kalau diikutkan pencapaian akademik, wanita yang di
sebelahnya ini bukanlah individu yang dicari oleh jabatan-jabatan pengajian
yang hanya memandang sijil dan akademik.
Seperti
gadis-gadis arab yang lain, isterinya mewarisi kecantikan wajah turun temurun.
Hidung mancung cantik terpasak, mata biru kehijauan, dan sedikit lekukan lesung
pipi terserlah apabila senyuman dilirikkan. Ah lelaki mana yang tidak tergoda
melihatnya.
Tapi
dia bukan seperti lelaki kebanyakan. Yang mengutamakan keelokan tubuh dan wajah
daripada kemolekan akhlak dan peribadi isteri. Darah pejuang yang mengalir di segenap
ruang tubuh isterinyalah yang menjadi penariknya. Isterinya berketurunan
pejuang. Az-zarqa. Cuba tanya sama dunia siapakah yang tidak pernah mengenali
Syeikh Musthafa az-Zarqa? Dan tidak perlu lagi diperincikan di sini bahawa isterinya
itu berketurunan gemulah pejuang Syeikh Musthafa az-Zarqa.
Baihaqi
mengelus lembut pipi isterinya. Gebu dan licin. Pipi yang gebu dan licin inilah
seringkali mencabar keegoan lelakinya. Kadang-kadang dia terasa begitu kecil
dan hina di hadapan wanita berdarah pejuang itu. Kesopanan dan kelembutan
wanita itu boleh berubah sekelip mata apabila membicarakan soal perjuangan
ataupun apabila terdengar berita kekejaman rejim Syria yang membantai penduduk
sunninya sesedap rasa.
Dia
beralih pula ke perut isterinya. Telinganya didekapkan ke perut. Mengikut
kiraannya hari ini genap 4 bulan isterinya mengandungkan anak mereka. Tap tap.
Tiba-tiba terasa telinganya bagai ditentang-tendang. Kandungan berusia 4 bulan
sudah mula menendang? Rasa teruja gembira dan cemas kehairanan bercampuran
menyelinap memenuhi relung perasaannya.
“Sayang,
bangun. Tahajjud jom. Subuh dah nak masuk ni.” Seperti biasa rutin hariannya istiqamah
dijalankan. Dia akan mengimami isterinya solat tahajjud, taubat, hajat dan
witir. Kemudian sebaik sahaja azan subuh berkumandang kakinya akan melangkah
menuju jami’ yang berdekatan. Kelebihannya di Syria ini jami’nya banyak dan
tersusun saling berdekatan. Jadi jika dia terasa bosan dengan bacaan seorang
imam jami’, dia akan berpindah berjemaah di jami’ lain.
Menjelang
hari cerah tanah, dia akan pulang ke rumah bagi menyelesaikan urusannya dengan
isteri tercinta. Mereka akan saling bertilawah al-quran dan membaca ma’thurat.
Ekoran revolusi pemberontakan rakyat Syria yang semakin meruncing , universiti
tempat pengajian dia dan isteri ditutup sudah hampir sebulan.
Semangat
juangnya tidak pernah sekali pun terjejas. Padanya proses pendidikan dan
pembelajaran itu bukan hanya terikat pada sistem silibus universiti sahaja.
Sistem pendidikan dan universiti sekarang adalah pusat penyelembelihan
mahasiswa yang terbesar di dunia jika pengurusannya disalah gunakan. Roh
keagamaan yang dihilangkan dari sistem pendidikan juga akan mempengaruhi
peribadi mahasiswa.
Dia
dan isterinya setiap hari bergilir-gilir membuat kajian dan pembacaan yang
dirasakan bermanfaat untuk diri dan agama. Hari ini gilirannya untuk
membahaskan hasil kajiannya di hadapan isteri tercinta.
Setelah
berasa puas dan mula bosan dengan pelajaran, dia dan isteri berehat menghimpun
daya seketika di dapur. Pagi ini juadahnya sekadar yang perlu sahaja. Sedikit
roti, buah-buahan dan secangkir kopi yang di jerang bersama beberapa biji buah
pelaga terasa sudah cukup bagi mengalas perut. Sejak kerajaan Syria melancarkan
sekatan berkala terhadap gas memasak, mereka terpaksa sedikit berjimat dengan
penggunaan gas memasak. Selagi mampu menjamah barang makanan yang tidak perlu
dimasak seperti buah-buahan, mereka akan menjamahnya.
Suiz
televisyen dipetik buka. Berita pagi Al-Jazeera sedang bersiaran. White House
hancur dibom. Dan suspek utama yang mendalangi pengeboman itu adalah kumpulan
al-Qaeda. Dan sedikit sebanyak kaum muslim dan agama islam itu sendiri mendapat
tempiasnya.
“Ah,
dunia islam semakin kelam bukannya disebabkan tekanan-tekanan yang diberikan
musuh-musuh islam tetapi disebabkan kerosakan peribadi umat islam itu sendiri.
Umat islam itu sendiri yang menjadi barah penyakit yang merobek-robek kesucian
agama islam itu dari dalaman.”
“Apa
al-Qaeda mengira bahawa dengan membunuh dan mengebom tempat-tempat kediaman
orang bukan islam itu satu pekerjaan jihad yang suci ? Jihad yang disarankan
islam ? Golongan seperti mereka inilah yang memberikan gambaran kepada dunia
bahawa agama islam itu hanyalah berkisar tentang perang, bunuh dan hukum”
“Tapi
abang, bukankah nabi dan para sahabatnya dahulu juga berperang melawan orang
bukan islam ?” Soal isterinya.
“
Tidak. Nabi tidak berperang hanya dengan alasan bahawa yang diperanginya itu
tidak mahu memeluk islam. Islam tidak pernah mengajar sebegitu. Islam mengajar
bahawa mereka yang patut kita perangi adalah mereka yang memberi ancaman dan
mereka yang memusuhi islam sahaja. Bukannya mereka yang tidak mahu
mengisytiharkan diri sebagai muslim.”
“Islam
itu datang dengan cinta dan kerahmatan. Kerahmatan untuk sekalian alam. Bukannya kerahmatan untuk orang-orang islam
sahaja malah untuk orang bukan islam juga. Islam tidak pernah memaksa seseorang
itu untuk memeluk islam. Memaksa orang untuk memeluk islam itu adalah satu
kezaliman yang berselindung di sebalik nama islam.”
“Untuk
mereka agama mereka, dan untuk kita agama kita."
------------------------------
------------------------------
Jemaah
kelas pengajian Fiqh Sirah oleh Dr. Ramadhan di Jami’ Umawi pada hari itu agak
sesak. Tetapi tidak sesesak dahulu, sebelum revolusi kebangkitan rakyat Syria
mula menular. Jika sebelum ini jemaah penuntut ilmu memenuhi segenap ruang
solat Jami’ Umawi, tetapi sekarang bilangannya semakin susut sekadar memenuhi
sepertiga ruangan solat.
Mungkin
semenjak Dr. Ramadhan mengeluarkan kenyataan konstroversi yang sedikit berbaur
seakan-akan menyokong kerajaan zalim Bashar al-Assad, para pelajarnya yang
tidak bersependapat mengambil keputusan untuk tidak lagi menghadiri apa-apa
kelas pengajiannya. Mungkin pada mata mereka tokoh agama yang mereka sanjungi
selama ini, yang mengajarkan erti semangat dan perjuangan kepada mereka telah
jatuh tersungkur dengan ujian yang dihadapinya. Mungkin pada mata mereka tokoh
yang telah membimbing mereka selama ini dengan dayusnya telah menyerahkan diri
kepada kebatilan dan kezaliman.
“Aku
memang agak sedikit kecewa dengan Dr. Ramadhan kali ini. Bukannya aku mahu
berburuk sangka dengannya, aku hormati dia sebagai seorang ulama’ tetapi
kenyataan yang dia keluarkan sebelum ini memang sangat mengecewakan hati
rakyat.” Kata-kata Arif, sahabatnya mula terngiang-ngiang di telinga.
“Tapi
Arif, dia itukan ulama’ yang orang kata sudah sampai tahap mujtahid. Mesti dia
tahu apa yang dia buat.”
“Sedangkan
sahabat-sahabat nabi pun melakukan kesalahan, inikan pula dia. Sebenarnya bukan
aku tak pernah nak berbaik sangka dengan Dr. Ramadhan, tetapi sudah penat aku
fikirkan apakah hikmahnya Dr. Ramadhan tidak menyokong perjuangan kebangkitan
rakyat. Apa dia tidak punya hati dan perasaan melihat umat islam dan bukan
islam dibunuh kejam sebegitu rupa.” Arif meluahkan ‘dendam’ yang lama terbuku
dalam hati sebelum ini.
“Sebelum
ini aku pun ada terfikir macam yang kau fikirkan itu. Tapi setelah aku buat
sedikit kajian dan pembacaan barulah aku tahu apakah rahsia di sebalik
kenyataan Dr. Ramadhan itu. Ternyata pemikiran doktor itu mempunyai kebaikan
yang lebih besar kepada negara Syria dan umat islam itu sendiri.”
“Apakah
rahsianya ? Cuba kau jelaskan padaku sementara pintu berbaik sangkaku pada Dr.
Ramadhan masih sedikit terbuka.”
“Selelah
manapun kita berfikir mencari hikmah di sebalik kenyataan doktor itu, akhirnya
perlu kita soalkan pada diri sendiri sebesar manakah kelelahan kita berfikir berbanding
kepenatan ulama’ mujtahid itu berfikir.”
Baihaqi
menerangkan bahawa sebenarnya Dr. Ramadhan bukannya tidak mengambil peduli akan
kezaliman yang berlaku ke atas umat islam Syria. Sebenarnya dia sedang
memandang kepada maslahah yang lebih besar dan penting untuk masa hadapan.
“Segalanya
telah terperinci dilakarkan. Plot-plot ceritanya telah lama disusun rapi. Dan
yang hanya tinggal adalah usaha untuk menghidupkan watak dan perwatakan serta
jalan ceritanya di atas dunia realiti ini. Kezaliman Bashar al-Assad selama ini
telah diguna pakai oleh pihak yang berkepentingan sendiri untuk masuk ke dalam
sistem pemerintahan Syria.”
“Ceritanya
mudah. Bashar al-Assad sebagai watak jahat manakala ‘pihak berkepentingan
sendiri’ sebagai hero atau watak baik yang akan datang menyelamatkan rakyat
pada penghujung cerita. Manakala askar-askar yang melakukan keganasan dan
rakyat-rakyat yang memberontak adalah watak-watak sampingan yang akan
menghidupkan watak dan perwatakan watak utama.”
“Dunia
perlu melihat bahawa kerajaan Syria itu zalim. Rakyat Syria sedang menghadapi
tekanan hidup dan memerlukan kedatangan seorang hero yang akan menyelamatkan
mereka. Rakyat Syria perlu dilihat seakan-akan mengalukan kedatangan seorang
penyelamat. Dan pada waktu itulah ‘pihak berkepentingan sendiri’ akan datang
sebagai penyelamat rakyat. Dan semestinya segala penghargaan dan pujian akan
diberikan kepada mereka.”
“Bukannya
aku kata kebangkitan rakyat itu suatu keburukan, tetapi kebangkitan rakyat
tanpa diiringi dengan kefahaman yang jelas dan tiada nilai agamanya, maka itu
adalah sesuatu yang lebih merugikan. Jangan disebabkan semangat ‘jihad’ dan
semangat darah muda kita, kita pula yang menjadi kuda tunggangan mereka.”
Ucapan
penutup kuliah Dr. Ramadhan menarik Baihaqi kembali dari khayalannya. Dia
bingkas bangun dari tempat duduk dan bergerak ke arah selatan jami’ menuju
pintu keluar. Pandangannya sekali sekala ditumpahkan ke atas fusaifusak (ukiran
mozek) yang terukir di dinding jami’. Unsur pohon, buah dan sungai yang terukir
membuktikan bahawa bumi Syam ni pernah menjadi bumi yang indah, damai dan penuh
keadilan.
Pada
zaman awalnya, tapak jami’ ini menjadi tempat suci bagi tuhan semitik hadad.
Setelah beberapa ketika pihak kristian mendominasi kawasan sekitarnya, mereka
mula membina gereja di atas tapaknya bersempena John The Baptis (Nabi Yahya
a.s). Setelah itu islam datang membawa cahaya kebenaran dan keadilan untuk seluruh
penduduknya. Yang lebih mengagumkan lagi setelah kedatangan islam penganut
kristian tidak pernah dipaksa untuk meninggalkan agama lama mereka mahupun
dipaksa untuk tidak lagi beribadah di kawasan tersebut. Islam membuka ruang
kebebasan beragama sepenuhnya kepada mereka.
“Abang,
ini zaman fitnah. Zaman antara yang hak dan yang batil sudah tidak dapat
dibezakan lagi, bercampur baur. Zaman orang lebih mengutamakan ilmu dan
perdebatan berbanding adab dan kesopanan. Zaman umat islam dengan mudahnya
berpecah-belah antara satu sama lain. Perbezaan politik, aliran fahaman malahan
sekadar perbezaan pendapat dalam perkara yang remeh-temeh pun sudah mampu
menjadi alasan untuk umat islam berpecah-belah.” Kata isterinya suatu ketika
dahulu.
Baihaqi
mengambil kasut yang diletaknya di atas rak dan terus disarungkan ke kaki.
Belum sempat dia berdiri tegak daripada duduk untuk mengikat tali kasut,
sayup-sayup kedengaran suara seseorang memanggil namanya. Dari kejauhan kelibat
Arif semakin dekat menghampiri.
“Baihaqi,
isteri kau dah nak bersalin. Sekarang dia berada di Hospital Bab Musolla. Aku
dengan isteriku yang membawanya ke hospital.”
Baihaqi
terlongo seketika. Pelbagai persoalan meluru laju masuk ke dalam kotak fikirannya.
Sambil kakinya lincah mengatur larian, dia mencongak di dalam kepala bahawa
hari ini baru masuk bulan ke lapan isterinya mengandung. Hatinya mula dipaut
rasa tidak selesa. Gembira, takut, sedih dan teruja mula membolak-balikkan
perasaannya. ‘Akan sempurnakah anakku ini nanti ? Cukupkah beratnya ?”
“Encik
ini suami Puan Zahrina az-Zarqa kan? Tahniah, isteri encik telah selamat
bersalin sepasang anak kembar. Cumanya…”
Doktor
yang bertanggungjawab menguruskan isterinya menceritakan bahawa ketika
anak-anaknya dilahirkan, mereka tidak menangis seperti kebiasaan. Sudah puas
para doktor dan jururawat menampar-nampar lembut punggung mereka, tetapi
reaksinya tetap sama sahaja. Hanya tersenyum dan bukannya menangis.
Agaknya
memang begitu. Mereka dilahirkan bukan untuk menangisi tetapi untuk
menggembirakan. Bukan untuk pasrah dan mengalah tetapi untuk bangkit dari
menyerah kalah.
------------------------------
------------------------------
Malam
21 ramadhan itu bulan balam-balam kelihatan terlindung di balik awan. Sahur
kali ini giliran Baihaqi memasak. Entah mengapa masakannya kali ini terasa
tawar dan hambar walaupun sudah beberapa kali dia menambah garam dan bahan
perasa ke dalamnya.
Setelah
selesai segala persiapan untuk bersahur dia bergegas mempersiapkan diri dengan
wudhu’ dan jubah lengkap berkopiah. Malam ini janjinya dengan kawan malizinya,
Arif akan bersama-sama beriktikaf dan berqiamullail di Jami’ Rifa’ie. Saban
tahun setiap kali menjelang malam-malam sepuluh terakhir di bulan ramadhan
pihak pengurus Jami’ Rifa’ie akan mengadakan qiamullail secara besar-besaran.
Arif.
Dia mula mengenali kawan malizinya itu kira-kira 5 tahun yang lalu. Pada ketika
itu dia sedang berada di perpustakaan universiti pengajiannya. Sedang sibuk
menyiapkan assignment yang diberikan doktor.
“Assalamualaikum.
Keif halak. Syu akhbaarak. Kullu isyi tamam bi fadhlillah.” Arif mula
memberanikan diri untuk menyapanya.
“Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah jakhoh. Ahlien.” Jawabnya ringkas.
Ya,
pada mulanya ingin terderai juga tawa gelekeknya apabila mendengar teguran Arif
itu. Dengan nada menghafal dan sebutan sebutir-sebutir, Arif dilihatnya seolah
sedang memperdengarkan hafalannya kepada guru. Dan dia berasa dirinya bagai seorang
guru yang sedang mendengar hafalan anak muridnya.
Walaupun
getar-getar cuak jelas kedengaran dari pertuturan Arif, tetapi satu perkara
yang mengagumkannya terhadap Arif adalah dia tidak pernah berasa malu untuk
mencuba dan melakukan kesalahan. Arif juga seperti kebanyakan pemuda melayu
yang lain. Bersopan santun dan penuh kelembutan. Tetapi kelebihannya berbanding
yang lain adalah dia pandai meletakkan sifat malunya itu pada tempat yang
sepatutnya.
Terkadang
dia juga naik muak melihat sifat pemuda melayu kebanyakan. Terlalu ‘bersopan’
dan ‘beradab’. Takut untuk mencuba sesuatu dan takut untuk melakukan kesilapan.
Lebih ‘perempuan’ daripada perempuan.
Malam
itu Jami’ penuh sesak tidak seperti kebiasaan. Jemaah bukan setakat memenuhi
segenap ruang solat jami’ malah sehingga memenuhi lantai perkarangan jami’. Sepanjang
umur hidupnya di bumi Syria ini, belum pernah dia melihat jemaah datang
berqiamullail seramai ini.
Gerai
penjaja yang berjejeran di sepanjang jalan ke jami’ juga banyak tidak seperti
kebiasaan. Mahu cari pendapatan lebih agaknya, dia menerka.
Sebelum
dia melangkah kaki masuk ke dalam kawasan jami’, Arif yang lebih awal tiba
datang menyapa. Mereka bersalaman dan berpelukan. Setelah berbasa-basi seketika
mereka melangkah masuk ke ruang solat sebaik sahaja bilal melaungkan iqamah.
Tahajjud, Tasbih, Taubat, dan Hajat mereka dirikan. Dan pada rakaat terakhir
solat Hajat imam membacakan doa Qunut Nazilah. Doa semoga Allah menghantar bala
tentera-Nya turun ke bumi bagi membantu rakyat Syria. Air mata tiada lagi
terbendung dan mengalir laju menjadi minyak pembakar semangat perjuangan. Suhu
dan suasana jami’ berubah mendadak.
“As-shab
yurid isqoto an-nizhom !” Sejurus sahaja imam memberikan salam pada tahiyat
akhir, para jemaah mula melaungkan slogan-slogan revolusi.
“Rakyat inginkan kejatuhan kerajaan !” Jemaah bangun dan
terkinja-kinja menzahirkan ketidakpuasan perasaan terhadap kerajaan. Buku lima
yang dikepalkan dijulang ke langit sebagai tanda kebersamaan dalam perjuangan.
Ada juga yang menjulangkan dua jari telunjuk dan jari tengah sebagai tanda
hanya ada dua pilihan di hati, dua pilihan yang tiada pilihan ketiga, syahid
terkorban atau kemuliaan kemenangan.
“Kpraang..!”
dari tingkat atas jami’ kedengaran bunyi kaca dipecahkan. Bom asap mula
dilemparkan ke dalam ruangan solat jami’. Asap pedih yang membataskan
penglihatan jemaah mula tertebak ke seluruh ruangan solat. Anggota elit yang
lengkap bertopeng dan berpakaian hitam melompat masuk melalui tingkap yang
dipecahkan.
Tanpa
sebarang sebab dan soalan anggota elit mula menyerang jemaah yang berada di
tingkat atas jami’. Jemaah yang kelihatan cuba untuk mempertahankan diri
dipukul dan ditibai dengan cota keras. Dua tiga orang jemaah yang bimbang
diapa-apakan anggota elit bertindak terjun ke aras bawah jami’ bagi
menyelamatkan diri. Kehangatan suasana jami’ sampai ke puncaknya.
Bagai
babi gila ditusuk besi panas, anggota elit mula menghancurkan rak-rak tempat
menyusun al-quran. Tidak puas dengan itu mereka melemparkan rak-rak tersebut ke
aras bawah jami’, ke atas kepala para jemaah. Hilang rasa hormat, hilang cinta
dan hilang kemanusiaan. Kini rumah Allah ini tidak lagi menjadi tempat
perdamaian malah menjadi tempat pembunuhan !
Syeikh
imam jami’ meminta kepada jemaah supaya bertenang. Memandangkan subuh sudah
hampir masuk waktunya, jemaah diminta supaya bertenang bagi memberi laluan
kepada solat. Pasukan elit yang gila itu jika dilayan dengan keras akan
bertambah lagi kegilaannya.
Memikirkan
perkara yang lebih besar dan utama, Baihaqi dan Arif mengikuti permintaan
syeikh imam. Mereka bersama ramai golongan tua dan beberapa kerat golongan muda
berkumpul berhampiran syeikh imam. Golongan muda yang lain, yang masih panas
darahnya terus menerus melaungkan slogan revolusi. Masih terus menerus
mempertahankan diri dari asakan pasukan elit yang semakin menggila.
Hampir
setengah jam jemaah bersesak nafas diasak pasukan elit gila. Suasana tegang
semakin mengendur. Kedua-dua pihak mula bernafas pendek, lelah dan mengah.
Pihak pengurusan jami’ mengarahkan jemaah yang tidak ingin terlibat dengan
tunjuk perasaan agar menyelusup keluar dari pintu belakang jami’.
Tanpa
berfikir panjang Baihaqi dan Arif bergegas keluar melalui pintu yang
disarankan. Pada mulanya lorong keluar kelihatan agak lengang dan selamat.
Hanya kelihatan beberapa orang penjaja jalanan sedang kalut membungkus segala
barang jajaan.
Menyedari
beberapa orang jemaah mula menyelinap keluar dari pintu belakang jami’, dengan
mata penuh nafsu para penjaja jalanan menyeluarkan cota pemukul dan menerpa
rakus jemaah jami’.
“Celaka
! Syabih (mata-mata) polis..!” Teriak Baihaqi terbungkam di kerongkong.
Cota
dijulang tinggi ke langit dan laju menjunam menepati belakang kepala Arif. Dia
tersembam ke tanah. Pedih. Cecair merah mula membasahi jubah putihnya. Bagai
semut menggerumuni manisan, para syabih mula melempiaskan nafsu masing-masing
memukul dan menghentak Arif.
“Ya
haram..! sahabatku ini orang Malaysia. Tetamu kita, bangsa arab. Mengapa kalian
memukulnya ? Apakah salahnya pada kalian ?”
Soalan
Baihaqi tiada terjawab. Dia mula bertindak kasar membela nasib malang
sahabatnya. Dan seperti yang dijangka, dia juga mendapat habuannya. Mendapat
tendangan silang di pinggang sebelah kiri dan beberapa das tumbukan padu tepat
di batang hidungnya sudah cukup membuatkannya tidak tidur semalaman.
Penglihatannya
semakin kabur. Kepalanya terasa berat bagai dihenyak tayar lori 10 tan. Seluruh
kudratnya yang berbaki ditumpukan ke atas kakinya. Dia ingin memecut lari
menyelamatkan diri. Dia mencari kelibat Arif di kesesakan jemaah jami’. Dari
sudut sedikit tersorok dia terlihat dengan jelasnya seorang syabih melepaskan
tiga das tembakan dari sepucuk revolver tepat ke dada kiri Arif.
Ingin
saja dia menerpa menyelamatkan rakannya itu, paling kurang menyelamatkan tubuhnya.
Tetapi keadaan yang semakin getir dan ganas memaksanya lari meninggalkan
kawasan tersebut. Dengan hati yang berat, kakinya dipaksa berlari meninggalkan
tubuh rakannya yang kian terkulai layu dihurung para binatang yang semakin
kehilangan akalnya.
------------------------------
------------------------------
Hampir seminggu sudah berlalu
peristiwa malam yang getir itu. Sejak seminggu itu jugalah jiwa Baihaqi yang
selama ini bersabar memikirkan hikmah dan teguran yang mungkin Allah selitkan
dalam revolusi perjuangan rakyat Syria ini, kian tumpul dan tipis tahap
kesabarannya.
Jiwanya kini jiwa seorang
pemberontak. Pemberontak yang ingin mempersoalkan ke mana menghilangnya nilai
keadilan sebuah kerajaan dan ke mana ghaibnya nilai kemanusiaan.
Malam itu dia pulang dalam keadaan
ketakutan. Peluh yang membasahi dahi terasa begitu dingin. Dingin ketakutan.
Tubuhnya menggigil laju lagaknya budak berjumpa hantu.
Setelah beberapa ketika, peluhnya
yang tadi terasa dingin mula membahang membakar jiwanya. Hatinya mula
membengkak penuh dendam. Hutang nyawa perlu dibayar nyawa dan bukannya sekadar
bayaran perjanjian ataupun bayaran sujud meminta kemaafan.
“ Semoga tuhan melaknat kamu, kaum
keluargamu dan para pengampumu..wahai Bashar al-Himar !”
Dia menanam tekad walau bagaimana
cara sekalipun darah Arif tetap perlu dituntut. Darah sahabat karibnya, darah
para penuntut keadilan yang terkorban, darah para ibu keguguran kandungan dan
darah para dara yang dirampas kehormatan perlu dituntut bayaran. Biarpun
tuntutannya memerlukan darahnya mengalir, dia mampu dan tekad.
“ Bersabarlah wahai ayahku, sesungguhnya Allah sedang
berbicara denganmu. Sedang berbicara dengan kaum muslimin keseluruhannya.”
Tiba-tiba anaknya yang baru berusia
kira-kira setahun itu berbicara.
“ Allah sedang menegur rakyat Syria.
Sama seperti palestin, dahulu kaum muslim di bumi Syria sangat menjaga agama
dan akhlak mereka. Tetapi sejak kebelakangan ini pegangan agama mereka semakin
goyah. Rasa malu dan akhlak baik telah mereka cabut dari wajah mereka dan
anak-anak mereka. Para wanita sudah tidak berasa bangga memelihara maruah diri.
Tetapi ayah, sepatutnya kita
bersyukur kerana Allah menurunkan balanya dalam bentuk kesusahan dan rasa
tertindas. Kita lebih beruntung berbanding masyarakat islam di negara lain yang
Allah turunkan balanya dalam bentuk kesenangan, kemewahan dan maksiat.
Sekurangnya apabila kita rasa lemah tertindas dengan manusia, kita akan lebih
mengingati dan dekat dengan-Nya. Andai kata kita diuji dengan kesenangan, takut
sekiranya kita tidak dapat menyedari bahawa kesenangan yang melimpah ruah itu
sebenarnya adalah bala dari Allah.
Mungkin Allah melambatkan kemenangan
di bumi palestin dan Syria ini untuk melatih para tentera-Nya. Supaya dapat
ditapis para penolong agama-Nya yang berkualiti daripada mereka yang picisan.”
Baihaqi dan isterinya terkesima.
Lidahnya terasa kaku untuk mengeluarkan sebarang perkataan. Terasa bagai
keajaiban dunia yang ke lapan baru sahaja berlaku di hadapan mata kepalanya.
Anaknya sekecil itu sudah mampu petah berkata-kata.
Esoknya matahari terbit dengan penuh
megah. Burung-burung merpati dengan berbekalkan tawakkal keluar lebih awal dari
kebiasaan demi mencari rezeki untuk anak-anaknya di sarang. Sebelum matahari
terpacak tegak di atas kepala, Baihaqi keluar membawa anaknya bertemu Syeikh
Ramadhan di Jami’ Umawi.
Baihaqi menceritakan Syeikh tentang
peristiwa ajaib yang terjadi kepada anaknya semalam. Dia turut menceritakan
bagaimana amarahnya boleh meledak setelah melihat sahabat karibnya ditembak
mati kira-kira seminggu yang lepas.
Tanpa sempat Syeikh memulakan
bicaranya, anak Baihaqi mula bersuara. Dia menegur sikap Syeikh yang terlalu
berdiam terhadap revolusi rakyat Syria ini. Katanya dia juga bersetuju dengan
pendapat yang Syeikh keluarkan selama ini. Tetapi yang menjadi persoalannya
sampai bila Syeikh perlu berdiam diri.
Setelah puluhan bayi disembelih,
ratusan isteri menjadi janda dan ribuan anak kehilangan ibu mereka, apakah
masih ada lagi ruang untuk berdiam diri dan berserah nasib begitu sahaja.
Sampai bilakah umat islam perlu hidup dalam kehinaan sebegini rupa. Dibunuh,
dirogol dan dirompak habis-habisan masihkah perlu berdiam sahaja.
Manik-manik jernih yang dibendung
sejak tadi akhirnya terurai juga. Syeikh mengatakan kemungkinan kemenangan
sudah semakin hampir. Mungkin Allah telah menurunkan pertolongan dan bala
tentera-Nya dalam bentuk bayi-bayi yang petah berkata-kata. Menurunkan mereka
mungkin bukan untuk mengangkat senjata, tetapi untuk menyedarkan para penolong
agama-Nya yang sekian lama terlena dengan dunia.
Perjuangan Gaza dan Syria memerlukan
para pejuang yang sentiasa membersihkan hati dan diri dari segala kekotoran.
Perjuangan yang memerlukan para pejuangnya sentiasa memperbaiki kekurangan dan
ke’aiban diri.
“Perjuangan ini memerlukan mereka
yang berkesedaran dan sentiasa menyucikan diri dari segala debu-debu dosa yang
menghitamkan.”
Dan mereka yang kononnya mengaku
diri sebagai pejuang agama tuhan dengan melaungkan slogan-slogan perjuangan di
pagi hari tetapi pada malamnya tetap hanyut juga dengan kefanaan dunia, mereka
inilah yang mencacat lambatkan kemenangan. Mereka yang pada malam harinya
bersemangat menuntut keadilan tetapi subuhnya hilang dibuai keletihan.
Syeikh membawa Baihaqi dan anaknya
berjumpa dengan para bapa dan bayi-bayi kecil yang lain. Katanya kes yang
berlaku kepada bayi-bayi ini semua mirip dengan keajaiban yang berlaku pada
anak Baihaqi.
Semua bayi ini dilahirkan kembar
sepasang lelaki dan perempuan. Semuanya berumur dalam lingkungan setahun atau
dua tahun. Dan seperti anak Baihaqi, bayi-bayi ini juga petah berpidato
menyedarkan rakyat Syria akan bala yang sedang melanda negeri mereka. Setelah
kesedaran dapat dikembalikan ke dalam jiwa mereka, barulah semangat perjuangan
dipasak kukuh ke dalam sanubari mereka.
Kini perjuangan rakyat Syria berubah
coraknya !
------------------------------
------------------------------
Gerakan membunuh bayi-bayi dan
kanak-kanak kecil habis-habisan dilancarkan Bashar Asad. Tidak dipeduli sama
ada melalui cara ditembak, dibelasah mahupun disembelih, yang penting semua
bayi mesti dihapuskan.
Bayi-bayi ini telah memberi ancaman
kepada pihak kerajaan dengan memberi pidato yang menyedarkan dan membangkitkan
semangat perjuangan rakyat. Semakin lantang pidato yang mereka berikan, semakin
ramai bayi dan kanak-kanak dibunuh.
Kaum bapa juga memainkan peranan
yang penting dalam membangkitkan kesedaran rakyat. Mana-mana anak mereka yang
lantang dan bernas melontarkan pidato dibawa oleh bapa mereka ke mimbar-mimbar jami’
dan juga pasar. Mereka bagaikan sudah lali dan tidak lagi takut akan ancaman
yang diberikan musuh tuhan, musuh keadilan dan juga musuh kemanusiaan.
Khutbah jumaat di Jami’ Umawi hari
ini seperti kebiasaan disampai oleh Syeikh Ramadhan. Nada khutbah jumaat kali
ini semakin berbeza dengan bulan-bulan sebelumnya. Syeikh semakin lantang
menyokong perjuangan rakyat menuntut keadilan.
Setelah selesai salam solat jumaat
diberikan, anak Baihaqi meminta izin daripada Syeikh untuk memberi sedikit
pidato di atas mimbar jami’. Dengan senang hati Syeikh memberikan keizinan
kepadanya untuk menyampaikan apa yang ingin disampaikannya.
Sebelum melangkah menaiki mimbar dia
terlebih dahulu bersalaman dan mengucup tangan Syeikh memohon restu. Baihaqi
memimpin anaknya menaiki setiap anak tangga untuk ke atas mimbar.
Jemaah yang memenuhi segenap ruang jami’
memberi perhatian sebaik sahaja anak Baihaqi memberi salam. Sesetengahnya
berasa kaget kerana belum pernah mendengar pidato yang disampaikan oleh seorang
anak sekecil itu.
Pidato yang lantang disampai
membangkitkan semangat para jemaah. Dia menyampaikan bahawa di saat ini setiap
jiwa dalam kalangan masyarakat umumnya dan para pemerintah khususnya semakin
hilang rasa untuk bermuraqabatullah.
Jiwa-jiwa muslim saat ini semakin
tidak merasa bahawa Allah itu lebih dekat dengan mereka daripada urat leher
mereka. Muslim hari ini sudah tidak merasakan lagi bahawa setiap saat dan
setiap hembusan nafas mereka berada dalam pemerhatian Allah.
Oleh itu, jiwa-jiwa muslim hari ini
sudah tidak merasa takut lagi untuk melakukan kesalahan dan maksiat. Rasa malu
yang telah ditanggalkan dari hati mereka menyebabkan mereka berasa bangga
melakukan maksiat secara terang-terangan.
Dia juga menasihati masyarakat agar
sentiasa berjuangan dalam keadaan penuh kesedaran dan bukan hanya penuh dengan
emosi semata. Katanya perjuangan yang hanya berpaksikan emosi semata mungkin
akan lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan.
Katanya wajib bagi setiap muslim
mempertahankan harta dan maruahnya daripada dirampas oleh orang lain. Dia
membacakan hadis yang mengatakan bahawa barang siapa yang terkorban kerana
mempertahankan harta miliknya, maka dia mendapat syahid.
Sebaik sahaja mendengar perkataan
syahid, semangat para jemaah terbakar hebat. Laungan takbir bergema memenuhi
setiap ruangan jami’.
“Bang..!”
Gegak gempita jemaah terdiam
seketika apabila terdengar satu das tembakan. Salah seorang daripada jemaah
bingkas bangun dan meluru ke arah mimbar dan “bang..!”, satu lagi das tembakan
dilepaskan.
Laungan takbir semakin kuat dan
keras dilontarkan. Jemaah menyerbu ke arah individu yang melepaskan tembakan.
Anak Baihaqi jatuh terpelanting ke
belakang. Baihaqi yang sejak tadi memerhatikan anaknya dari bawah mimbar
tergesa-gesa mendapatkan anaknya. Dilihatnya ada dua kesan tembakan pada dada
dan leher anaknya.
Dia memangku anaknya yang kian
lemah. Dunia terasa begitu gelap padanya. Dia meraung kegilaan. Anaknya berkata
kepadanya agar bersabar dan tidak terlalu bersedih akan ujian yang menimpa ini.
“ Sesungguhnya aku hanyalah pinjaman
Allah buatmu. Aku dihidupkan untuk menyedarkan masyarakat akan hakikat
perjuangan ini. Hakikat kehidupan ini. Hakikat untuk berjuang dalam landasan
kesedaran dan bukannya emosi.
Jika hari ini aku diangkat kembali
ke sisi ilahi, esok pasti lebih ramai ‘aku’ yang akan dilahirkan ke dunia ini.”
Syahadah terakhir diucapkannya dan
nafas terakhir dihembuskannya di atas pangkuan Baihaqi. Syeikh Ramadhan segera
mendapatkan microfone dan mengatakan bahawa wajib ke atas setiap jiwa muslim
berjihad dalam keadaan sedar menentang kezaliman. Dia memfatwakan bahawa telah
tiba masanya untuk mengangkat senjata.
Perjuangan baru bermula !
cuma latar tempat kelihatan berterabur. pembaca kurang pasti di mana latar tempat yang dimainkan peran semasa plot pertengahan. hanya untuk pertambahbaikan saja. saya seronok baca penulisan anda. :)
BalasPadamTerima kasih atas saranan. i.Allah lepas ini akan lebih teliti dalam pemilihan latar tempat.
BalasPadambez la
BalasPadambagus,cantik dan menarik isinya tetapi terlalu panjang.. Ada orang yang x boleh baca panjang-panjang dan ada juga yang rajin nak baca. kalau boleh buat secara bersiri(1 siri lebih kurg 200-300 patah perkataan), barulah orang akan seronok nak baca dan tahu apakah yang akan terjadi seterusnya..
BalasPadamyusuf..terima kasih atas saranan. i.Allah lepas ni boleh belajar sikit2 utk versi bersiri ni..
BalasPadamsiapa nama anak Baihaqi??
BalasPadamanak baihaqi tak letak nama dia sebab takut nanti banyak sangat nama watak dalam cerita. Takut serabut kepala jaa.
BalasPadamTakpun anda sahaja lah yang tolong letakkan nama dia. ^_^