Rabu, Julai 18

Tawassul



      Luqman bingkas bangun dari tanah tempat duduknya. Seluar yang berdebu itu dia kibaskan. Dia menapak perlahan menghampiri guru silatnya. Malam itu rasa ingin tahunya tidak terbendung lagi.

Walaupun hatinya dipenuhi rasa tidak puas dan tidak selesa, tetapi riak muka dan langkahan kakinya tampak bersahaja. Kata ibu kebencian kita terhadap seseorang itu tidak boleh dizahirkan dengan akhlak buruk dan kelakuan kita. Rasa benci itu mestilah kita simpan di dalam hati sahaja.

Dan dengan pesanan ibu itulah luqman sentiasa bersopan-santun dengan semua orang. Tetapi mungkin pada malam itu perasaan ingin memberontaknya sudah sampai ke kemuncak.

“Kenapa kita mesti meminta bantuan daripada pak syeikh yang sudah lama meninggal itu ? Tidak bolehkah kita hanya memulakan latihan silat ini tanpa meminta bantuan darinya ?” Persoalan yang dipendamnya selama ini dilontarkan.


“Man kena faham, sekarang kita hidup di dunia yang sangat mencabar. Tanpa kekuatan dari dunia ghaib kita akan mudah dikalahkan. Dan disebabkan pak syeikh sedang berada di dunia ghaib, maka kita patut meminta kekuatan darinya.”



“Tetapi kenapa kita tidak meminta kekuatan itu terus dari Allah ? Kenapa kita perlu memintanya daripada pak syeikh yang sudah meninggal itu ?”



“Siapalah kita ini disisi tuhan. Kita ini lemah dan hina. Pak syeikh soleh dan mulia. Dia lebih dekat dengan tuhan. Man nak tahu kisah nabi Adam memohon ampun dari tuhan ?”

Man mengangguk perlahan.

“Ketika nabi Adam memohon ampun dari tuhan, dia berkata moga dengan keberkatan nabi Muhammad, tuhan terima taubatku.”

“Tetapi bukankah nabi Muhammad itu datang setelah nabi Adam. Bagaimana pula nabi Adam mengetahui kewujudan insan yang masih belum pun dilahirkan ? Nabi Adam hanya tahu apa yang diajarkan Allah kepadanya. Tidak lebih dari itu.” Man mula mengemukakan rasa ingin tahu dan keganjilan yang dirasainya selama ini.

“Sebab ketika nabi Adam mengangkat kepalanya setelah ditiupkan roh, dia ternampak ukiran nama nabi Muhammad pada tiang-tiang arasy. Dan dengan berkat nabi Muhammad, tuhan menerima taubat nabi Adam.”

"Dan kemudian tuhan berkata kalaulah tidak kerana Muhammad, tidak Aku jadikan engkau."

Rasa ingin tahu dan rasa pelik Man semakin menjadi-jadi.

“Baiklah kalau ustaz cakap begitu. Cumanya satu sahaja lagi ingin saya tanyakan. Dari manakah sumber yang ustaz ambil yang mengisahkan taubat nabi Adam ini ?”

“Sumbernya dari salah satu hadis nabi Muhammad. Tetapi ustaz sudah lupa hadis yang mana satu.”

Seperti yang dijangkakan luqman, seperti biasa jawapannya tetap saja sama. Katanya hadis nabi tetapi sumber entah dari mana diambil. Luqman sudah bosan dengan sandiwara ini.

“Adakah benar hadis yang ustaz ceritakan itu keluar dari mulut yang mulia rasulullah ? Setahu saya kisah yang ustaz ceritakan ini berlawanan dengan ayat al-quran ke 56 daripada surah az-zariyat. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Luqman semakin berani melontarkan hujah-hujah yang dibacanya selama ini.

“Adakah benar Allah mengatakan bahawa jika tiadanya nabi Muhammad, maka Dia tidak akan menciptakan nabi Adam dan dunia ini ? Bukankah ianya kelihatan seperti tujuan penciptaan nabi Adam dan makhluk lain adalah untuk nabi Muhammad ?”

“Sedangkan Allah secara jelas menyatakan bahawa semua makhluk dicipta hanya semata-mata untuk memperhambakan diri pada-Nya.

Ustaz kelihatan mati akal untuk menjawab hujah yang dilontarkan luqman.

“Tidak mengapa. Mungkin belum sampai masanya man faham ilmu ini. Ilmu ini bukannya semua orang mampu memahaminya. Jika man bersungguh-sungguh belajar, nanti man akan faham juga ilmu ini.”

Cis ! Mahu sahaja luqman membalas hujah (alasan) ustaz itu dengan kutukan. Dia paling pantang bila orang yang mati akal berdebat dengannya menggunakan alasan sebegitu rupa. Padanya itu adalah alasan bagi orang-orang yang penakut dan dayus.

Andai alasan “mungkin awak belum memahami” ataupun alasan “lambat-laun awak akan faham juga” boleh menunjukkan kebenaran sesuatu gerakan itu, maka gerakan penyesatan dan penyelewengan agama juga boleh menggunakannya. Maka dimana lagi letaknya perbezaan antara yang hak dan yang batil ?

Itu belum lagi ditanya mengenai pencak silat yang sedang dipelajarinya. Pencak silat yang kononnya dapat meningkatkan kadar iman dan taqwa. Orang lain bersusah payah beramal solat, puasa, dan membaca al-quran untuk meningkatkan taqwa, mereka hanya dengan bersilat sahaja sudah mampu meningkatkan iman dan taqwa.

Dan jika ditanya sekalipun, pasti jawapannya sama sahaja.

Awak belum faham.

Lambat-laun awak akan faham.

                                                            *****

Petang itu Aisyah tekun memotong sayuran bersama adik-adiknya. Walaupun mereka tiada pertalian darah, tetapi hubungan sesama mereka yang tinggal di rumah anak-anak yatim itu tidak tumpah seperti adik-beradik kandung. Dan Aisyah sebagai kakak yang paling sulong di rumah itu telah dianggap sebagai kak long bagi adik-adiknya.

Di rumah anak yatim itu, cuma luqman sahajalah saudara kandung seibu sebapanya. Setelah ibu dan bapa mereka meninggal di sebabkan kemalangan, Aisyah dan adiknya Luqman tinggal di rumah anak yatim ini.

Pengerusi rumah anak yatim inilah yang membawa mereka tinggal di sini. Mereka memanggilnya abi. Abi dan isterinya, ummi telah banyak memberikan bantuan dan sokongan kepada mereka untuk terus hidup. Banyak budi dan jasa yang telah mereka terhutang dengan abi.

“Adik-adik boleh minta tolong keluar sekejap tak ? Ummi ada benda nak cakap dengan kak long.” Tiba-tiba ummi Mus masuk ke dapur dan meminta anak-anak angkatnya yang lain untuk keluar sebentar. Tanpa banyak soal mereka pun keluar.

“Kak long, ummi ada hajat nak disampaikan kepada kak long. 
 Ummi harap kak long sudi menerimanya”

           “Hajat apa ummi ? InsyaAllah kak long akan cuba membantu semampu mungkin.”

            “Kak long pun tahukan yang ummi benar-benar sayangkan abi kamu. Ummi sayangnya sepenuh hati ummi.”

            “Eh, kenapa dengan ummi ni ? Kak long dan adik-adik yang lain sudah lama tahu yang ummi sayangkan abi. Kami pun sayang ummi dan abi sepenuh hati kami. Ummi ada masalah nak dikongsikan dengan kak long ?”

            “Bukan begitu. Bukannya masalah tetapi hajat sahaja. Sudah menjadi adat sejak zaman pak syeikh lagi, para isteri mencarikan suaminya madu untuk dikahwinkan. Itu sebagai tanda cinta dan sayangnya kita kepada suami. Jadi ummi nak lamar kak long untuk abi.”

Tiba-tiba Aisyah teringat akan pak syeikh yang disebutkan ummi. Sebenarnya pak syeikh lah yang mula-mula mengasaskan rumah anak yatim ini. Abi dan ummi begitu mengagumi kehebatan pak syeikh. Kalau boleh setiap perkara yang dilakukan pak syeikh ingin mereka turuti.

“Hmm..bukannya kak long tak nak tolong ummi, tetapi kenapa ummi mesti mencarikan abi seorang madu untuk membuktikan cinta ummi. Bukankah kalau ummi menyintai abi, ummi tidak sanggup untuk berkongsi suami dengan orang lain.”

“Ummi pun tidak tahu mengapa. Tetapi itulah yang telah diajar pak syeikh kepada ummi. Mungkin takut tidak dapat membahagiakan dan memuaskan abi, ummi harus mencarikannya isteri baru.”

Fitrah wanita Aisyah mula memberontak. Tidakkah ummi terasa sedih berkongsi suami dengan wanita lain. Tidakkah ummi kecewa apabila mengetahui bahawa suaminya membahagikan cinta yang diberikan kepada ummi selama ini kepada wanita lain. Pelbagai persoalan yang bertentangan dengan fitrah wanitanya mula memenuhi kotak fikiran.

Mulanya Aisyah menolak dengan memberikan pelbagai alasan. Katanya dia masih terlalu muda untuk berkahwin. Lagipun perjalanan hidupnya masih jauh. Dia mahu menyambung pelajaran dulu sebagaimana sahabat-sahabatnya yang lain.

Jika dia menjadi madu ummi, sudah pasti dia akan terikat dengan rumah anak yatim ini. Abi dan ummi pasti akan memintanya menguruskan perjalanan rumah anak yatim ini. Itu sudah pasti. Kemudian dia juga khuatir tanggungjawabnya sebagai isteri muda akan mengganggu pelajarannya.

“Kak long tak nak ambil berkat abi kah ? Bukannya senang nak dapat peluang ini.” Ummi mula bermain dengan soal keberkatan dan kepercayaan.

Abi adalah anak sulung kepada pak syeikh. Sejak kecil lagi Aisyah diasuh dan dididik dengan fahaman keberkatan pak syeikh. Tetapi seingatnya, sewaktu ayah dan ibu kandungnya masih hidup, ayah selalu berpesan agar hidup untuk diri sendiri. Bukannya hidup untuk ibu ayah mahupun sesiapa sahaja.

Kata ayah kita beribadah hanya untuk mendapatkan redha Allah, itu sahaja. Bukannya beribadah untuk mendapat redha manusia. Kata ayah lagi bila kita dihisab di hadapan Allah nanti, kita hanya akan berdiri di atas kaki kita sendiri. Bukannya kaki ayah ibu mahupun kaki sesiapa sahaja.

Sebenarnya Aisyah pun tidak berapa mempercayai soal keberkatan pak syeikh. Tetapi mengenangkan jasa dan budi abi kepadanya, dia mengikut sahaja.

“Ummi beri kak long masa dahulu ya untuk berfikir. Bila sudah bersedia dan ada jawapannya, kak long akan beritahu ummi.”

“Ummi kenal sangat anak ummi ini. Terima kasih kak long. Ummi sayang kak long.”

                                                ****
Luqman buat hal lagi. Jiwa remajanya yang tidak suka dikongkong semakin bergelora. Padanya, seorang anak muda tidak patut hanya mengikut apa-apa yang diajar oleh orang tua tanpa mengetahui asal-usul ajaran itu.

Fitrahnya tidak berasa tenang melihat abi, ummi dan adik-beradiknya mengusap-ngusap kubur arwah pak syeikh. Mereka seakan meratapi pemergian pak syeikh. Dia berasa seakan wujud satu penghalang yang menutup akalnya dari menerima perbuatan mereka itu. Ya, mungkin penghalang itu terbit dari fitrah suci manusianya dan juga mungkin terbit dari keteguhan imannya.

Dia mendengar bapa merayu agar pak syeikh memberikan mereka kekuatan untuk menjalani kehidupan. Kononnya kehidupan di dunia sekarang ini memerlukan bantuan kekuatan dari alam ghaib untuk terus maju dan berada di atas.

Luqman kembali bertanyakan akal, hati dan fitrahnya. Adakah mungkin mereka yang sudah kembali melangkah ke alam ghaib dapat memberikan bantuan kekuatan kepada mereka yang masih di alam dunia ini. Jika boleh mengapa tidak mereka sahaja yang kembali ke dunia ini dengan kekuatan yang mereka ada itu.

Jika ayah dan ibu kandungnya juga memiliki kekuatan tersebut, pasti mereka akan kembali ke dunia untuk melawat anak-anak mereka. Iyalah, ibu dan ayah mana yang tidak rindukan anaknya.

Sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai kekuatan untuk kembali ke dunia ini, inikan pula ingin memberikan bantuan kekuatan kepada orang lain. Itu semestinya mustahil. Hanya dengan menggunakan fitrah akal sihatnya sahaja sudah cukup membuktikan bahawa amalan mereka salah di sisi agama.

Seingat luqman juga, abi pernah mengatakan bahawa rasulullah sebenarnya masih belum wafat. Katanya baginda masih lagi hidup tetapi dighaibkan ke alam lain. Ke alam ghaib. Dan katanya agama islam ini tidak dapat dibangunkan kecuali melalui tangan baginda yang mulia sahaja.

Kadang-kadang luqman merasakan bahawa abi sebenarnya sudah berputus asa dengan panjangnya jalan dakwah ini. Abi seakan sudah bosan melakukan kerja-kerja dakwah kerana hasil yang tampak di matanya tidak seberapa.

Jalan dakwah yang diajarkan rasulullah sememangnya panjang dan tiada jalan pintasnya. Mungkin hal yang satu ini sahaja abi tidak fahami. Dan dengan alasan itu abi meminta bantuan dari alam ghaib bagi memudahkan kerja dakwahnya.

Ayah kandung luqman pernah menceritakannya kisah bagaimana para sahabat berhadapan dengan kewafatan rasulullah. Dikatakan bahawa saidina Umar yang begitu menyintai rasulullah seakan-akan tidak dapat menerima kewafatan baginda.

Beliau memberi ancaman akan memotong kaki dan tangan sesiapa yang menyangka bahawa rasulullah telah wafat. Tindakannya itu boleh dikatakan berada di luar kewarasan akalnya.

Berita ini sampai ke telinga sahabat karib rasulullah, saidina Abu Bakr. Saidina Abu Bakr segera mendapatkan saidina umar dan berkata,

“Sesiapa di antara kamu yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati. Dan sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati.”

Sedangkan sahabat karibnya sendiri mengakui bahawa baginda telah wafat, siapa pula abi untuk mengatakan baginda masih belum wafat ? Setinggi manapun cinta kita terhadap baginda tidak akan mampu menandingin cinta sahabat karibnya terhadap baginda.

                                                ****

Aisyah dan Luqman tekun mengemas kedai makan rumah anak yatim. Setiap malam tugas mereka adalah mengemas dan membungkus saki-baki makanan kedai makan yang diuruskan abi dan ummi.

“Man datang sini kejap. Kak long ada benda nak cakap dengan man ni.”

Man yang sedang bermalas-malas membasuh pinggan segera meninggalkan kerjanya. Inilah masanya untuk mencuri tulang.

“Baru-baru ini ummi datang berjumpa dengan kak long di dapur. Ummi kata dia ada hajat yang nak kak long tunaikan padanya.”

“Hajat apa kak long ?”

“Dia kata dia nak kahwinkan kak long dengan abi. Nak jadikan kak long madu keduanya.”

Hati man terasa panas tiba-tiba. Bukannya dia tidak mengenali jiwa kakak kandungnya itu. Dia tahu bahawa kakaknya itu begitu bersemangat untuk menyambung pelajaran. Kakaknya itu bukanlah wanita yang tergedik-gedik mahu berkahwin muda.

“Dah tu kak long cakap apa kat ummi ? Kak long terima kah?”

“Kak long minta ummi bagi sedikit masa untuk kak long fikirkan dulu. Bukan apa, kak long rasa bersalah jika tidak menerimanya. Man pun tahukan sejak ayah dan ibu meninggal, ummi dan abi yang banyak menjaga kita. Kak long takut nanti mereka kata kak long tak mengenang jasa pula. Entah lah.”

“Tapi ini soal perkahwinan kak long. Pilihan kak long hari ini akan menentukan hidup kak long sampai mati nanti. Memang kita banyak terhutang budi dengan abi dan ummi, tetapi sampai bila kita hendak dikongkong sebegini rupa ?”

“Gaji yang abi berikan untuk kerja di kedai makan ini pun sedikit. Sangat sedikit berbanding dengan keuntungan yang mereka dapat. Abi kata kononnya kerja ini adalah tanda kita berkorban untuk rumah anak yatim ini. Tapi yang man tengok rumah anak yatim ini dari dahulu sama sahaja. Tidak bertambah pun kemewahannya.”

“Andai benar kerja ini satu pengorbanan, kenapa mesti kita sahaja yang berkorban ? Abi dan ummi mengapa tidak turut sama berkorban ? Man dah letih dan bosan buat kerja-kerja ini. Man dah letih !”

“Sabar man. Biar kak long fikir dulu mahu terima atau tolak lamaran ummi itu. Biar kak long sembang lembut dengan ummi dahulu ya.”


Pagi itu perhimpunan tergempar diadakan. Semua penghuni asrama rumah anak yatim diminta berkumpul di tengah padang. Mereka diminta berbaris mengikut nombor katil masing-masing.

Setelah para petugas dan kaki tangan rumah anak yatim menggeledah seluruh kawasan rumah, mereka mendapati luqman hilang dari rumah. Dan kata abi, luqman telah disorok jin jahat.

“Abi menjumpai tulang ayam ini di atas katil luqman. Dan abi rasa ini mesti kerja-kerja jin jahat.” Dengan yakinnya abi berucap.

“Mungkin inilah balasan untuk luqman yang banyak mempertikaikan nasihat abi selama ini. Adik-adik yang lain harap dapat mengambil pelajaran dari peristiwa ini.”

Jantung Aisyah seakan mahu pecah sebaik sahaja mendengar berita adik kandungnya disorok jin. Dia berasa bersalah kerana menceritakan masalahnya kepada luqman semalam. Jika dia tidak menceritakannya kepada luqman, pasti luqman tidak akan menyumpah serapah abi. Dan jika luqman tidak mengutuk abi, pasti kejadian hari ini tidak akan terjadi.

Teet..teet. Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbit Aisyah. Dari nombor yang tidak dikenalinya.

‘Salam kak long. Ini nombor baru man. Man lari dari rumah semalam. Man dah tak tahan kena kongkong kat situ. Kak long jangan risau, man pandai jaga diri sendiri.”

Ya Allah ! Mulanya rasa nak terpitam Aisyah baca pesanan ringkas yang baru diterimanya itu. Tidak pernah terlintas di fikirannya luqman akan bertindak sebegitu rupa. Mungkin jiwa remajanya yang banyak ditekan selama ini telah sampai ke kemuncaknya.

Abi di depan masih rancak mencanang bahawa luqman telah disorok jin. Katanya dia akan menghantar ‘rakan-rakannya’ untuk mencari luqman. Aisyah di belakang hanya mampu tersenyum kelat sahaja.

                                                            ****

Sebulan telah berlalu. Dan dalam tempoh sebulan itu jugalah adiknya tidak pernah menghubunginya. Sudah beberapa kali Aisyah menghubungi dan menghantar pesanan ringkas ke luqman. Tetapi tidak berbalas juga.

Esok adalah hari yang akan menentukan segalanya. Aisyah telah bersetuju untuk menerima lamaran ummi itu. Walaupun hatinya kuat memberontak, tetapi Aisyah merelakannya sahaja. Mengenangkan jasa yang telah abi dan ummi lakukan, Aisyah terpaksa akur juga.

Pernah juga dia terfikir untuk mengikut jejak langkah adiknya. Melarikan diri dari rumah anak yatim itu. Tetapi rasanya perbuatan melarikan diri itu lebih mengecewakan hati ummi berbanding dengan menolak lamaran ummi. Aisyah mati akal. Malam itu Aisyah tertidur bertemankan linangan air mata. Air mata kekesalan dan kekecewaan. 

“Kak long bangun. Man datang ni.”

Matanya dibuka perlahan. Air mata yang bertakungan sejak tadi kini bercucuran.

“Man ! Man pergi mana selama ni. Kenapa man tak jawab message kak long ?”

“Nanti saja man jawab. Cepat. Kita dah tiada masa ni.”

Man meminta kakaknya mengemaskan pakaian yang perlu sahaja. Mereka mesti keluar dari rumah ini secepat mungkin. Man membawa kakaknya ke kawasan belakang rumah. Ada sebuah tembok yang sedikit rendah di situ.

Man bersedia untuk memanjatnya. Tiba-tiba satu suara yang dikenalinya menyapa.

“Kak long buat apa kat belakang tu pagi-pagi buta ni ?” Ummi yang kebetulan lalu di kawasan itu menyapa.

“Eh man. Itu kamu kan man ?”

‘Ah ! Macam mana pula ummi boleh lalu kat sini pagi-pagi ni.’ Getus hati man.

Man menghampiri ummi. Malam ini dia perlu ceritakan segalanya pada ummi.

“Maafkan man ummi. Man terpaksa bawa kak long keluar dari rumah malam ini juga. Kak long sebenarnya tidak mahu berkahwin dengan abi. Dia hanya mahu menjaga hati ummi sahaja.”

“Betulkah macam tu kak long ?”

“Maafkan kak long ummi. Kak long sebenarnya masih belum bersedia untuk berkahwin. Kak long mahu sambung belajar dahulu.”

“Tapi kak long tak mahu ambil berkat abi kah ?”

“Ah ! Tak habis-habis dengan berkat. Man dah muak dengan berkat-berkat ni. Apa ummi tak rasa perbuatan mengusap-ngusap kubur dan memohon bantuan kekuatan dari orang yang telah mati itu satu kesesatan. Apa ummi tak rasa itu satu perbuatan syirik. Perbuatan keluar dari agama. Kafir !” Luqman melempiaskan amarahnya sehabis mungkin.

“Pang !”

Aisyah sudah tidak tertahan dengan sikap biadap adiknya itu. Satu pelempang kuat dia hinggapkan ke pipi adiknya.

“Siapa yang ajar man mengkafirkan orang lain ni ? Siapa man untuk menentukan islam atau kafirnya seseorang itu ?”

“Memang kak long pun bersetuju dengan man tentang amalan yang sesat itu. Tapi bukan begitu caranya kita memperbetulkan orang lain. Kita ini hanyalah penyeru kepada kebaikan, bukannya hakim yang menghukum orang lain.”

“Inilah masalah pendakwah sekarang. Semuanya ingin mengambil tugas tuhan. Tugas untuk menghukum seseorang itu kafir bukannya tugas kita tetapi tugas tuhan.”

“Maafkan man ummi.” Man terasa kesal dengan keterlanjurannya.

“Ummi, cuba ummi fikirkan sedalam-dalamnya. Cuba ummi tanya fitrah wanita ummi itu. Apakah dengan mencarikan abi seorang isteri yang baru itu tanda kecintaan ? Cuba ummi tanyakan sudut hati ummi yang paling dalam.”

Ummi kelihatan termenung seketika. Matanya mula merona merah.

“Kak long, man, maafkan ummi ya. Ummi sedar selama ini ummi telah banyak mengongkong kalian. Ummi hanya banyak mengajarkan kalian untuk beramal dengan sesuatu, tetapi ummi tidak pernah memberitahu dari mana asal-usul amalan itu. Maafkan ummi ya.”

“Kalian anak muda sepatutnya tidak mengikut apa-apa yang orang lain ajarkan tanpa mengetahui asal-usul ajaran itu. Jiwa anak muda kalian juga tidak sepatutnya dikongkong sebegitu rupa.”

“Jiwa anak muda adalah jiwa yang bebas. Bebas dari segala kongkongan manusia. Bebas dengan erti kata yang diajarkan agama. Ummi rasa sudah sampai masanya ummi melepaskan kalian.”

Dan pada malam itu, bulan menjadi saksi penyesalan seorang wanita yang telah banyak menyesatkan anak angkatnya.

Pada malam itu juga, bintang menjadi saksi terbebasnya jiwa dua orang anak muda dari belenggu taklid buta dan ta’assub gila.

Bebaskan jiwa kalian wahai anak muda.

Bebaskannya mengikut acuan agama !

6 ulasan:

  1. Kerana itu si abid tanpa ilmu itu bahaya. Cerpen yang baik sebagai pengisahan kepada realiti masyarakat kita yang selesa berada didalam "amalan soleh" yang diwarisi tanpa keberanian untuk mencabar dan meruntun jalan kepada pembuktian tradisi mereka. Ini tidak termasuk lagi dengan ajaran-ajaran sesat yang sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat kita yang jelas menggambarkan ketandusan dan matinya akal untuk berfikir dan mencari ilmu pengetahuan. Cerpen ini membuatkan kita berfikir apa sebenarnya yang merantai pemikiran kita, hingga ianya dibiar digari sedangkan fitrahnya adalah untuk terbang dan mencari kebenaran.

    BalasPadam
  2. zulfaqar..terima kasih atas perkongsian. Moga kita dapat bersama2 mengubah gaya pemikiran dan dpt membentuk generasi yg lebih baik. I.Allah.

    BalasPadam
  3. Abrar, macam tau je sebenarnya apa kisah di balik tabir cerpen ni..hehe
    Apa-apapun olahan yang menarik walaupun jalan cerita mungkin nampak 'common' :)
    Teruskan berkarya.

    BalasPadam
  4. Afza..boleh jadi sesiapa pun. saya tak sebut nama badan mana2 pun kat atas tu kan ?haha..
    mungkin saya masih lemah dalam teknik penyusunan plot ni, banyak lagi nak kena belajar..
    Apa2 pun terima kasih. Jemput baca lagi. ^^

    BalasPadam
  5. kakak luqman bukan maryam ke??

    BalasPadam
  6. jejaka..haha..betul jugak..seriyes aku lupa.

    BalasPadam

Ajari Saya Menulis. Harap dapat memberi Kritikan-kritikan yang membangun.