Rabu, Julai 11

Gadis Jalan Chow Kit

by : http://felixlu.deviantart.com/

   “Hello Tuan, saya nak buat laporan tentang jenayah pelacuran di jalan Chow kit sekarang ini. Sebentar tadi saya nampak seorang anak gadis melayu bertudung masuk ke pusat pelacuran ini. Lokasinya terletak di belakang kedai mamak 1Malaysia dan bersebelahan dengan hotel murah jalan Chow Kit.”

Tuan Rizal meletakkan ganggang telefon. Dia mengarahkan anak buahnya menganalisis dan mengesan lokasi panggilan telefon tersebut dilakukan. Anak buah yang lain diminta segera berkumpul di bilik gerakan.

Mesyuarat tergempar diadakan. Malam ini Tuan Rizal secara mengejut akan mengadakan operasi mencegah maksiat pelacuran. Staf yang tadinya bermata kuyu kini kembali cerah dan hilang kantuknya apabila mendengar serbuan akan dilakukan ke pusat pelacuran.


Setelah taklimat ringkas diberikan, kini pasukan Tuan Rizal bersedia untuk melakukan serbuan. Tidak seperti kes permintaan zakat ataupun kes tuntut hak perceraian, kes serbuan mencegah maksiat seperti ini sentiasa pantas dan bersemangat Tuan Rizal menyelesaikan. Lebih-lebih lagi jika suspek terdiri daripada warga asing seperti Jepun, Korea, dan Oman.

Tidak sampai 20 minit Tuan Rizal bersama pasukannya tiba di lokasi yang dilaporkan. Van hitam yang mereka naiki diparkir kira-kira 200 meter dari pintu masuk utama pusat pelacuran. Lampu van dipadam dan pengintipan dimulakan.

Sepanjang pemerhatian kira-kira 30 minit dijalankan, pelbagai jenis manusia yang keluar masuk ke pusat pelacuran kelihatan. Dari secerah-cerah kulit ke segelap-gelapnya dan dari semahal-mahal pakaian ke selusuh-lusuhnya, segala macam manusia datang melanggan.

Pelanggan yang berpakaian lusuh biasanya pulang dalam keadaan tangan kosong. Tetapi yang berpakaian mewah dan berkereta megah ala-ala pak menteri, paling kurang pulang bersama dua atau tiga orang wanita. Seorang berkulit sawo matang, seorang lagi kuning langsat dan yang terakhir hitam legam. Cukup segala jenis warna.

Kini Tuan Rizal bersama pasukannya bersedia untuk melakukan serbuan. Setiap orang sudah mengambil posisi masing-masing. Sebagai ketua operasi, Tuan Rizal lah yang pertama melakukan serbuan. Dalam kiraan tidak sampai tiga, serbuan dilakukan.

“Skuad pencegah maksiat ! Jangan bergerak dan jangan cuba melakukan apa-apa. Tempat ini telah dikepung.”

Para pelanggan dan pelayan yang sedang mabuk asmara terkejut dijerkah sebegitu rupa. Tubuh yang bebas dari seurat benang itu segera ditutup dengan apa yang sempat mereka capai. Yang bertuah dapatlah mencapai sehelai dua pakaian tetapi yang bernasib malang hanya mampu terduduk menekup muka.

Tuan Rizal mengarahkan sebahagian anak buahnya mengumpulkan para pelayan dan pelanggan di satu kawasan dan sebahagian yang lain terus mencari mereka yang masih bersembunyi. Di suatu sudut yang agak tersembunyi kerana tidak dilimpahi cahaya lampu dinding, dia terlihat sebuah pintu yang masih tertutup rapat.

Dia menghampiri pintu tersebut dan memulas tombolnya. Sebaik sahaja pintu dikuak, kelihatan sebuah katil besar lengkap bercadar, selimut dan bantal yang tersusun rapi. Selimut yang sedikit terangkat ke atas menandakan ada seseorang sedang berbaring di bawahnya.

Tuan Rizal menghampiri katil dan secara perlahan menyelak selimut tersebut.

“Ya Allah ! sayang..?”
**********

            “Assalamualaikum Ika. Esok awak lapang tak ? Nanti temankan kita pergi pejabat zakat ya.” Punat hantar ditekan.

            Jam digital di dinding mempamerkan angka 3.15 pagi. Sejak tadi eira berbaring matanya sedikit pun tidak ingin terlelap. Segala jenis petua untuk mempermudahkan tidur telah dia usahakan tetapi hasilnya tetap saja mengecewakan.

            Peristiwa 2 bulan lepas masih ligat bermain di kotak fikirannya. Betapa dia gembira menerima sepucuk surat tawaran daripada universiti tempatan yang menjadi idamannya selama ini. Dan semestinya yang turut sama bergembira adalah ibunya.

            Dalam keluarganya boleh dikatakan eira adalah anak yang menjadi harapan terdekat keluarga. Harapan untuk membela nasib mereka kelak. Ketika di tingkatan tiga eira mendapat berita tentang kemalangan ayahnya. Kemalangan yang mencabut nyawa ayahnya.

            Sejak pemergian ayahnya, penyakit lemah jantung ibunya semakin menjadi-jadi. Sebagai anak sulung kepada tiga orang adik-beradik, tanpa perlu diminta oleh ibunya eira meletakkan tanggungjawab ayah ke atas pundaknya.

            Sebaik sahaja keputusan PMR diumumkan, eira yang mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran yang diambil, mengambil keputusan untuk mencuba nasib di sekolah berasrama penuh kerajaan. Paling tidak bebanan yuran persekolahannya sedikit berkurang.

            Dan mungkin sudah menjadi rezekinya, permohonan eira diluluskan. Diikutkan hati mahu sahaja eira meneruskan pelajaran di sekolah lamanya. Sekolah agama swasta. Memang yurannya agak mahal tetapi pulangan yang diterima jauh lebih mahal baginya.

            Di sekolah agama swasta suasananya dapat memelihara eira dari hanyut dengan hedonism dan juga gaya hidup yang tidak islamik. Eira bimbang jika selepas keluar dari sekolah agama ini, roh keagamaan dan peribadi muslim yang dibentuknya selama ini terhakis dengan keduniaan.

            Berbekalkan nasihat ibunya, eira berhenti dari sekolah agamanya dan meneruskan pembelajaran di sekolah berasrama penuh kerajaan. Kata ibunya, memang benar suasana sekeliling banyak mempengaruhi peribadi kita tetapi yang lebih mencorakkan peribadi kita adalah diri kita sendiri.

“Pengembaraan yang paling jauh itu bukanlah pengembaraan mengelilingi dunia, tetapi pengembaraan yang paling jauh adalah pengembaraan ke dalam diri sendiri. Pengembaraan mencari hakikat diri.”

Esoknya eira dan ika berjumpa di tempat yang telah mereka persetujui. Setelah beberapa kali bertukar dari satu bas ke bas yang lain, akhirnya mereka tiba di pejabat zakat. Mereka melangkah masuk ke pejabat dengan penuh semangat dan penuh harapan.

Eira memandang sekeliling suasana pejabat zakat. Cantik dan mewah. Pendingin hawa yang besar bagak. Perabot-perabot dari kayu jati asli. Barisan sofa yang empuk. Pegawai-pegawai pejabat yang buncit perutnya bergelak sakan penuh kegembiraan.

Walaupun suhu bilik pejabat terasa mendinginkan, tetapi entah mengapa bagi eira ianya terasa begitu hangat melemaskan. Terasa bagai sofa empuk dan perabot mewah yang menghiasi tidak mampu memberi ketenangan sebagai mana keselesaan kerusi keras dan almari kopak di rumahnya.

Tiba-tiba teringat eira akan anak-anak kecil peminta sedekah sewaktu menunggu bas tadi. Dengan berkaki ayam dan rambut kusut masai, mereka tidak pernah berputus asa mencari sesuap makanan dengan meminta sedekah. Dan apabila disergah polis-polis berkumis tebal, berteraburan mereka lari menyelamatkan diri.

Eira dan ika mengambil nombor giliran di kaunter pertanyaan. 105. Nombor di skrin utama memaparkan angka 100. Kiranya cuma tinggal lagi 4 nombor berbaki sebelum tiba giliran mereka. Mereka mengambil tempat duduk paling hadapan.

Hari ini pejabat zakat kelihatan agak lengang daripada kebiasaan. Mungkin atas faktor hari bekerja bagi kakitangan kerajaan, maka tidak ramai pelanggan yang datang berurusan. Kebiasaannya permohonan zakat dipohon oleh mereka yang bekerja makan gaji dari kerajaan.

Tidak lama mereka menunggu dan kini nombor giliran mereka terpapar di skrin. Mereka bingkas bangun dan bergerak menuju ke kaunter bernombor 3. Bagi eira tidak sabar rasanya ingin mengetahui perkembangan permohonan zakat yang dihantarnya kira-kira sebulan yang lepas.

Mengikutkan syarat-syarat yang diletakkan, sememangnya keputusan peperiksaan eira jauh melebihi tahap layak memohon bantuan zakat. Ditambah pula dengan sokongan surat tawaran dari universiti, kini cuma tinggal masa yang akan meluluskan permohonannya.

Eira sudah bercongak-congak di dalam kepala bagaimana cara untuk menguruskan wang zakat yang akan diterimanya nanti. Dia tidak akan menggunakan keseluruhan wang zakatnya hanya untuk dirinya sendiri, tetapi akan membahagikannya separuh untuk kos pembiayaan keluarga. Kos persekolahan adik-adik dan yang lebih utama kos perubatan penyakit ibu.

“Encik, kami ada buat permohonan bantuan zakat untuk sambung pembelajaran bulan lepas. Boleh kami tahu perkembangan permohonan kami ?” Soal eira kepada pegawai yang bertugas.

“Ini kad pengenalan kami berdua.”

Pegawai tersebut mengambil kad pengenalan mereka berdua dan mula menaip-naip papan kekunci. Tidak lama masa yang diambil untuk mencari maklumat permohonan mereka.

“Permohonan bantuan zakat cik Shafiqah telah diluluskan, tetapi permohonan cik syahierah belum diluluskan lagi. Masih dalam proses.”

“Tapi encik, saya isi borang permohonan sejak awal bulan lepas. Dua minggu lebih awal dari kawan saya ni, ika.” Soal eira dengan nada kecewa.

“Maafkan saya cik. Cik jangan risau, lepas ini saya akan cuba uruskannya untuk cik. Saya tiada kuasa untuk luluskan permohonan cik ini. Hanya pihak atasan yang berhak meluluskannya.”

“Kalau boleh encik tolong uruskan permohonan saya ini secepat mungkin ya. Saya sangat-sangat perlukan wang zakat ini untuk bantu adik-adik dan ibu saya. Ibu saya perlukan wang untuk perubatan. Lagipun tawaran kemasukan universiti saya sampai bulan depan sahaja. Saya perlukan wang untuk proses pendaftaran.”

“Saya harap cik eira dapat faham. Yang menghantar permohonan zakat ni bukannya seorang atau dua, tetapi beratus-ratus orang. Lagipun ramai lagi yang mungkin lebih memerlukannya. Cik berdoalah dipermudahkan urusan dan dibuka rezeki.”

Hari itu eira pulang dengan seribu kekecewaan. Desas-desus yang tidak dipercayainya selama ini, hari ini dia semakin mempercayainya. Desas-desus yang mengatakan bahawa kebiasaannya sistem pengurusan zakat di kawasan tempat tinggalnya sangat mengecewakan.

Ada juga yang mengatakan bahawa jika sekiranya kita mempunyai kenalan ‘orang dalam’ dalam kalangan petugas-petugas pejabat zakat, maka urusan permohonan zakat kita akan lebih mudah dan lancar. Pegawai petugas sudah pandai memilih bulu. Bulu yang ada bau-bau macang akan mereka dahulukan, tetapi bulu yang tiada kaitan akan mereka kemudiankan.

“Ah ! Apa nak jadi dengan pegawai agama sekarang. Kes serbuan pusat pelacuran begitu semangat membanteras, tapi kes permohonan zakat dilengah-lengahkan. Krisis ekonomi yang bermula dari kecacatan pengurusan zakat inilah yang menyebabkan meningkatnya taraf kemiskinan, berleluasanya jenayah dan tumbuhnya pusat pelacuran.” Serapah eira dalam hatinya.

“Astaghfirullah.”

 **********

Tiga minggu berlalu begitu laju. Sepanjang tiga minggu itu jugalah eira berulang alik ke pejabat zakat bagi mengikuti perkembangan permohonan zakatnya. Tetapi hasilnya tetap saja mengecewakan. Alasan yang diberikan petugas pejabat zakat hanyalah tawakkal, berdoa dan tawakkal.

“Jangan pernah mereka ajar aku tentang tawakkal. Aku lebih memahami ertinya berbanding mereka. Tawakkal mereka hanya ketika mereka kaya dan senang. Tawakkal aku setiap masa dalam kemiskinan dan kesusahan.” Luahan rasa eira ketika ika datang menziarahi ibunya.

“Awak kena tolong saya ika. Sejak ibu terjatuh di bilik air minggu lepas, dia hanya mampu terbaring di atas katil. Kata doktor penyakit jantung berlubangnya itu perlu dirawat dengan kadar segera. Kalau tidak tak tahulah apa yang akan terjadi.”

“Awak dah cuba minta pegawai zakat itu percepatkan urusan permohonan awak ?” Soal ika.

“Pagi tadi sudah masuk kali ke lima saya berulang-alik ke pejabat zakat. Sudah membatu kaki saya ini berulang-alik ke sana. Sampaikan ‘pak guard’ pejabat zakat itu pun dah kenal saya. Tapi alasannya tetap sama. Saya pun tidak tahu apa yang disibukkan pegawai zakat itu di pejabatnya. Urusan yang remeh-temeh ini pun susah kah nak luluskan ?”

“Awak tak nak cuba cari pendapatan sendiri ? Bekerja sementara di mana-mana. Saya boleh tolongkan cari kerja yang sesuai untuk awak.”

“Tapi ika, saya perlukan duit itu dengan kadar yang segera. Ibu perlu dirawat dengan segera. Tambahan pula borang tawaran kemasukan universiti saya tutup minggu depan. Mana saya nak cari duit semua tu ?”

“Hmm..awak pernah dengarkan ada ustazah pernah kata kalau darurat sangat kita boleh lacurkan diri kita. Haha..awak tak nak cuba ?”

“Ika ! ish awak ni, kita tengah serius boleh pula dia buat lawak bodoh. Haha..sebodoh-bodoh saya pun tidaklah sampai terfikir nak lacurkan diri. Agama lain pun tidak menghalalkan pelacuran apatah agama islam yang sempurna ini.” Berderai tawa mereka berdua. Sekurangnya berkurang sedikit kegalauan di kepala eira.

“Apa kata awak berjumpa sendiri dengan pegawai tertinggi pejabat agama. Awak ceritakan masalah awak kepada dia. Siapa tahu dia boleh bantu mempercepatkan urusan permohonan awak.”

“Betul juga begitu. Tengok lah dalam esok atau lusa saya pergi ketuk pintu rumah dia.”

“Akak ! Mak tak sedarkan diri !” Tiba-tiba dari dalam bilik ibu, adik eira menjerit.

Eira dan ika bingkas dan berlari ke bilik ibu.

“Ya Allah, ibu. Bangun ibu. Adik, kenapa dengan ibu ni ?”

“Tak tahu kak. Masa adik masuk bilik tadi, ibu memang dah tak sedarkan diri.”

“Ika. Panggilkan doktor dan ambulans cepat.”

**********

“Tuan mesti tolong saya. Saya terdesak perlukan duit zakat dengan segera. Ibu saya perlu dibedah esok lusa. Doktor kata masa untuk ibu saya sudah tidak lama. Tuan mesti tolong saya.” Rayu eira penuh harap kepada Tuan Rizal.

 “Eh adik. Bawa bertenang adik. Kita boleh uruskan masalah adik ini dengan perlahan-lahan. Bawa bersabar.”

Tuan Rizal yang masih belum hilang kaget terhadap kelakuan eira memintanya bertenang. Kaget kerana secara tiba-tiba eira meluru masuk ke biliknya tanpa meminta keizinan mahupun sekadar mengetuk pintu. Sudahlah masuk sebegitu rupa, kini ditambah pula dengan merayu-rayu bagai orang gila.

“Sabar ? Sudah berminggu-minggu saya bersabar. Sampai bila lagi mahu saya bersabar. Bukannya saya ini tak layak untuk memohon bantuan zakat, bahkan keputusan peperiksaan saya jauh lebih layak dari syarat yang diletakkan.”

“Saya sedar saya ini bukanlah dari kalangan orang-orang yang berada. Sumbangan yang dapat saya berikan kepada kerajaan pun bukannya besar sangat. Lagi-lagi saya tiada seorang kenalan pun dalam pejabat agama ini. Tapi itu bukan bermakna saya tidak layak untuk menerima zakat.”

“Duit zakat itu bukannya milik tuan mahupun kerajaan. Sesuka hati tuan sahaja mahu berikan duit itu kepada sesiapa yang tuan suka. Zakat itu hak rakyat dan orang-orang yang susah macam saya. Tuan hanyalah orang tengah yang bertugas mengumpulkan duit zakat dan membahagikannya kepada golongan yang memerlukan. Bukannya membahagi kepada poket tuan dan poket kerajaan.”

“Begini adik. Bukannya pihak kami tidak mahu menyerahkan duit zakat itu kepada adik. Tetapi pengurusan kelulusan permohonan zakat adik memerlukan sedikit masa. Negara kita bersistem. Kita perlu ikut langkah-langkah dan sistem yang telah diletakkan supaya lebih memudahkan.”

“Oh sistem. Kiranya sekarang sayalah yang perlu menanggung korban sistem ini. Ibu saya juga perlu menanggung korban sistem ini. Yang menjadi masalah bukannya sistem tetapi pengurusan sistem ini. Pengurusan yang di atas bahu tuan dan para pekerja tuan.”

“Permohonan zakat, tuntut fasakh dan hak perceraian disambil-lewakan, tetapi serbuan ke pusat-pusat pelacuran giat bersemangat pula dilakukan. Ini apa cerita ? Kalau saya kata tuan tidak layak memegang jawatan pegawai agama, nanti marah pula.”

“Kamu jangan nak tunjuk kurang ajar depan saya. Saya tahu apa yang saya lakukan. Kamu itu belajar pun belum habis lagi, jangan nak tegur saya itu ini. Orang macam kamu ini jangan harap nak diberikan bantuan zakat. Kamu ini bukannya dapat membangunkan ekonomi negara tetapi malah meruntuhkannya.”

Hati eira terasa pedih hingga ke pangkalnya. Harapan dan impian yang dibinanya selama ini jatuh berderai begitu sahaja. Kadang-kadang terasa dunia begitu kejam terhadapnya. Awan-awan mendung kini mula membaluti hatinya.

Eira putus harapan dengan bantuan dari pejabat zakat. Fikirnya jika dia hanya menunggu bantuan zakat, nyawa ibunya mungkin akan tergadai begitu saja. Jalan pintas perlu dicari. Walau dengan apa cara sekali pun dia perlu mendapatkan sejumlah wang yang besar untuk menampung kos pembedahan ibunya.

Tiba-tiba dia teringat akan ‘lawak bodoh’ yang dikatakan ika beberapa hari lepas. Selama ini tidak pernah sekali pun terlintas di fikirannya untuk menggadaikan kehormatan sebagai seorang wanita. Apatah lagi dia pelajar lulusan sekolah agama. Apa yang akan dikatakan masyarakat apabila mereka mengetahui bahawa seorang pelajar agama menjaja tubuh bagi menyelamatkan nyawa ibunya.

“Ah. Persetankan apa yang akan mereka katakan. Yang menderitanya aku, bukannya mereka. Selama ini pun mereka hanya sekadar memerhatikan kesusahan hidupku. Tidak pernah sekali pun menghulurkan bantuan.”

“Sekurangnya pusat pelacuran ini dipenuhi dengan ketulusan hati dan budi. Ketulusan hati para pelacur mencari sesuap nasi untuk dikongsikan dengan ahli keluarga di rumah, sekali pun sumbernya haram. Berbanding dengan pejabat-pejabat menteri yang penuh dengan lakonan dan kepalsuan, pusat pelacuran seakan lebih tenang rasanya.”

“Astaghfirullah.”

Malam itu eira tekad dengan keputusannya. Ibunya perlu diselamatkan. Walaupun eira tahu jalan yang diambilnya ini bertentangan dengan perintah agama, tetapi mata hatinya kini sudah beku dan tertutup. Beku dengan kemiskinan dan tertutup dek pengkhianatan pihak atasan.

Malam itu jalan Chow Kit menjadi saksi seorang wanita bertudung litup memasuki pusat pelacuran. Wanita bertudung litup yang terpaksa mencemarkan tudungnya kerana tertindas dengan penipuan dan rasuah yang dilakukan pihak atasan.

Eira masuk ke kamar yang telah disediakan khas untuknya. Tidak berapa lama menunggu pelanggan, seorang warga cina yang buncit perutnya masuk ke kamar. Pintu dikunci kejap. Debaran dan haba panas tertebar ke seluruh badan eira. Dari kaki, perut dan sehinggalah ke kepala.

“Eh adik. Adik buat apa di sini ?” Soal cina berperut buncit kekagetan.

“Uncle, saya mahu cari duit untuk ibu saya. Ibu perlu dibedah secepat mungkin.”

“Adik orang islam kan ? Kenapa tak minta sahaja sedekah dari saudara-saudara islam yang lain. Tak pun minta saja dengan pejabat agama. Pasti mereka menolong.”

“Sudah berjuta kali uncle saya meminta bantuan dari pejabat zakat, tetapi mereka melengah-lengahkannya. Saya kecewa uncle. Saya kecewa dengan saudara seagama saya.” Air mata yang dipendamnya selama ini berderai juga. Terasa bagai semua ilmu agama yang dipelajarinya selama ini tiada makna dihadapan seorang cina Buddha.

“Bawa mengucap adik. Tuhan Allah sentiasa ada untuk menolong adik. Jangan hanya disebabkan seorang muslim telah mengecewakan adik, adik terus menyalahkan agama islam. Uncle paling suka dengan peribadi orang islam. Uncle tahu sekiranya semua orang islam berperibadi dengan apa yang telah diajarkan islam, dunia pasti lebih adil dan tenteram.”

“Astaghfirullah. Terima kasih uncle.” Kini giliran eira pula terkesima dengan apa yang didengarnya dari seorang cina Buddha.

Tanpa dipinta warga cina tersebut mengalukan eira keluar dari kamar. Dia berpesan agar jangan pernah berputus-asa mencari jalan keluar dari masalah yang dihadapi. Jalan keluar yang lebih banyak memberi kebaikan dan bukannya menambah keburukan.

Eira bergerak ke pintu untuk keluar. Belum sempat dia memulas tombol pintu, tiba-tiba daun pintu terkuak dengan pantas.

“Ini serbuan jabatan agama islam. Jangan cuba melarikan diri kerana tempat ini telah dikepung.”

“Ya Allah !” Dan kini yang bermain di mata eira hanyalah perihal keselamatan ibunya. Paling kurang denda yang dikenakan terhadap jenayah pelacuran adalah penjara 3 tahun. Walaupun eira tahu dia tidak bersalah kerana belum sempat berbuat apa-apa, tetapi ia juga tahu bahawa manusia hanya akan mampu menilai apa yang ternampak pada zahirnya. Dan kini yang zahirnya eira ditangkap di sebuah pusat pelacuran.

**********

Tiga tahun berlalu begitu sahaja. Kini eira dibebaskan dari penjara yang telah menjadi rumah utamanya sepanjang tempoh tiga tahun itu. Banyak perkara yang dipelajarinya dari dalam penjara. Pelajaran tentang keadilan, pengkhianatan dan juga dendam.

Seminggu setelah hari pertama eira ditahan di penjara, dia mendapat berita bahawa ibunya telah dipanggil pulang ke sisi tuhan. Eira mengutuk dirinya di atas kematian ibu. Tetapi bukan hanya dirinya saja yang patut dipersalahkan, Tuan Rizal juga patut dipersalahkan.

Dendamnya terhadap Tuan Rizal masih belum terlangsai. Banyak lagi urusannya dengan Tuan Rizal perlu diselesaikan.

Ika. Apa khabar agaknya dia sekarang. Eira semakin merindui kawan sekolahnya itu. Eira pergi ke rumah ika, tetapi apabila salam diberikan orang lain pula yang menyahut. Katanya ika mengikut ibunya berpindah ke rumah baru. Setelah ibu dan ayahnya bercerai, ibunya berkahwin lagi dengan lelaki lain.

Setelah mendapatkan alamat rumah baru ika, eira bergerak menuju ke rumah kawannya itu. Kawasan taman perumahan baru ika ini agak mewah. Kawasan orang-orang kaya. Rumah ika sendiri sahaja sudah ada polis jaga di pintu masuknya.

“Tumpang tanya pak cik, ini rumah shafiqah ?.”

“Ya. Ini rumah cik Shafiqah. Cik ini siapa ya ?”

“Saya eira. Kawan lama cik shafiqah. Saya mahu berjumpa dengannya.”

Tanpa membuang masa pak cik jaga menjemput eira ke pekarangan rumah banglo tersebut. Besar dan mewah. Sebiji kereta berjenama Camry dan sebiji lagi Toyota Alphard kemas terparkir.

“Siapa yang datang pak abu ?” Tiba-tiba eira terdengar suara yang dirinduinya selama ini.

“Awak dah tak kenal kita lagi kah ?” Gurau eira.

“Ya Allah, eira. Lama betul kita dah tak berjumpa. Jemput masuk ke dalam dulu.” Pelawa ika.

Ruangan dalam rumah lebih mewah daripada ruangan luar. Terdapat beberapa buah almari kaca berderetan di kanan dan kiri. Ada yang menempatkan piala-piala dan pingat-pingat kebesaran. Ada juga yang sekadar menempatkan pinggan-pinggan dan gelas-gelas kaca yang cantik.

Berhadapan dengan sofa tempat eira melabuhkan punggungnya, terdapat sebuah foto besar siap berbingkai kayu digantung. Foto yang merakamkan gambar ika, adik-beradiknya, ibunya dan seorang lelaki yang seakan-akan pernah dilihat eira.

“Sejak bila awak dibebaskan ni ?”

“Minggu lepas. Sudah tiga tahun ya kita tidak berjumpa. Rasa kekok pula rasanya.” Eira berbasa-basi.

Mereka terus bersembang rancak. Eira menceritakan pengalaman pahit manisnya di dalam tahanan. Ika pula menceritakan bahawa pengajiannya cuma tinggal lagi satu bulan untuk dihabiskan. Awal bulan hadapan majlis konvo akan diadakan.

“Akak, ayah panggil. Ayah kata jangan kawan dengan perempuan itu. Dia itu pernah masuk penjara.” Tiba-tiba adik kecil ika yang berumur tujuh tahun berteriak dari atas tangga rumah.

Eira tertunduk malu. Ika berasa bersalah dengan tindakan adiknya. Ika meminta izin untuk naik berjumpa dengan ayahnya. Dia menghampiri adiknya yang sedang berdiri tercegat di tangga. Tangannya segera mencapai kuping telinga adiknya dan memulas lembut.

“Tak baik tau adik cakap macam tu.”

Kira-kira sepuluh minit berlalu, ika datang dengan air mata yang bergelinangan. Dengan tersipu-sipu ika mengatakan ayah barunya itu tidak membenarkan ika bergaul dengan eira lagi. Katanya takut ika terpengaruh dengan kejelekan peribadi eira.

Eira cuba untuk menenangkan ika. Dia mengatakan bahawa dia memahami situasi ika. Lagipun ayah mana yang tidak takut anaknya bergaul dengan bekas pelacur. Setelah berbasa-basi seketika, eira meminta diri untuk pulang. Lagi pula ika kelihatan seakan mahu tidak mahu berbual dengannya.

 Majlis konvokesyen ika seminggu sudah berlalu. Kini dia sedang menunggu keputusan permohonannya menyambung pelajaran di peringkat Masters di luar negara. Dia yang tidak bekerja kini hanya terperap di rumahnya sahaja.

Teet..Teet. Satu Sms masuk ke telefon bimbit ika.

“Salam ika. Jom keluar minum malam ni. Saya belanja awak.” Sms yang diterimanya dari eira.

Mulanya ika memberi alasan bahawa ayahnya tidak membenarkannya keluar rumah di malam hari. Tetapi setelah dipujuk eira, ika terpaksa mengalah juga. Eira mengatakan bahawa dia tahu yang ika sudah segan dan malu untuk rapat dengannya. Iyalah siapa yang tidak malu berkawan dengan bekas tahanan penjara.

 Katanya jika ika sudah segan bersahabat dengannya, dia berjanji bahawa kali ini kali terakhir dia akan bertemu dengan ika. Selepas ini dia tidak akan lagi menunjukkan wajahnya di hadapan ika.

Malam itu eira memandu kereta jirannya. Dia meminjamnya dengan bayaran mengisi penuh minyak kereta tersebut. Malam itu dia membawa ika minum di sebuah restoran mamak berdekatan dengan Jalan Chow Kit.

Eira menceritakan perihal sebenar yang berlaku ke atasnya pada malam hari dia ditangkap oleh pihak jabatan agama. Dia menceritakan bahawa dia benar-benar terdesak untuk mencari duit bagi menampung kos pembedahan ibunya.

Eira juga menceritakan bagaimana seorang cina Buddha telah menyedarkannya daripada tersilap membuat keputusan. Menyedarkannya daripada mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Ika. Mungkin awak tak percaya bahawa saya sebenarnya masih lagi seorang gadis. Tuhan telah menghantar uncle cina itu bagi menyelamatkan kehormatan saya. Sukar untuk percaya kan ? Peraturan tuhan itu kadang-kadang sukar untuk kita menerkanya.”

“Saya sentiasa percaya pada awak eira. Tetapi awak kena faham. Awak pernah ada rekod buruk dipenjara. Saya takut kesilapan lalu awak itu turut menjejaskan nama baik saya. Saya harap awak faham ya.”

“Tak mengapa. Saya faham.” Eira hanya mampu tersenyum pahit.

Ika meminta izin untuk ke bilik air sebentar. Eira hanya memerhatikan jejak langkahnya.

“Maafkan aku ika. Aku sedar aku bukanlah sahabat terbaik kau. Ini semua untuk kebaikan orang lain.”

Kira-kira jam 11 malam mereka bertolak pulang. Eira mengambil jalan yang sedikit jauh untuk ke rumah ika. Kereta yang dipandunya juga sedikit perlahan.

“Kenapa ikut jalan jauh ni eira ? Kalau boleh bawa laju sedikit kereta, mata saya sudah layu ni. Kenapa kuat sangat rasa kantuk malam ni.” Ika membebel.

“Tak mengapa, awak tidur dahulu.”

“Eh eira. Kenapa awak patah balik ni. Awak nak bawa saya ke…”

Belum sempat ika menyudahkan ayat, matanya yang terlalu lemah itu tewas dengan ubat tidur yang di telah eira letakkan ke dalam minumannya tadi.

“Maafkan saya ika.”

**********
  
Kesilapannya enam tahun yang lepas kini dia tangisi. Kesilapan dalam menguruskan permohonan zakat eira. Tuan Rizal kini berasa bersalah terhadap eira dan anak perempuan isteri keduanya, ika.

Kini dia dalam perjalanan menuju ke penjara tempat anaknya ditahan. Tiga tahun dalam tahanan bukannya suatu tempoh yang sekejap. Dalam tiga tahun tahanan, pengajian dan nama baik anaknya hancur begitu sahaja.

Dia masih ingat akan peristiwa tiga tahun yang lalu. Pada malam dia masih berada di pejabat. Isterinya yang kedua menghubungi memaklumkan bahawa anak mereka, ika masih belum pulang ke rumah. Malam sudah lewat jam 11.

Tiba-tiba dia mendapat panggilan yang melaporkan kegiatan pelacuran di jalan Chow Kit. Tanpa memikirkan keselamatan anaknya yang sekarang entah di mana, Tuan Rizal bergegas menuju ke tempat yang dilaporkan.

Dia meninggalkan pesan kepada isterinya agar memakluminya apabila ika sudah pulang ke rumah. Dan hari ini dia menyesal kerana lebih mementingkan nafsunya berbanding keselamatan anaknya.

Masih dia teringat betapa terkejutnya dia ketika menyelak kain selimut dalam salah satu bilik di pusat pelacuran tersebut.

“Ya Allah ! sayang…”

Tubuh yang sedang berbaring dalam keadaan tidak sedar diri itu rupanya anak dari isteri keduanya, ika. Anaknya tidak sedarkan diri kerana telah terbius dengan ubat tidur. Tuan Rizal segera menghubungi pejabatnya. Dia meminta pekerjanya memastikan siapakah nama individu yang melaporkan kegiatan pelacuran ini.

“Namanya eira Tuan. Dia hanya memberikan nama pendeknya sahaja.”

Malam serbuan itu juga eira yang sedang memerhatikan dari jauh berasa puas kerana kini dendamnya terbayar. Walaupun terpaksa mengorbankan persahabatannya dengan ika, tetapi dia tetap sahaja puas.

Tetapi eira tidaklah sebegitu kejam untuk mengorbankan kesucian sahabatnya itu. Dia telah membayar kepada tuan pusat pelacuran beberapa ratus ringgit untuk menjaga sahabatnya itu. Dengan balasan ika hanya akan dikunci di dalm bilik tersebut dan tiada sesiapa yang dibenarkan untuk masuk ke dalamnya.

Malam itu Jalan Chow Kit menjadi saksi dendam seorang gadis yang dizalimi terbayar. Malam itu Jalan Chow Kit menjadi saksi seorang pegawai agama insaf dan kesal dengan kezaliman yang dilakukannya selama ini.

Malam itu juga Jalan Chow Kit telah menjadi saksi seorang gadis hampir-hampir tercemar kegadisannya.

Bangkitlah gadis Jalan Chow Kit.

Tuntutlah hak kalian dari pihak berkuasa !

25 ulasan:

  1. wahh...ade bakat menulis lah...teruskn ok


    do visit n follow me
    http://myaleo.blogspot.com/2012/07/singgah-sat.html

    BalasPadam
  2. kesian eira iqa..
    tuan rizal kuat nafsu...
    asal eira x pinjam mara atau jpn..

    BalasPadam
  3. Terima kasih.

    Haha..kalau pinjam Mara atau Jpa, nanti kena bayar balik mahal juga. Lagi satu kalau dia pinjam Mara/Jpa..habis laa modal saya nak buat cerita. ^^

    BalasPadam
  4. sangat suka cerpen ni! Realiti yang memang tak boleh disangkal lagi

    BalasPadam
  5. Ayah saya pernah bekerja sebagai pegawai di pusat zakat..memang banyak penyelewengan berlaku dan setiap kali ayah sy menegur atau mengkritik, pasti beliau akan di balas kembali oleh bosnya.. ayh sy dah tak tahan dan mengambil keputusan utk meletakkan jawatan. enggan bersubahat lg dgn penyelewengan.

    pegawai2 yg tinggi ini, mereka banyak melaburkan wang zakat dalam projek2 besar org2 kaya dan ternama sedangkan apabila orang tua dan fakir miskin datang ke pusat zakat untuk memohon zakat, mereka diherdik dan dihalau. itulah yg ayah sy saksikan. malah setiap kali juru audit dari lembaga pengarah datang untuk memeriksa akaun pasti yg diberi adalah laporan palsu jauh dari kebenaran bg menutup wang2 yg telah diselewengkan. entah siapalah yg dapat kita percayakan lagi dalam institusi zakat pada hari ini.. teringat zaman khalifah umar abd aziz..tiada seorang pun rakyat yg tidak terbela kesusahannya.,hmm..

    BalasPadam
  6. wahhh.. memg layn bce crita nie..
    sedih mengenangkn kepayhn eira. huhu~ ^^

    BalasPadam
  7. aisyah..terima kasih.

    wah perkongsian yg sangat menarik. Itulah yg jadi bila urusan agama diuruskan oleh mereka yg bukan ahlinya. Kalau ahli dari segi keilmuan sekali pun, belum tentu ahli dari segi kesedaran dan kefahaman.

    Moga yg bersalah tu dpt betulkan diri dan moga kita yg bakal menggantikan tempat mereka2 yg bersalah tu, dapat persiapkan diri.

    BalasPadam
  8. dah baca..pandai si pengarang cerpen ni menulis..ada bakat..teruskan..InsyaAllah :)

    BalasPadam
  9. hmm...cerita yang lain drpd yang lain. Tapi dendam bukanlah sesuatu yang bagus untuk dipendam.overall ur story is good. tahniah dik.

    BalasPadam
  10. Ain..i.Allah..ameen..

    nas..terima kasih.

    BalasPadam
  11. Adakah dendam jln penyelesaian utk peg2 zkt yg tak amanah? Entahlah...anyway ada bakat. Teruskan....

    BalasPadam
  12. sebenarnya dendam bukanlah jalan penyelesaian yg terbaik utk apa2 jenis masalah.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  13. wow ! keep it up ! citer yg mnarik ;D

    BalasPadam
  14. syalyn..Terima kasih ya. I.Allah.

    BalasPadam
  15. BEST!!! mOGA TERUS BERMUJAHADAH DALAM PENULISAN BLOG YA!! ANA SOKONG...... BEST CTER NII^______^

    BalasPadam
  16. farah fariza..terima kasih. Doakan saya lebih istiqamah ya.

    BalasPadam
  17. sempoi tapi cukup berkesan .....mesej yang cube disampai tahniah.....

    BalasPadam
  18. terima kasih.
    doakan moga lebih istiqamah ya ^^

    BalasPadam
  19. jln cita yg menarik leh wt filem hehe...jom follow blog saya plk :) http://kakiblogger.mygeng.org/#s01

    BalasPadam
  20. hazanis..haha, jauh lagi perjalanan saya untuk sampai tahap buat filem tu..I.Allah kita belajar sikit2..

    BalasPadam
  21. bintu fareena..terima kasih sudi singgah. Moga ada manfaat.

    BalasPadam
  22. aqilah..afwan. Moga ada manfaat.

    BalasPadam

Ajari Saya Menulis. Harap dapat memberi Kritikan-kritikan yang membangun.