Memaparkan catatan dengan label Taqwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Taqwa. Papar semua catatan

Rabu, Mac 14

Road To Taqwa : Muraqabah


            Antara kaedah yang patut aku ambil dalam perjalanan menuju taqwa adalah dengan ber ‘muraqabatullah’. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam buku panduan kehidupan (al-quran)

“Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk solat) dan melihat pula perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.” (1)

Dan juga sebagai mana yang digambarkan oleh rasulku tercinta bahawa dalam membuat amal kebaikan dan kebajikan, aku hendaklah sentiasa merasakan bahawa pada ketika itu Allah sedang berada di hadapanku. Aku sedang membuat persembahan dihadapan-Nya. Seakan-akan aku nampak zat Allah di hadapanku.


Andai aku tidak mampu merasakan bahawa aku sedang di hadapan-Nya dan aku sedang memerhatikan-Nya, maka pesan nabiku lagi aku hendaklah sedar bahawa Allah sentiasa berada di hadapanku. Aku hendaklah sedar bahawa setiap langkahku, ke kanan, ke kiri, melompat, menari semuanya sedang diperhatikan-Nya. Semuanya berada di dalam pengetahuan-Nya.

Sebagaimana wanita yang di muraqibkan lelaki di malam hari(2). Wanita yang berjalan di hadapan merasakan setiap gerak gerinya sedang diperhatikan  si lelaki di belakang. Oleh itu si wanita akan sentiasa seupaya mungkin menjaga pergerakannya bagi menjaga status keayuan dan kesolehahannya. Sebagaimana juga si lelaki yang sehabis mungkin ‘mengontrol’ ke’macho’annya di hadapan wanita. (walaupun hakikatnya dia tak macho)

Muraqabah : Merasakan keagungan Allah Azza Wa Jalla di setiap waktu, tempat dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya di kala bersendirian ataupun di khalayak ramai.

Cara Muraqabah
           
           Antara cara yang dapat aku aplikasikan dalam bermuraqabah adalah sentiasa mempersoal dan mempertimbangkan niatku sebelum melakukan sesuatu perbuatan atau pertuturan. Hatiku akan sentiasa bertanya ‘sebab apa aku buat benda ni’. Adakah sebab aku nak popular, atau aku nak bagi orang nampak aku ni soleh, nak men’capap’ (mencari publisiti) depan orang lain. Betulkah aku ini ikhlas kerana Allah. Kalau betul ikhlas kerana Allah, banyak mana ikhlas? Ataupun aku kongsi ikhlas untuk Allah sikit dan ikhlas untuk manusia sikit?

Aku ini kadang-kadang sahaja berjemaah di masjid. Tapi yang bagusnya aku ini setiap kali berjemaah di masjid, solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu pasti aku tak lupa. Aku pasti akan mengerjakannya. Cumanya yang pelik bila aku solat fardhu di rumah tak pula aku mengerjakan solat sunat. Betulkah aku ni ikhlas?

Walaupun kadang-kadang aku rasa lebih baik aku tidak melakukan sesuatu perkara itu kerana tidak cukup ikhlas, tetapi aku sedar jika aku terus tinggal dan tidak melakukannya, itulah kemenangan terbesar kepada syaitan hina. Tujuan utama syaitan ialah ingin menghalangku melakukan amal kebaikan. Langkah pertamanya adalah dengan mengganggu keikhlasan niatku. Maka jika aku terus meninggalkan amal kebaikan itu maka itu bermakna aku telah merealisasikan tujuan utama syaitan.

Dalam melakukan amal kebaikan aku hendaklah dengan segera melakukannya tanpa bertangguh kerana khuatir semangatku itu akan terpadam dengan godaan syaitan. Dan dalam bermaksiat kepada Allah aku hendaklah menangguhkan maksiatku itu moga-moga usaha itu dicatat malaikat sebagai amal kebaikan dan aku mampu mempertimbangkannya untuk kali yang kedua.

Bentuk Muraqabah

1.         Ikhlas : Dalam melakukan ketaatan. Aku sentiasa menyucikan niat semata-mata kerana-Nya.

2.         Taubat : Dalam bermaksiat. Jika aku bermaksiat aku akan segera bertaubat, menyesal, dan berazam dengan penuh keyakinan yang aku tidak akan melakukan kemaksiatan itu lagi.

3.         Adab dan syukur : Dalam perkara yang harus. Aku sentiasa beradab dan bersyukur dalam melakukan setiap pekerjaan. Beradab dengan tuhan dan manusia. Bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan-Nya.

4.         Redha dan doa : Dengan merasakan kehadiran Allah, jika aku ditimpa musibah aku akan sentiasa redha dan memohon pertolongan-Nya dengan penuh kesabaran. Aku menghadapi ujian yang tiba dengan keyakinan bahawa ianya dapat mengangkat darjatku ke tempat yang lebih mulia dan bukannya jalan untuk menjatuhkanku ke tempat yang hina.

Penutup

Dengan merasa kehadiran-Nya, aku dapat beristiqamah di atas jalan syariat-Nya. Walaupun istiqamah itu agak sulit untuk aku lakukan, lebih sulit daripada taubat dan penyesalan, tetapi dengan berbekalkan perasaan bermuraqabah aku akan sehabis mungkin berusaha untuk sentiasa istiqamah di atas jalan-Nya.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
  1. Asy-syura : 218-219
  2. Muraqib adalah sebuah sistem penjagaan dan pengawasan terhadap wanita daripada ancaman pemuda-pemuda yang berniat jahat. Diamalkan pelajar malaysia di Jordan. Pihak lelaki akan berjalan di belakang pihak wanita untuk menjaganya daripada perbuatan jahat pemuda arab khususnya.




Read more...

Sabtu, Februari 4

Road To Taqwa : Mu'ahadah

Percaya

      Taqwa. Aku dah dengar banyak kali dah perkataan ini masa kat sekolah menengah dulu. Dari form 1 sampai ke form 5 takrifan taqwa yang aku dengar banyak kali berubah. Biasalah, kefahaman itu ikut tahap masing-masing. Tahap kefahaman dan tahap umur itu berbeza. Aku yang besar tak semestinya lebih faham dari dia yang kecil. Semua tergantung pada gaya hidup, suasana, dan diri kita sendiri.

    Antara makna taqwa yang aku pernah dengar, dari perbualan dua orang sahabat nabi. Saidina Umar r.a dengan Ubay bin Ka'ab. Lebih kurang maknanya sebegini (bukan teks asal perbualan) :

Umar : Ubay, menurutmu taqwa itu apa?
Ubay : Kamu pernah melalui jalan yang berduri?
Umar : Pernah!
Ubay : Bagaimana cara kamu melaluinya.
Umar : Aku berhati-hati, waspada dan penuh keseriusan.
Ubay : Haa, itulah taqwa

    Taqwa itu maknanya aku hendaklah sentiasa berhati-hati, teliti, takut, bersungguh-sungguh, bersemangat, berwaspada(dan segala 'ber..' yang berkaitan) dalam menjaga tahap keimanan, menjaga segala aspek dalam kehidupan, sejak bangun dari tidur sampai tidur balik, daripada melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.

     Makna lain bagi taqwa yang aku tahu, dari hadis rasulullah s.a.w ( Kopi & pasta dari Genta Rasa)

Tidak akan sampai seorang hamba ke darjat orang bertaqwa sehingga dia meninggalkan hal  yang kecil yang mungkin tidak mengapa, kerana bimbang jatuh di dalam yang ditegah Allah. ( Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari).

    Maksudnya kalau aku betul-betul nak jadi orang yang bertaqwa, aku kena sentiasa cuak dan berhati-hati dalam setiap perbuatan dan percakapan supaya ianya tidak melanggari peraturan yang Allah tetapkan. Setiap kali aku hendak melakukan sesuatu, aku mesti tanya diri sendiri 'dapat pahala ker dapat dosa kalau aku buat macam ni?, aku buat ni Allah redha tak?'

    Tetapi tidak bermakna, dengan alasan nak menjaga taqwa aku kena duduk di masjid 24 jam sehari, aku tidak boleh makan ayam sebab tak tau ayam tu kena sembelih macam mana, putus ke tak putus, aku berjalan kena pandang bawah saja, sebab nak 'tundukkan' pandangan. Tak.

    Pada aku islam itu sempoi. Orang-orang islam itu cool. Islam itu simple dan memudahkan. Kadang-kadang kita rasa islamlah yang menyebabkan kemunduran. Orang-orang 'agama' ni kolot. Susah nak kaya. Pelajar-pelajar jurusan agama ini semuanya jenis 'kurang cerdik' sikit. Kalau result peperiksaan anak aku teruk, aku ingat nak hantar dia masuk tahfiz jer..Tak. Islam bukan macam itu.

    Islam itu fitrah. Lahirnya seorang baby yang comel itu (ataupun yang kurang comel, dan yang tak comel langsung) dalam keadaan fitrah. Fitrahnya sepatutnya begini dan begitu. Fitrah kereta bergerak di atas darat, kalau kita pi redah jalan kat laut memang hancuss la kereta tu. (kereta kebal lain laa) Semuanya dah diajar, tinggal kita saja yang nak ikut.

     Dulu ustaz selalu beri nasihat yang aku kena ada jati diri sendiri. Aku kena jadi diri sendiri. Jangan jadi plastik. Elastik. Depan orang baik bagai malaikat, belakang orang jahat macam 'setan'. Di masjid solat sunat bukan main semangat, di rumah solat fardhu pun ditangguh-tangguhkan. Jangan terlalu bergantung pada suasana senang cakap.

Mu'ahadah (mengingati perjanjian)

     Perkataan ini diambil dari firman Allah Ta'ala :

"Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji..." (An-Nahl:91)

     Aku pun baru dengar perkataan ini di Jordan. Mu'ahadah ini ulama' kata ianya adalah salah satu cara untuk mencapai sifat taqwa. Caranya adalah dengan berkhalwah(menyendiri) dan ingat balik janji-janji yang aku pernah buat dengan Allah. Aku kena sentiasa tanya pada diri, 'Aku ni setiap hari memperbaharui janji dengan Allah ketika mana aku membaca di dalam solat' :

   "Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan"

     Setiap kali solat aku berjanji kepada Allah bahawa aku takkan sembah melaikan kepada-Nya. Aku takkan merasa tenang kecuali jika Dia redha dengan perbuatanku. Aku akan sentiasa minta perlindungan dari-Nya. Aku akan sentiasa merindui dan mencintai-Nya dalam setiap hembusan nafasku. Dan aku akan sentiasa menjaga 'perasaan'-Nya daripada marah kepadaku.

    Oleh itu, aku mestilah sentiasa takut janji-janji yang aku tabur dahulu, kini aku sendiri yang mengkhianati. Bimbang aku yang mula beriman kembali ingkar, aku yang telah mendapat petunjuk kembali tersesat. Kerana aku tahu bahawa jika aku yang sesat, jika aku yang ingkar, jika aku yang langgar fitrah, padahnya aku yang tanggung sendiri. Bukan mak ayah aku, bukan kawan-kawan aku, bukan masyarakat sekeliling aku tetapi diri aku yang akan tanggung sendiri.

    Antara suami isteri, perkara yang paling ditakuti adalah pasangannya hilang rasa percaya terhadap janji-janjinya. Pasangan yang bercinta paling bimbang bila masing-masing tidak saling mempercayai.

   Kalaulah Allah boleh bosan dengan janji-janji palsu kita, bagaimana ya? Kalaulah Allah sudah hilang percaya dengan janji kita, apa yang akan jadi ya?

Read more...