Ahad, Ogos 4

Micro-Cerpen : Fitnah Uzlah




Arif membalik-balikkan stik daging kambing satu per satu. Berhati-hati agar tidak terlalu well-done dan tidak pula terlalu under-cook. Kali ini dia ingin mencuba selera stik kambing medium-rare. Perang dan rangup di luar, pink dan lembut di dalam.

Seikat daun rosemary dicapai, dicelup ke dalam campuran minyak zaiton cold-pressed dan balsamic vinegar kemudiannya disapu rata ke atas stik kambing. Lalu lebihan minyak yang bercampur cairan lemak kambing menitis ke atas kayu bakar dan mengeluarkan asap aroma yang menggiurkan.

Mungkin sudah rezeki Arif anak beranak, pokok maple yang besar gedabak di belakang rumahnya tumbang pada minggu lepas. Tumbang kerana disambar petir ribut. Jadi tidak perlulah dia bersusah payah ke hutan mencari kayu maple untuk meng'smoke'kan stik kambingnya hari ini. Alhamdulillah.

Dia menelangkupkan penutup besi ke atas stik kambing agar asap yang terhasil dapat terkumpul dan meresap perlahan-lahan ke dalam stik kambing. Katanya asap kayu maple ini rasa dan berbau manis.

Dia bergegas ke kebun sayuran di sebelah kanan rumahnya. Niatnya ingin memotong asparagus sepuluh atau dua puluh batang dan seterusnya memetik cendawan shiitake. Dia paling suka asparagus yang dibakar sedikit kehitaman. -Nama isterinya- (berangan sendiri arep..haha), isterinya pula amat suka cendawan yang tidak terlalu hitam dibakar.

Dia memandang sekeliling kebun. Masih banyak sayuran yang tumbuh belum dipetik. Memandangkan hari ini hari ulang tahun perkahwinan mereka, dia ambil keputusan untuk memetik kesemua jenis sayuran yang boleh dibakar dan dibuat salad. Setiap jenis dipetik dalam kuantiti yang mampu dimakan mereka anak beranak.

"Walid ! Bonda dapat ikan salmon ungu. Besar !" Faris anak bongsunya tiba-tiba berteriak.

Dia mencapai kesemua sayuran yang dipetik dan bergegas ke sungai di halaman belakang rumahnya. Kelihatan Faris begitu teruja bermain dengan salmon hasil pancingan bondanya.

"Wah besar juga salmon ni. Alhamdulillah rezeki kita hari ini. Mungkin sudah tiba musim salmon bertelur agaknya." Dia memuji isterinya.

Memang hampir setiap hujung tahun akan ada masanya sekumpulan salmon menongkah arus ke atas bukit untuk bertelur. Terkadang sampai boleh nampak dari atas permukaan sungai saja. Kata orang tua 'kuak ikan dapat air'.

"Apa kata kalau Faris ambil ikan tu dan lepaskan ke dalam kolam kita. Lusa atau tulat boleh kita tangkap dan makan. Lagipun daging kambing yang abi jerat semalam masih banyak yang tinggal. Tak elok membazir".

Itulah cara dia mendidik anaknya. Tidak pernah memberikan arahan kecuali sekali dua. Segala perbuatan yang dia ingin anaknya lakukan akan dinyatakan sebab dan akibat. Dan tindakan selepas itu tergantung pada keputusan anaknya. Sama ada ingin lakukan atau tidak. Tetapi kebiasaannya Faris tetap akan lakukan.

"Assalamualaikum. Antapa dok buat apa tu kat sungai ? Tu daging kat depan dah berasap-asap." Tegur soledad, wanita kristian katolik jiran rumahnya.

"Waalaikumussalam..oh kak soledad rupanya. Alang-alang dah singgah ni jom lah makan sekali dengan kami." Pelawa isteri Arif.

"Ok juga tu. Saya pun tengah lapar ni. Tambahan lagi terhidu bau kambing bakar si Arif ni."

Dan mereka kesemuanya bergerak ke tempat kambing dibakar. Maka amanlah hidup mereka anak beranak bersama jiran yang baik hati.

******
Malamnya Arif tidak dapat tidur nyenyak. Kerap kali bermimpikan perkara yang sama. Isterinya disebelah kelihatan nyenyak sahaja tidurnya. (siap berdengkur jantan lagi..ahaks)

Bermimpikan arwah bapanya datang dalam pakaian serba putih. Seperti dalam filem melayu kebanyakan. Datang menggenggam tangan dan membimbingnya bangun dari katil. Seraya berbisik :

"Terkadang tempat yang kecil itu mampu membesarkan seseorang, dan terkadang tempat yang besar itu mampu mengecilkan seseorang. Masalahnya bukan terletak pada kecil atau besar sesuatu tempat itu, tetapi terletak pada besar atau kecil jiwa seseorang itu."

Arwah bapanya menambah.

"Jangan pernah merasakan kita tidak mampu membimbing orang lain dek kerana dosa yang pernah kita lakukan. Kerana kerja membimbing ini bukanlah bergantung pada kemampuan yang kita ada, tetapi bergantung kepada kesanggupan kita untuk memberi."

"Keluar dari dunia persembunyianmu nak. Masih ramai manusia yang memerlukan dirimu. Memang benar pengasingan diri itu dapat membesarkan jiwa, tetapi apa guna jika berjiwa besar jika tidak memberi sumbangan kepada manusia lain."

"Jangan kau terbuai leka dengan penguzlahan."

****
Arif terjaga dari lena. Dan yang ada disekelilingnya hanyalah kertas-kertas kosong yang belum bertulis, lagu soledad nyanyian westlife dan iqamah dari corong pembesar suara jami' yang baru kedengaran.

Yearghh!!

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah cerpen yg amat bermanfaat dan mudah utk dicerna dan fahami. Semoga berterusan dalam menegakkan kalam yg benar dan boleh menyentuh hati2 org yg membacanya. Insyaallah.

    BalasPadam

Ajari Saya Menulis. Harap dapat memberi Kritikan-kritikan yang membangun.