Ahad, Mac 11

Cerpen : Awak



“Apa kamu ingat ini rumah bapa kamu? Sesuka hati kamu hendak keluar pagi malam!”

“Sudah ramai cikgu dan warden-warden bercakap tentang kamu. Mereka kata kamu biadap, tak kenang budi dan macam-macam lagi. Sudahlah pakaian macam jantan, perangai pun dah nak macam jantan!”

Malam itu banyak pasangan mata mengerling awak. Segala jenis kerlingan ada. Kerlingan marah, meluat, bosan, puas hati dendam terbalas dan jijik nak termuntah. Semua senior meninggi suara pada awak. Mereka mahu awak berubah, tetapi dengan cara mereka tersendiri.

 Sebenarnya saya tahu ini bukan kali pertama awak fly dari asrama pada waktu malam. Dan saya juga tahu bahawa semua senior menyangka ini kali pertama awak keluar asrama tanpa izin. Awak rasa selesa kerana perbuatan awak selama ini tidak ada sesiapa yang tahu. Tetapi awak tidak sedar ada sepasang mata yang sentiasa mengambil tahu.

Saya sengaja tidak mahu menegur awak kerana saya rasa belum tiba masanya yang sesuai. Sebenarnya saya tidaklah begitu marah pada awak. Saya tahu awak keluar asrama pada waktu malam bukan untuk melakukan maksiat, awak cuma mahu mencari ketenangan.

Sudah saya tanya pada mak cik Minah tentang awak. Dia kata awak selalu datang ke warungnya pada waktu malam untuk menjamah barang seketul dua kuih yang berbaki petang tadi. Kadang-kadang awak bawa sekali buku untuk mengulang kaji pelajaran. Katanya awak kurang selesa mengulang kaji pelajaran di asrama.

Selalu juga awak datang ke warungnya sekadar meneguk secawan air suam. Dia kata awak sangat rapat dengannya. Ada sekali dua dia ajak awak tidur di rumahnya, tetapi awak menolak. Jika awak tidak tidur di asrama takut-takut subuh nanti senior tahu yang awak keluar asrama tanpa izin.

 “Ahh..kakak-kakak tingkatan lima pun sama sahaja. Tiap malam keluar dengan kawan-kawan yang tidak duduk di asrama. Naik motosikal pula tu. Lagi teruk!”

Lamunan saya terhenti. Awak mula meninggi suara. Awak sudah tidak dapat menahan marah lagi. Ya, siapa yang tidak tercabar egonya bila dimarah di hadapan khalayak ramai. Awak ambil langkah salah.

Pada mulanya semua senior bersepakat untuk memaafkan awak kali ini, tetapi selepas awak mula meninggikan suara, mereka berubah pendirian. Awak didenda membasuh periuk dan talam di dapur sendirian.

Semua kawan yang telah lama menyimpan dendam dengan awak selama ini mengambil kesempatan. Talam-talam yang sepatutnya dibasuh sendiri ditinggalkan. Awak panas hati.

“Nah, basuh talam ni. Budak macam kau ni memang patut basuh talam saja. Kalau tiap-tiap hari macam ni kan bagus. Tak perlu aku bersusah-susah nak basuh talam.”

Salah seorang junior awak terlebih kurang ajar. Awak marah. Talam yang masih belum dibilas air bersih awak hayunkan ke kepalanya. Belum sempat talam sampai ke kepala, seorang senior pantas menepisnya.

“Kenapa dengan kamu ni! Ingat dah kuat sangat nak pukul anak orang? Ok disebabkan kamu semakin kurang ajar, kamu kena basuh semua talam pelajar lain”.

Awak memang selalu macam ini. Selalu bertindak sebelum berfikir. Panas baran. Dahulu masa mula-mula kita berkenalan awak macam ini juga. Saya sebenarnya kasihan dengan awak. Saya ingin menegur dan mengubah tabiat buruk awak, tapi mungkin waktu itu saya belum cukup matang lagi. Baran tidak boleh dipadamkan dengan baran. Api tidak boleh dipadamkan dengan simbahan minyak tanah.

Untuk beberapa bulan saya tidak menegur awak. Bukan saya marahkan awak, tapi saya juga ada ego untuk dipertahankan. Mana boleh senior yang mula meminta maaf daripada junior. Itu kerja gila lagi memalukan. Tetapi setelah saya fikir berulang kali baru saya sedar. Pertelingkahan antara dua saudara tidak mendatangkan kemenangan kepada mana-mana pihak yang bertelingkah. Bahkan hanya mendatangkan kekalahan. Kalah dengan bisikan syaitan.

Malam itu saya mula mengorak langkah. Saya mahu menjernihkan kekeruhan persaudaraan kita selama ini. Saya datang untuk tolong awak basuh talam dan periuk. Saya hanya mendiamkan diri, berfikir cara untuk memulakan perbualan.

“Hah, yang kau ni datang nak apa lagi dari aku. Banyak lagi yang tak puas hati dengan aku? Lepas ni nak kutuk aku apa lagi? Semua kakak-kakak senior sama saja. Ada saja yang tak puas hati dengan aku. Ingat diri tu malaikat kot”.

Saya getap bibir. Dengan tiba-tiba telinga terasa panas. Periuk di tangan dihempas. “Ish, aku la budak ni..”. Sebelum apa-apa yang lebih teruk berlaku lebih baik saya pergi dahulu. Saya tinggalkan awak sendirian. Niat asal untuk meminta maaf terpadam dengan amarah yang membesar. Moga niat asal yang suci itu sudah dicatat sebagai pahala buat saya.

 Malam itu sebelum tidur saya teringat akan peristiwa itu. Nabi Muhammad direjam dengan batu di Taif. Tujuan asalnya juga suci. Kasihkan umatnya. Tidak mahu umatnya berada dalam kemurkaan Allah. Tidak mahu umatnya disiksa dalam neraka kelak. Tetapi balasannya hanyalah maki hamun dan rejaman batu, sehingga dikatakan darah yang mengalir memenuhi kasutnya.

Malaikat penjaga bukit turut terkesan dengan perbuatan penduduk Taif. Nabi ditawarkan sebuah bukit untuk dihempap ke atas penduduk Taif. Biar semua mati dan mendapat balasan yang setimpal. Tapi tahu apa jawapan nabi? Biarkan mereka. Mereka bertindak atas kejahilan mereka. Moga anak cucu mereka nanti ada yang menyahut seruan ini nanti.

Air mata saya mengalir. Sebegitu hebat dugaan perjuangan baginda nabi. Jika hendak dibandingkan dengan saya, layak pun tidak patut dibandingkan. Saya malu. Azam saya esok akan cuba lagi dengan lebih bersungguh dan lebih berhemah. Biar kita sama-sama kalahkan syaitan ya.
              

               * * *

Pagi itu kau jumpa aku seperti biasa. Seperti semalam tiada apa-apa yang berlaku. Pelik sungguh. Sepatutnya kau marah dengan aku, tapi dari riak wajah kau aku dapat rasa sesuatu yang ganjil. Senyuman kau seperti biasa, mudah terlirik. Aku mula berburuk sangka. Hatiku tidak dapat menerima ‘keganjilan’ ini. Tidak mungkin sedikit dendam pun tidak tercalit di hati kau. Itu hampir mustahil.

“Islam bermula dalam keadaan dagang, dan akan kembali dagang seperti permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang dagang (ganjil)”

Tanpa dipinta kau mula bercerita tentang diri kau. Kau cerita kau lahir di luar negara, di bumi anbiya’. Waktu itu ibu dan ayah kau masih belajar di salah sebuah universiti terkemuka Jordan. Ibu kau mula mengenali dan tertarik dengan ayah kau kerana ayah kau banyak membantunya. Ayah kau tolong pasang lampu rumah yang rosak, tolong angkat tong gas memasak, tolong muraqib (menemani untuk melindungi) daripada diapa-apakan pemuda arab dan banyak lagi. Tapi yang tambah menariknya ayah kau sekali pun tidak pernah menyatakan perasaannya secara langsung. Tidak pernah memberi bunga dan tidak pernah ber’sms’ lama.

Perasaan dan hasrat hatinya itu hanya disampaikan melalui perantaraan seorang senior yang sudah berumah tangga. Katanya itu baru cara sebenar untuk memikat wanita. Cara yang lebih berkat dan lebih manis. Lebih diterima agama.

Aku jadi semakin selesa dengan kau. Sebenarnya aku tidak sangka bahawa kau dengan semudah itu menceritakan perihal diri sendiri. Dan aku juga mula rasa bersalah dengan peristiwa semalam. Manusia sebaik kau tidak sepatutnya aku layan sebegitu rupa. Ternyata amarahku telah menutupi kewarasan akalku.

 Cerita mula berubah nada. Kehidupan kau tidak semudah yang aku sangka. Ketika kau berumur lebih kurang empat tahun, kau kehilangan ibu dan ayah. Mereka terlibat dengan sebuah nahas jalan raya. Sejak itu kau tinggal dengan abang dan kakak kau. Pak cik dan mak cik kau juga kadang-kadang datang menjenguk. Sara hidup keluarga kebanyakannya datang dari mereka.

Nada cerita dan riak muka tak selari. Riak muka kau sama saja. Mudah tersenyum. Aku yang hanya mendengar ini pula mula sebak. Aku jadi simpati dengan jalur cerita hidup kau. Kau kata kau tak layak untuk bersedih. Kau tak layak untuk mengeluh.

Kau kata para nabi dan orang soleh terdahulu lebih hebat ujian yang ditanggung mereka. Makin besar ujian yang ditanggung seseorang itu, makin besar jiwa dan potensinya. Ujian datang bukan untuk melemahkan tetapi sebagai alat untuk menambah kekuatan.

Cukuplah Nabi Muhammad sebagai contoh mudah. Kau bercerita bahawa peribadi terulung itu dilahirkan dalam keadaan yatim. Bapanya dijemput ilahi beberapa bulan sebelum dia dilahirkan. Belum sempat dia bermanja dengan ibunya, ibunya pula dijemput pergi. Dia kemudian tinggal bersama datuknya. Kali ini mungkin ujian terhebat yang menggoncang kelembutan jiwanya. Datuk yang selama ini menjadi pembela setianya dan isteri tercinta yang menjadi tempat menenangkan jiwa pula dibawa pergi.

Kau terdiam seketika. Riak muka kau kini sedikit berubah. Mata semakin memerah, hidung mula merembes cecair basah dan tiada lagi tentangan mata yang terserlah. Manusia jenis apakah kau ini? Kesusahan yang kau tempuhi tidak kau tangisi, kesusahan orang lain pula yang kau tangisi.

“...Maka beruntunglah orang-orang yang dagang (ganjil)”

Kau kata kau malu. Malu dengan para nabi, malu dengan anak-anak Palestin, Somalia dan Syria. Ujian mereka lagi hebat daripada kita. Layakkah untuk kita bersedih dengan ujian yang tak seberapa ini. Tidakkah kita malu kepada mereka untuk menangisi ‘ujian’ yang kita lalui ini.

Dalam perihal kenikmatan dan kesenangan kau melihat kepada mereka yang berada di bawah. Kau bersyukur. Dalam perihal ketaatan kepada Allah kau melihat mereka yang lebih atas dan mulia. Kau berasa tidak cukup. Barulah syukur dapat ditingkatkan dan amal dapat diperbanyakkan.

Aku terkedu. Dup dap dup dap. Rentak degup jantungku berubah tempo dan irama. Tubuhku sedikit bergetar tak bersebab. Sejuk, bukan. Takut, jauh sekali. Rasanya suatu masa dahulu pernah aku rasa perasaan ini. Ya. Perasaan inilah yang aku rasa ketika mengikuti abah berkuliah subuh di surau kampungku. Sudah lama aku tidak merasai perasaan ini. Aku jadi rindu. Rindu pada abah yang dahulu.

Sewaktu kecilku dahulu, abah selalu membawaku mengikutinya berjemaah subuh di surau. Abah akan membangunkanku di awal pagi. Tidak seperti abah-abah yang lain, abahku punyai cara tersendiri untuk membangunkanku dari lena. Selalunya abah akan mengucup dahiku, mengelus rambutku dan menjentik-jentik lembut telingaku berulang kali. Telingaku terasa geli. Kadang-kadang aku sengaja tidak mahu bangun dari katil kerana aku tahu walaupun aku terus tertidur abah pasti akan membawaku ke surau juga. Abah akan menyarungkan telekungku dan menggendongku ke surau.

Abah imam besar di surau. Seusai mengimami jemaah subuh, abah akan memberi sedikit Kulsum kepada para jemaah. Kulsum itu kata abah bukan sahaja sama penting dengan kalsium bahkan lebih. Kuliah sepuluh minit setiap pagi dapat menguatkan semangat sepanjang hari.

Kriing..Loceng penanda tamat waktu rehat menyentak lamunanku. Aku bingkas bangun dari kerusi dewan makan. Belakang hujung tudungku diterbalikkan sedikit dan sisa-sisa minyak di bibirku dikesat. Kau tersenyum dengan lagakku. Kau keluarkan sehelai sapu tangan dari kocek jubahmu dan menghulurkannya padaku.

“Kita ini perempuan, bukannya lelaki. Penampilan dan kekemasan diri kena sentiasa ambil berat. Islam sangat teliti dalam bab kebersihan. Lagipun nanti kalau pelajar lelaki nampak macam mana? Jatuhlah saham kita nanti.”

“Eh, orang solehah macam kakak pun bersembang fasal lelaki. Tak sangka pula saya. Tak berdosakah?”

“Haruslah… Kakak kan juga perempuan. Sama macam awak. Ada kecenderungan terhadap lelaki. Cumanya jangan sampai perasaan kita itu melalaikan diri sudahlah.”

Hatiku makin senang dengan cara kau. Tidak seperti senior-senior yang lain, kau lebih sempoi dan lebih bersederhana. Aku suka.

                                                                               * * *


             
           
            Alhamdulillah. Semenjak perbualan kita di dewan makan sekolah dahulu, awak semakin rapat dengan saya. Kita sentiasa bersama-sama setiap masa. Awak tidak lagi segan untuk berkongsi masalah awak dengan saya. Saya juga kadang-kala berkongsi sedikit masalah saya dengan awak. Betullah kata orang, langkah pertama untuk memperbaiki peribadi seseorang itu adalah dengan membina jambatan hati dengannya.
             
            Saya sudah menanggap awak sebagai adik kandung saya. Lagipun saya anak bongsu, tidak pernah merasa bagaimana menjadi seorang kakak. Dari awaklah saya belajar menjadi seorang kakak.
            
            Awak juga sedikit sebanyak berubah ke arah yang lebih baik. Peribadi awak semakin berlemah-lembut. Tidak lagi kasar seperti dahulu. Baran awak juga semakin mudah dikawal. Cuma kadang-kadang sahaja baran awak terlepas keluar. Jika dahulu awak hanya bertudung apabila di asrama dan sekolah sahaja, tapi sekarang awak sudah terbiasa bertudung di mana-mana sahaja. Gambar-gambar awak yang tidak menutup aurat di facebook telah awak padam. Awak juga semakin selesa mengenakan sarung lengan.

            Mungkin dalam kalangan sahabat-sahabat awak, saya lah yang paling gembira dengan perubahan positif awak ini. Saya sangat gembira kerana usaha saya selama ini mula menunjukkan hasilnya. Melihat perubahan awak ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk memperbaiki diri dan juga orang lain. Harapan saya ingin menjadikan awak sebagai ‘tiket’ saya untuk menempah ganjaran syurga nanti. Boarding-pass saya untuk melangkah masuk ke pintu gerbang syurga.

            Saya sentiasa percaya dengan janji rasul tercinta bahawa barang siapa yang menjadi penyebab seseorang itu mendapat hidayah dari Allah, maka ganjarannya lebih baik daripada dunia dan seluruh isinya.

            Jam di dinding bergerak tepat ke angka satu. Teet..teet. Bunyi dari telefon bimbit mematikan lamunan saya. Di skrin telefon terpapar 1 new massage. Saya tersenyum sendirian. Punat buka di tekan.

            “Hah, bawa henfon ke asrama. Nak kena habaq kat warden ni!”

            Saya tersentak. Sepantas mungkin saya sorokkan Samsung Galaxy kesayangan ke bawah bantal. Perlahan-lahan saya mengerling ke arah pintu.

            “Haha, tahu takut”

            “Oh Ain rupanya. Dah lewat pagi ni, kenapa tak tidur lagi?”

            “Ain tak boleh tidur lah kak. Mungkin sebab petang tadi Ain dah banyak tidur, malam ni jadi tak mengantuk pula.”

            “Itulah orang tua cakap jangan tidur selepas asar. Nanti malam susah nak tidur. Kalau nak tidur pun sekejap sudah lah”

            “Petang tadi Ain penat sangatlah kak. Yang kak tak tidur lagi ini kenapa. ‘Sms’ dengan ‘boyafriend’ ya?”

            Gurauan awak menyentak jiwa saya. Saya rasa malu sendiri. Bagaimana rasanya mahu menerangkan perkara ini kepada awak. Saya dengan dia bukannya bercouple pun. Kalau bercouple sekalipun kami bukan seperti pasangan couple lain. Kami jauh beza dengan mereka. Cinta mereka berpaksikan nafsu. Perbualan mereka hanya berkisar tentang perkara sia-sia. Perkara yang menaikkan syahwat semata-mata.

            Kami lain. Kami bercinta atas dasar agama. Kami saling nasihat-menasihati. Dia selalu mengejutkan saya untuk berqiamullail. Dia selalu berpesan agar saya rajin berpuasa. Segala pesanan yang dia berikan selalunya mudah untuk masuk ke dalam hati saya. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mengikutinya.

            “Eh mana ada. Akak sms dengan kawan perempuan sekolah lama akak lah.”

            Saya menipu. Walaupun saya rasa perhubungan saya dengan dia tidak bertentangan dengan agama, tetapi tidak tahu mengapa di hadapan awak saya rasa bersalah untuk menceritakannya. Kadang-kadang saya terfikir, mungkin ini salah pada hakikatnya. Mungkin saya sudah terpedaya dengan bisikan syaitan. Tetapi setiap kali rasa bersalah itu hadir, kenangan-kenangan dan ayat-ayat cinta dari dia selalu datang memenangkan saya.

            “Ain nak tidur dengan kak boleh tak malam ni? Ain rindu rumah lah kak.”

            Awak mula berbaring di sebelah saya. Kita bersembang lama pagi itu. Awak banyak bercerita tentang keluarga awak. Sejak ayah awak berkahwin satu lagi, hubungan keluarga awak tidak lagi hangat seperti dahulu. Ibu dan ayah awak sering kali bergaduh. Akhirnya awaklah yang menjadi mangsa keadaan.

            Ayah awak juga sudah banyak berubah berbanding dulu. Dia yang dulunya berlemah-lembut dalam pertuturan dan perbuatan kini berubah 180 darjah. Kata-kata yang keluar dari mulutnya semua bernada tinggi. Tangan yang dahulunya lembut membelai dahi kini semakin kasar menampar pipi.

            Ibu awak juga sama. Ada sahaja perkara yang tak kena. Kadang-kadang jelas sangat yang dia mencari sebab untuk melepaskan amarahnya pada awak. Dendam pada ayah, anak pula yang menjadi mangsa. Abang dan kakak awak pula hilang entah kemana. Jarang sekali pulang ke rumah. Mungkin pada mereka kehidupan di luar lebih memberikan ‘ketenangan’ berbanding di rumah.

            Mata awak mula merona merah. Awak menangis.

            “Setiap daripada kita mempunyai ujian dan cubaan masing-masing. Terkadang kita merasakan bahawa ujian yang sedang kita hadapi paling dahsyat berbanding orang lain. Sehinggakan kita terlupa bahawa serumit manapun ujian yang dihadapi, ada insan lain yang lebih hebat ujiannya.”

            “Walau siapa pun ibu bapa kita, kita patut hormat dan berjasa kepada mereka. Walaupun Khalid al-walid merupakan salah seorang tokoh terhebat islam sehingga mendapat gelaran saifullah (pedang Allah), namun bapanya al-walid tetap sahaja seorang kafir pembesar Quraish. Hidup kita di dunia bukanlah untuk ibu dan ayah kita ataupun sesiapa sahaja tapi untuk Allah semata-mata”

            Panjang lebar saya menasihati awak. Harapnya awak dapat faham konsep hidup awak dan terus tabah menghadapi segala bentuk ujian yang mendatang.

Pagi itu awak tertidur dalam dakapan saya. Sebelum mata saya terlelap, saya teringat dengan gurauan awak tadi. Rasa bersalah membaluti relung hati saya.

“Yang akak tak tidur lagi ini kenapa. ‘Sms’ dengan boyafriend ya.”

* * *

Aku kecewa dengan kau. Aku ingat selama ini kau sahabat terbaik aku. Aku ingat antara kita sudah tiada apa-apa lagi rahsia. Tapi sekarang kau sudah sanggup berkata palsu padaku.

Pagi itu selepas aku dan kau terlelap, aku terjaga dari lena. Tidurku terganggu dengan getaran pada bantal. Jam di tangan menunjukkan pukul 4 pagi. Subuh sudah hampir masuk waktunya. Aku bingkas bangun dari katil. Aku ingin ke tandas membuang air kecil dan berwudhuk untuk solat tahajjud nanti.

Belum beberapa tapak aku melangkah pergi, langkahanku terhenti apabila sekali lagi terdengar bunyi getaran pada tilam. “Pukul 4 pagi macam ni siapa pula yang telefon?” Hatiku mula membisikkan perasaan ingin tahu. Lantas tanpa bersalah aku mencapai telefon yang kau sorokkan di bawah bantal. 1 misscall, 1 new massage dari Fattah, ketua pengawas sekolah.

“Salam..awak dah bangun ke belum. Subuh dah nak masuk ni. Nanti terlepas pula solat tahajjud. ^_^ ”

Pada mulanya susah untuk aku percaya. Kau yang selama ini hebat berceramah sana sini, tazkirah tak pernah henti, paling allergic dengan perhubungan haram antara perempuan dan lelaki tapi sekarang kau pula yang mengaplikasikannya. Alangkah indah andai apa yang ku tahu malam ini semuanya mimpi.

Perasaanku juga makin tersiat apabila ‘si dia’ dalam hidup kau adalah salah seorang yang pernah menjadi inspirasiku untuk berubah. Selepas kau, dia lah yang menjadi teladanku untuk terus beristiqamah di atas jalan yang ku pilih ini.

Sedikit sebanyak rasa percayaku pada kau dan dia berkurangan. Pandangan hina dan berburuk sangka kepada kalian pula yang memenuhi hati.

“Setiap anak adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah meraka yang bertaubat.”

Aku cuba untuk memujuk diri. Ya, semua manusia kecuali para nabi pernah dan akan melakukan maksiat. Itu sudah termaktub sejak azali. Melakukan kesalahan dan kesilapan itu perkara biasa dan yang luar biasanya ialah cara bagaimana kita bangun dari terus menerus melakukan kesalahan. Di situlah terletaknya makna mujahadah dan di situ jugalah terletaknya penyebab untuk kita mendapatkan ganjaran pahala dari Allah.

Nabi juga pernah berkata bahawa setiap muslim itu hendaklah membantu saudaranya dalam melakukan kebaikan dan dalam melakukan maksiat. Membantu dalam melakukan kebaikan dengan cara sentiasa menggalakkannya beribadah dan membantu dalam melakukan maksiat dengan cara menasihati dan menegur kesalahannya.

Hampir seminggu juga sejak peristiwa pagi itu aku berfikir bagaimana caranya untuk menjelaskan hakikat kebenaran kepada kau. Hakikat bahawa kau dan dia telah tertipu dengan kelicikan permainan syaitan. Permainan cinta ena-enta, sahabat-sahibah dan juga ustaz-ustazah.

“Kak, saya ada benda nak cakap sikit. Tapi kak jangan marah ya.” Selembut mungkin aku cuba memulakan perbualan.

“Lah kenapa dengan Ain ni. Selama ini kakak pernah marah Ain ka?”

“Ain bersyukur sangat sebab Allah hantar kak kepada Ain. Kak banyak bagi nasihat dan saranan pada Ain. Ain rasa bertuah sangat. Cuma..”

Pada hari itu aku ceritakan segalanya pada kau. Aku cerita yang aku ‘terbaca’ mesej dari dia kepada kau. Aku juga ada baca segala mesej-mesej lama antara kau dan dia.

 “Biasalah jiwa remaja. Mahu menyintai dan dicintai. Itu fitrah biasa. Yang luar biasanya adalah bagaimana cara kita menguruskannya. Cinta itu fitrah, maka jalan yang diambilnya juga hendaklah fitrah asasnya. Barulah layak dipanggil cinta”

Sangkaku dengan peribadi ‘solehah’ kau selama ini, kau dapat menerimanya dengan mudah. Tapi sangkaanku ternyata menyeleset jauh. Peribadi lemah lembut kau selama ini berubah menjadi singa.

“Sampai hati Ain buat kakak macam ni. Siapa yang benarkan Ain baca mesej dalam telefon kakak. Ain takkan faham, semua orang takkan faham. Kami bukan yang macam orang lain faham!”

 Sejak hari itu hubungan kita semakin renggang. Tiada lagi tegur sapa, tiada lagi gurau senda. Tiada lagi berkongsi cerita, suka dan duka. Kau seakan mula meminggirkan diri daripada aku. Nasihat dan pesanan baik kau tidak lagi kedengaran. Aku mula rindu.

Minggu ini minggu outing asrama. Seperti biasa kebanyakan pelajar akan keluar ke Shah Alam untuk mencari barang keperluan asrama. Dan seperti biasa juga rutin bulanan aku, mengambil KTM di Shah Alam ke Interlok Kuala Lumpur (KL sentral) dan seterusnya mengambil LRT ke Suria KLCC. Terus ke gerai buku Kinokuniya. Menghabiskan barang sejam dua menyelongkar mencari novel bukan picisan atau buku motivasi penaik estim diri.

‘Bercinta Sampai ke Syurga’. Aku mahu mencari buku karangan Ustaz Hasrizal untuk dijadikan hadiah ulang tahun kelahiran kau esok. Biar kau baca, hayati dan faham makna kata cinta. Aku juga mahu mencari apa-apa novel cinta daripada Hilal Asyraf dan biar kau mendalami makna cinta yang dibawanya.

Sebelum pulang ke asrama, aku singgah sebentar di Ibn Khaldun Bakery berdekatan pintu utama Suria KlCC. Mencari sedikit manisan sebagai pelapik perut yang tidak diisi sejak pagi tadi. 

Cerah petang yang diharap pada pagi hari terhapus dek renyai hujan tengah hari. Di sudut sedikit tersembunyi di hujung cafe, aku nampak kau dan Fattah sedang rancak berborak. Kau lengkap dengan tudung labuh dan baju kurung, dia pula dengan kopiah putihnya. Hatiku panas. Inikah rupanya wajah sebenar kau dan dia yang selama ini ku kagumi.

Pantas kakiku laju menderu melangkah menghampiri. Tanpa berfikir panjang cawan berisi air minuman yang belum sempatku hirup direjam keras ke kepala Fattah. Kopiah putihnya bertukar merah semerah sirap. Kau dan dia terkejut.

“Ain! Apa Ain buat ni. Bodoh!” Jerkahan kau seiring dengan tangan yang laju melayang menampar pipiku. Plastik di tangan terlepas. Pedih. Hatiku lebih pedih daripada pipiku.

Sekali lagi aku terlalu mengikut emosi. Aku tahu caraku salah. Cuma perasaan terlalu sayangku pada kau dan dia mendorong aku bertindak di luar kewajaran. Aku tidak mahu jika hanya di sebabkan perkara remeh ini, kau dan dia terus tersesat dan hidayah dari-Nya terhijab.

“Pergi! Jangan kau jumpa aku lagi. Aku benci kau!” Jerkah kau tanpa belas kasihan. Perkataan ‘kakak’ bertukar ‘aku’, ‘Ain’ bertukar ‘kau’. Sedalam itukah kebencian kau padaku?

Aku kecewa. Hatiku sedih. Apakah persahabatan yang kita bina selama ini berakhir begitu sahaja. Apakah satu-satunya sahabat yang memahami jiwaku ini mula membenci diri ini. Apakah kehidupan menyendiriku tanpa sahabat-sahabat di sisi sebelum ini akan bermula kembali.

Deras kakiku melangkah pergi sederas degupan jantung kekecewaan di dalam hati. Piinn..Dan yang terakhirku ingat, aku sedang berada di awangan.


        * * *

             Kepada kak Wani,

            Assalamualaikum kak. Ain nak minta maaf. Sebenarnya Ain bukan berniat nak sakitkan hati kak. Ain cuma nak betulkan kesilapan kak. Memandangkan esok hari jadi kak, ini Ain nak hadiahkan buku ‘Aku terima nikahnya’. Ain dah baca habis buku ni. Best sangat. Ain harap kak pun sudi baca buku ni.

            Ain juga nak ucap terima kasih banyak-banyak pada kak. Sebab kak dah banyak bantu Ain perbaiki diri. Abah dan ibu Ain juga dah banyak berubah. Mereka sudah tidak bergaduh seperti dahulu. Mungkin sebab Ain cerita kepada mereka semua yang kak cerita pada Ain.

            Ibu juga dah semakin rapat dengan mama, isteri kedua abah. Rasanya semakin seronok keluarga dengan kehadiran mama. Semakin meriah. Abah juga dah kembali berlemah lembut seperti dahulu. Katanya dia yang banyak bersalah sebelum ini. Dia terlalu memberi tumpuan kepada mama dan melupakan ibu. Dia rasa bersalah sebab takut menjadi punca fitnah kepada agama islam. Poligami itu menjadi lebih indah bila orang yang berpoligami itu pandai menguruskannya.

            Sekali lagi Ain nak minta maaf pada kak. Ain harap persahabatan kita kembali mesra seperti dahulu. Salam sayang dari Ain.

                                   
                                                                              
                                                                                                     Sahabat sehidup semati sehidup kembali,
                                                                                                                                              
                                                                                                                                                Ain.

Surat ringkas itu saya lipat. Air mata jernih mula mengempang di kelopak mata. Saya kesat. Peristiwa 10 tahun lalu masih segar dalam lipatan kenangan saya. Setiap kali teringat akan peristiwa itu, rasa kesal dan sedih pasti menyapa diri. “Maafkan kakak ya adik” hati kecil saya membisik.

Rasa menyesal kerana saya juga tidak menggunakan akal dan hati yang waras untuk menjelaskan perkara yang sebenar kepada awak. Pada hari itu sebenarnya saya dan Fattah ditemani makcik Minah. Saya menceritakan masalah saya pada makcik Minah. Masalah tidak tahu bagaimana mahu menghentikan perhubungan tidak berkat antara saya dan Fattah. Dan pada hari itu makcik Minah sanggup menawarkan diri untuk menjadi peneman saya berjumpa Fattah.

Pada hari itu saya jelaskan segala-galanya pada Fattah. Fattah juga kata bahawa dia sebenarnya sudah lama mahu menghentikan perhubungan ini. Dia sedar bahawa dia sudah tertipu dengan permainan baru syaitan ini. Cuma dia tidak ada kekuatan untuk menjelaskan perkara ini kepada saya kerana bimbang saya akan terluka.

Dan mungkin awak telah tersalah sangka. Ketika itu awak hanya nampak saya dan Fattah sahaja kerana makcik Minah ke tandas untuk membasuh tangan. Mungkin awak sangka saya dan Fattah sedang berdating.

Saya juga bodoh kerana terlalu mengikut emosi. Sepatutnya saya menjelaskan perkara sebenar kepada awak dan bukannya membalas dengan tamparan. Saya menyesal.

Sebelum kami pulang, pekerja café ada memberikan sebungkus plastik beg kepada saya. Katanya itu milik awak. Plastik itu terlepas dari genggaman tangan awak ketika saya menampar awak.

“Ummi..Jom balik.”

Anak sulung saya memanggil. Anak sulung saya dan Fattah. Sebaik sahaja saya menamatkan degree, Fattah datang menyunting saya melalui ayah. Walaupun saya pernah memiliki sejarah hitam dengannya, tapi melihatkan perubahan besar pada dirinya, saya kembali jatuh hati.

“Kita bukan hanya mahu membina baitul muslim, tapi mahu membina baitul dakwah. Pernikahan yang bukan hanya memberi kebaikan kepada diri sendiri, tetapi mampu memberi kebaikan kepada seluruh alam.” Berbekalkan pesanan daripada makcik minah, suntingan Fattah saya terima.

“Kakak akan sentiasa doakan kebaikan pada adik. Moga dengan berkat teguran adik yang menginsafkan akak dan berkat ukhwah fillah kita selama ini, kita akan sama-sama melangkah masuk ke gerbang syurga. Adik tunggu akak ye.”

Dan tanah perkuburan itu kembali menjadi sepi.

 ......................................................................................................................................

Kritikan telus dan membina amat diharapka. Terima Kasih. ^_^

10 ulasan:

  1. Susunan kata ganti nama Aku,Kau,Awak dan Saya menjadi pengadun penguat cerita.Penuh kreatif cara penceritaan.

    Karya kreatif,seronok baca:)

    Karya juga di adun dengan pelbgai latar masa dan tempat,situasi yang bersesuain.Penuh hikmah dan ada sudut keinsafan.Tahniah,teruskan menulis.

    BalasPadam
  2. ada sesuatu di situ.
    tidak sia2 membacanya.
    terus berdansa, mg ada wakil itqan menjadi penulis hebat!

    BalasPadam
  3. Kalamkudus...alhamdulillah, terima kasih kerana sudi baca..moga kita lebih bersemangat dalam setiap pekerjaan.

    hakunamatata...i.Allah, doakan saya lebih istiqamah lepas ni.

    BalasPadam
  4. Bagus Akhi!! curahkan bakat nta utk Islam :)

    BalasPadam
  5. secara umumnya bagus. Penulis lelaki cerita tentang alam puteri di asrama???!!! satu kejutan. Tetapi saya lebih gemar mengomel. Ending perlu lebih touching. biar orang menangis. masuk lebih lagi unsur jiwa dalam penutup. Jangan letak satu klimax lebihkan. Biar orang main perasaan. anyway mmg best cerpen ni. Boleh publish ni. at least majalah anis.

    BalasPadam
  6. Faris, aishah, nadhi..terima kasih kerana sudi baca. Moga ada manfaat.

    ustaz umaq..haha, cubaan berimaginasi sebenarnya. Itulah masih banyak yg saya perlu belajar ttg pemantapan susunan plot2 ni. Lepas ni kena belajar menulis dgn hati (bukannya nak cepat siap shj). Nnt saya cuba hantar. Btw terima kasih sbb sudi baca dan komen. Bersemangat sikit lepas baca komen ustaz.

    BalasPadam
  7. bagaikan epal dilepaskan tinggi, jatuh kedalam takungan air.

    BalasPadam
  8. TheChosenOne..itu peribahasa kah? Tak pernah dengar pun dan taktau maknanya apa.

    BalasPadam

Ajari Saya Menulis. Harap dapat memberi Kritikan-kritikan yang membangun.