Rabu, Mac 14

Road To Taqwa : Muraqabah


            Antara kaedah yang patut aku ambil dalam perjalanan menuju taqwa adalah dengan ber ‘muraqabatullah’. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam buku panduan kehidupan (al-quran)

“Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk solat) dan melihat pula perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.” (1)

Dan juga sebagai mana yang digambarkan oleh rasulku tercinta bahawa dalam membuat amal kebaikan dan kebajikan, aku hendaklah sentiasa merasakan bahawa pada ketika itu Allah sedang berada di hadapanku. Aku sedang membuat persembahan dihadapan-Nya. Seakan-akan aku nampak zat Allah di hadapanku.


Andai aku tidak mampu merasakan bahawa aku sedang di hadapan-Nya dan aku sedang memerhatikan-Nya, maka pesan nabiku lagi aku hendaklah sedar bahawa Allah sentiasa berada di hadapanku. Aku hendaklah sedar bahawa setiap langkahku, ke kanan, ke kiri, melompat, menari semuanya sedang diperhatikan-Nya. Semuanya berada di dalam pengetahuan-Nya.

Sebagaimana wanita yang di muraqibkan lelaki di malam hari(2). Wanita yang berjalan di hadapan merasakan setiap gerak gerinya sedang diperhatikan  si lelaki di belakang. Oleh itu si wanita akan sentiasa seupaya mungkin menjaga pergerakannya bagi menjaga status keayuan dan kesolehahannya. Sebagaimana juga si lelaki yang sehabis mungkin ‘mengontrol’ ke’macho’annya di hadapan wanita. (walaupun hakikatnya dia tak macho)

Muraqabah : Merasakan keagungan Allah Azza Wa Jalla di setiap waktu, tempat dan keadaan serta merasakan kehadiran-Nya di kala bersendirian ataupun di khalayak ramai.

Cara Muraqabah
           
           Antara cara yang dapat aku aplikasikan dalam bermuraqabah adalah sentiasa mempersoal dan mempertimbangkan niatku sebelum melakukan sesuatu perbuatan atau pertuturan. Hatiku akan sentiasa bertanya ‘sebab apa aku buat benda ni’. Adakah sebab aku nak popular, atau aku nak bagi orang nampak aku ni soleh, nak men’capap’ (mencari publisiti) depan orang lain. Betulkah aku ini ikhlas kerana Allah. Kalau betul ikhlas kerana Allah, banyak mana ikhlas? Ataupun aku kongsi ikhlas untuk Allah sikit dan ikhlas untuk manusia sikit?

Aku ini kadang-kadang sahaja berjemaah di masjid. Tapi yang bagusnya aku ini setiap kali berjemaah di masjid, solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu pasti aku tak lupa. Aku pasti akan mengerjakannya. Cumanya yang pelik bila aku solat fardhu di rumah tak pula aku mengerjakan solat sunat. Betulkah aku ni ikhlas?

Walaupun kadang-kadang aku rasa lebih baik aku tidak melakukan sesuatu perkara itu kerana tidak cukup ikhlas, tetapi aku sedar jika aku terus tinggal dan tidak melakukannya, itulah kemenangan terbesar kepada syaitan hina. Tujuan utama syaitan ialah ingin menghalangku melakukan amal kebaikan. Langkah pertamanya adalah dengan mengganggu keikhlasan niatku. Maka jika aku terus meninggalkan amal kebaikan itu maka itu bermakna aku telah merealisasikan tujuan utama syaitan.

Dalam melakukan amal kebaikan aku hendaklah dengan segera melakukannya tanpa bertangguh kerana khuatir semangatku itu akan terpadam dengan godaan syaitan. Dan dalam bermaksiat kepada Allah aku hendaklah menangguhkan maksiatku itu moga-moga usaha itu dicatat malaikat sebagai amal kebaikan dan aku mampu mempertimbangkannya untuk kali yang kedua.

Bentuk Muraqabah

1.         Ikhlas : Dalam melakukan ketaatan. Aku sentiasa menyucikan niat semata-mata kerana-Nya.

2.         Taubat : Dalam bermaksiat. Jika aku bermaksiat aku akan segera bertaubat, menyesal, dan berazam dengan penuh keyakinan yang aku tidak akan melakukan kemaksiatan itu lagi.

3.         Adab dan syukur : Dalam perkara yang harus. Aku sentiasa beradab dan bersyukur dalam melakukan setiap pekerjaan. Beradab dengan tuhan dan manusia. Bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan-Nya.

4.         Redha dan doa : Dengan merasakan kehadiran Allah, jika aku ditimpa musibah aku akan sentiasa redha dan memohon pertolongan-Nya dengan penuh kesabaran. Aku menghadapi ujian yang tiba dengan keyakinan bahawa ianya dapat mengangkat darjatku ke tempat yang lebih mulia dan bukannya jalan untuk menjatuhkanku ke tempat yang hina.

Penutup

Dengan merasa kehadiran-Nya, aku dapat beristiqamah di atas jalan syariat-Nya. Walaupun istiqamah itu agak sulit untuk aku lakukan, lebih sulit daripada taubat dan penyesalan, tetapi dengan berbekalkan perasaan bermuraqabah aku akan sehabis mungkin berusaha untuk sentiasa istiqamah di atas jalan-Nya.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 
  1. Asy-syura : 218-219
  2. Muraqib adalah sebuah sistem penjagaan dan pengawasan terhadap wanita daripada ancaman pemuda-pemuda yang berniat jahat. Diamalkan pelajar malaysia di Jordan. Pihak lelaki akan berjalan di belakang pihak wanita untuk menjaganya daripada perbuatan jahat pemuda arab khususnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ajari Saya Menulis. Harap dapat memberi Kritikan-kritikan yang membangun.