Selasa, Mac 19

Micro-Cerpen : Membangun Cinta

http://browse.deviantart.com/art/Love-50316085

Jam di dinding menunjukkan tepat ke nombor empat. Bulan dari jauh kelihatan berbalam-balam cahayanya. Terlindung kabus tebal agaknya.

Awak masih lagi setia dengan nota nahu bahasa arab. Dan malam juga masih lagi setia dengan kesejukannya. Salji yang sejak isya' tadi renyai-renyai turun, sudah tidak awak hiraukan.

Mata terasa pedih menahan kantuk yang menyerang. Kopi cap hang tuah yang dibancuh tanpa gula juga tidak mampu melawan kantuknya mata. Awak menenyeh lembut kedua belah mata. Terasa sedikit segar.

Ini kertas peperiksaan yang terakhir. Alang-alang menahan kantuk, biar sampai berlebam mata. Awak cuba pasakkan semangat.

Kerusi malas yang sekian lama menampung kehangatan punggung, awak tolak ke belakang. Cawan kopi yang semakin kurang panasnya awak capai. Niat hati ingin berehat sebentar daripada ulang kaji.

Awak lemparkan pandangan ke luar jendela. Malam ini bumi Seoul diselimuti emping-emping putih. Pohon sakura yang biasanya keunguan bunganya kelihatan putih kesemuanya.

Malam ini entah dari mana anginnya, awak teringat peristiwa beberapa tahun yang lalu. Peristiwa ketika akal awak mati andar memikirkan rasa hati yang terbuku.

Iyalah awak pun sedar diri bahawa awak bukannya jenis yang berani mengemukakan rasa hati. Mahu diluahkan takut tidak bersambut, mahu dipendam semakin serabut.

Memang. Kerja gila lagi meloyakan. Jatuh hati dengan senior sendiri. Anak tekak terasa seperti digeletek. Isi perut awak sendiri terasa hendak terkeluar sebenarnya. Geli.

Awak tidak pernah peduli. Ini soal hati. Apa-apa perkara yang berkaitan dengan hati, kekuatan badan takkan mampu menghalangnya. Awak sedang memburu cinta.

Awak tekad. Awak perlu belajar mengenali ragamnya cinta. Dan soal cinta hanya boleh dipelajari dari orang yang pernah merasainya. Dr. cinta. Ya awak perlukan seorang Dr. cinta.

Sial dan bodohnya awak. Kenapa awak mendengar saranan arif rabbani ! Dia bukannya Dr. cinta. Dia cuma tukang motivasi yang manis mulutnya. Sudahlah berjuta bayaran yang dipinta, hasilnya ? Awak juga yang merana.

Lain kali awak kena minta nasihatnya abrar dan baihaqi. Mereka doktor cinta yang sejati. Jatuh bangunnya cinta pernah mereka rasai. Dan hanya yang pernah merasai jatuhnya cinta, layak untuk membangunkannya semula.

Ingat akan jampi azimat sufi ini. Ulang di lidah dan tanam dalam hati.

"Jangan pernah jatuh cinta, tetapi bangunkanlah cinta. Cinta bukanlah sesuatu yang hina untuk dijatuhkan. Cinta adalah mulia, maka ianya perlu dibangunkan."

Err..tapi abang berilah saya masa untuk membangun dan mempersiapkan diri.

Puii..! itu jawapan paling kebudakan dan syok sendiri.

1 ulasan:

Ajari Saya Menulis. Harap dapat memberi Kritikan-kritikan yang membangun.