Rabu, Mei 1

Politaik





“Pemimpin yang gila perempuan ini ingin kalian jadikan ketua negeri ? Hancur lebur negara kita nanti !”
“Kalau ketua sendiri sudah kencing berdiri, sudah pasti pengikut setia kencing berlari !”
Astaghfirullahal ‘azim. Faris beristighfar panjang. Tidak pernah terlintas di fikirannya pemimpin Parti Tradisional yang selama ini mengangkat nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan, sanggup berkata sedemikian rupa.
Ceramah yang dihadirinya sejak tadi banyak memperkatakan ke’aiban peribadi pemimpin parti lawan, Parti Konvensional. Segala tohmahan dan tuduhan begitu yakin dilontarkan.
Penceramah memancar video seorang lelaki yang menyerupai wajah pemimpin Parti Konvensional. Lelaki tersebut kelihatan sedang rancak berbual dengan seorang wanita jalang yang mencolok mata, sundal. Mereka berbual di lobi sebuah hotel.
Setelah beberapa ketika, video beralih ke kawasan lif. Kelihatan lelaki tersebut kini berpegangan tangan dengan wanita jalang tadi. Dan kemudiannya apa yang berlaku rasanya tidak perlu kita perincikan di sini.
Video pertama tamat sudah. Kini penceramah menayang video ke dua pula. Video pemimpin Parti Konvensional juga yang kelihatan sedang membuang air kecil di jalanan dalam keadaan berdiri. Video kali ini agak tidak jelas kelihatan. Mungkin kerana video di ambil dalam keadaan sembunyi-sembunyi paparazzi.
Selepas satu keburukan satu lagi keburukan pihak lawan dipertonton. Para hadirin yang melihat beristighfar panjang mengenangkan buruknya peribadi pihak lawan. Beristighfar panjang untuk pihak lawan layaknya diri sendiri tiada kekurangan.
Di celah hadirin yang sedang beristighfar panjang, Faris bangun sambil mengangkat tangan tanda ingin bergebang. Melihat kelibat Faris sebegitu rupa, para hadirin kembali diam bagi memberikan laluan hormat.
“Tuan, saya beranggapan bahawa tindakan tuan ini agak terpesong jauh dari ajaran agama. Rasanya apa yang tuan sampaikan ini bertentang dengan prinsip asal penubuhan Parti Tradisional.” Faris cuba melakukan provokasi lembut bagi menarik perhatian hadirin.
Hadirin mula panas punggung.
“Mereka yang membuat maksiat, saya pula yang disalahkan ? Cuba adik terangkan bagaimana tu.” Tuan penceramah mula terasa batang hidungnya direndahkan. Egonya sedikit terinjak.
“Rasanya mendedahkan ‘aib peribadi seseorang itu bukanlah daripada ajaran islam. Apa tuan tidak pernah mendengar kisahnya seorang sahabat rasulullah yang mengaku berzina. Dia datang menemui rasulullah dalam keadaan penuh penyesalan kerana telah terlanjur melakukan zina.”
“Kemudian tuan tahu apa jawapan rasulullah kepadanya ? Rasulullah tidak terus menghukum malah memintanya untuk pulang dahulu. Tidak semudah itu rasulullah menjatuhkan hukuman. Rasulullah minta datangkan empat orang saksi yang melihatnya berzina.”
“Jadi apa kaitannya dengan saya ?” Tuan penceramah tidak dapat menangkap maksud yang cuba Faris lontarkan.
“Sahabat rasulullah itu sendiri sudah membuat pengakuan, tetapi rasulullah tidak terus menghukum. Rasulullah memberi masa untuk kembali memikirkannya. Bukan bermakna rasulullah tidak mengambil berat akan maksiat besar yang dilakukan sahabatnya itu, tetapi itulah cara rasulullah mendidik kita agar tidak semudah itu menjatuhkan hukuman dan melemparkan tuduhan.”
“Dan baginda juga tidak menyebarkan berita itu dengan mudah kepada orang ramai. Takut-takut ianya bakal menjadi fitnah.”
“Tapi dik, ini masalah umat dan negara. Adik mahu perdana menteri kita itu daripada seorang yang gila perempuan ? Mahu pemimpin yang selekeh tidak beradab kerana kencing berdiri ? Hancur anak bangsa kita nanti dik !”
“Saya setuju dengan pendapat tuan tentang pemimpin yang berakhlak buruk itu. Tetapi ini bukanlah caranya untuk mengubah negara kita ke sesuatu yang lebih baik. Budaya mendedahkan keaiban peribadi seseorang itu ke khalayak umum bukanlah ajaran nenek moyang kita.”
“Mungkin jika keburukan perilaku seseorang pemimpin itu secara langsung menzalimi rakyat, maka keburukan ini patut diperdebat. Sebagai contoh beliau menggelapkan duit zakat, menerima rasuah dan memonopoli perniagaan sesama kaum kerabat , keaiban inilah yang patut dihebahkan. Bukannya keaiban peribadi yang tiada kaitan langsung dengan kehidupan rakyat.”
Hadirin pendengar seakan tidak dapat menerima pendapat yang dilontarkan Faris. Mereka mendesak Faris memperkenalkan diri.
Sebaik sahaja Faris memperkenalkan diriya sebagai anak Dato’ Din, para hadirin mengeluh melepas lelah.
“Hmm..patutlah bersungguh sangat tegur kita. Keldai Parti Konvensional rupanya” Dua tiga orang hadirin bersuara.
Seperti yang diketahui ramai, Dato’ Din adalah salah seorang pemimpin besar Parti Konvensional. Dan kini anaknya, Faris sedang berada di tengah-tengah pengikut tegar Parti Tradisional.
                                                ****
“Awak tahu apa yang anak kita si Faris tu buat semalam ?” Dato’ Din buka bicara pagi itu.
“Tak tahu la pula. Faris tak ceritakan apa-apa kepada saya pun.” Jawab isterinya.
“Semalam dia pergi dengar ceramah Parti Tradisional. Kemudia tengah-tengah ceramah tu dia bangun tegur silap penceramah. Mananya tidak melenting puak-puak kampung tu. Berani betul anak kita.”
“Tak rugi kita hantar dia belajar jauh-jauh di UK. Bangga abang.” Hidung Dato’ Din sedikit kembang.
Pagi itu Dato’ Din dan isterinya sarapan berdua. Sebelum matahari cerah tanah lagi Faris sudah keluar entah ke mana. Katanya ada urusan yang perlu dia laksana.
“Abang rasa sudah tiba masanya Faris ikut bekerja dengan Parti Konvensional. Sayang pun tahukan zaman sekarang ini susah nak cari kerja. Faris yang ada sijil sarjana muda Sosiologi itu pun belum tentu akan dapat kerja. Melainkan tahu jalan dan caranya.”
“Tapi abang, Faris itu kan baru habis belajar. Biarlah dia berehat di rumah dulu. Biar dia puas duduk dengan saya. Nanti kalau dah masuk kerja dengan abang, takut tiada masa untuk saya pula.”
“Lagi satu betulkah abang nak libatkan anak kita itu dengan politik ? Saya rasa cukuplah abang saja yang masuk politik. Kesian kat Faris tu nanti.”
“Alah awak ni, takut sangat. Bukannya dia nak pergi berperang ke apa. Dia cuma kerja dengan Parti Konvensional macam abang ni saja. Kerja pun bukannya penat sangat, tapi gaji boleh tahan lumayan.” Dato’ Din sudah bersungguh mahu mengambil anaknya bekerja dalam parti kerajaan itu.
“Haa lagi satu. Minggu depan Datin Katty isteri Dato’ Zharfan kawan abang tu ajak awak pergi Paris. Katanya dia nak bershopping sakan kat sana. Awak nak ikut tak ?”
“Hmm..Tak mahu lah abang. Abang pun tahu saya ini sebenarnya bukan suka sangat shopping. Lagi-lagi di Paris tu. Jauh sangatlah abang. Malas saya.”
“Minggu depan saya ingat nak ajak Faris balik kampung rumah mak saya. Dengar cerita buah durian dah mula keluar hasil. Teringin juga saya rasa durian kampung tu. Buah durian di bandar ni kurang sedap lah. Rasa macam durian palsu saja.”
“Elok juga tu. Lagi pun abang dah lama tak balik rumah mak awak. Nanti abang cuba ambil cuti. Bekerja dengan Parti Konvensional ni senang sikit nak dapat cuti. Lagi-lagi bila kita dah jadi boss.”
                                                ****
Tangan kanan Faris memegang kejap stering kereta. Kaki kiri menekan clutch dan serentak tangan kiri menukar gear. Kelajuan kereta tingkat mendadak.
“Faris ! Tak boleh bawa kereta laju sikit. Kenapa perlahan sangat ?”
Faris tersengih.
“Betul ni tak cukup laju lagi mama ? Nak laju lagi ni ?”
“Ish, bertuah punya anak. Sudah-sudah nanti tercabut pula jantung mama ni. Bawa kereta tu perlahan sikit.”
Faris memperlahankan kereta. Walaupun jiwa remajanya selesa dengan kelajuan maksima, tetapi hati mamanya haruslah dijaga.
“Waktu malam-malam macam ni lah peluang nak bawa kereta laju-laju ma. Kereta tak banyak dan abang-abang polis pun malas nak keluar kerja.” Faris cuba beralasan.
“Hmm..Kamu ni Faris tak habis-habis nak menyakat mama kamu.” Dato’ Din yang dari tadi diam mula bersuara.
“Alang-alang kita dah balik Johor ni, papa rasa elok juga kita pergi jengok program Perhimpunan Remaja yang kerajaan buat tu. Dengar cerita banyak aktiviti bermanfaat akan diadakan.” Ajak Dato’ Din.
Faris yang tadinya tersengih lebar kini kendur sedikit sengihannya. Mahu dibangkang rasa bersalah, mahu diturut terlebih lagi salah.
“Faris bukannya tak mahu sokong program-program anjuran pihak kerajaan ini, tapi Faris rasa ada sesuatu yang tak kena dengan program itu.” Faris mula menabur jarum-jarum membangkang.
“Mesti yang Faris maksudkan itu mengenai jemputan artis wanita dari negara matahari terbit itu kan ? Papa dah agak dari mula lagi tentang masalah itu. Tapi Faris kena lihat suasana negara kita ini. Negara kita ini berbilang kaum dan anutan agamanya. Negara kita bukan hanya didiami penduduk berbangsa melayu dan yang beragama islam sahaja. Hakikatnya bercampur dengan cina, india, buddha, hindu dan banyak lagi.
Oleh sebab itu kerajaan mengambil tindakan yang adil dan saksama dengan memberikan hak kepada mereka yang berhak. Hak untuk berhibur berlebihan itu biarpun nampak bertentangan dengan ajaran islam, tetapi ianya tidak bertentangan dengan ajaran agama lain.” Dato’ Din bernas menyampaikan hujah.
“Dari satu sudut perkara itu memang kelihatan betul. Tetapi papa kena lihat dari sudut lain pula. Memanglah kerajaan patut memberikan hak kepada setiap rakyatnya tanpa membezakan agama dan kepercayaan mereka. Cumanya sebagai pemegang kapasiti negara islam dan pemimpin islam, kerajaan tidak patut memulakan menjemput artis yang merosakkan agama, adat dan budaya kita.
Ya, kerajaan mungkin boleh meluluskan program hiburan sebegitu rupa sebagai penghormatan kepada bangsa yang pelbagai, tetapi bukan bermakna kerajaan yang patut memulakannya. Bukan bermakna kerajaan yang patut menjemput mereka.”
Dato’ Din terdiam tanpa bicara. Terdiam mencari alasan untuk menegakkan hujah agaknya.
Dan malam itu kereta yang dipandu terus meluncur laju ke tempat yang dituju.

                                                *****
Faris membetulkan simpulan tali leher. Bajunya dikibas lembut. Panas. Air kosong yang tinggal berbaki separuh gelas dia teguk perlahan. Sekadar membasahkan anak tekak dan menyejukkan badan yang semakin resah kepanasan.
Perkongsian yang disampaikan kepada jemaah masjid selama 1 jam terasa begitu pantas berlalu. Dia mengambil nafas rehat seketika sebelum membuka ruang bagi jemaah yang ingin bertanyakan soalan.
“Saudara, seperti yang kita semua tahu, isu perlaksanaan hukum hudud kembali dibangkitkan menjelang pilihan raya kali ini. Jadi persoalan yang ingin saya ajukan adalah ; menurut pandangan saudara sebagai ilmuan lulusan bidang sosiologi dari universiti di barat, apakah perlaksanaan hukum hudud ini masih releven untuk diaplikasikan dalam negara kita ini ? Dan apakah kesannya terhadap susun atur sosiologi masyarakat kita ?” Seorang anak muda berkumis nipis dan senyum terkulum menyoal.
Faris mencapai pen di poket baju dan menulis sesuatu pada kertas yang tersedia di atas meja. Kemudian mulutnya didekatkan ke mikrofon dan bersedia untuk memberikan pandangan.
 “Pada saya tidak kesahlah sama ada parti tradisional mahupun parti konvensional yang ingin melaksanakan hukum hudud, saya sokong keduanya. Selagi mana ia baik untuk rakyat keseluruhannya dan baik untuk agama, saya sentiasa menyokong.
Rasanya tidak perlulah kita perbahaskan kebaikan mahupun keburukan perlaksanaan hukum hudud. Ianya sudah termaktub sejak azali akan sentiasa memberikan seribu satu kebaikan kepada masyarakat keseluruhan. Itu yang kita pegang dan percaya.
Cumanya yang patut kita perbahaskan adalah bagaimana sistem perlaksanaan hukum hudud ini akan dilaksana. Apakah sistem pemerintahan yang kita amal sekarang sudah mampu menjadikan perlaksanaan hukum hudud memberi hasil sebagaimana yang rasul ajarkan.
Apakah sistem ekonomi dan pendidikan kita sudah cukup memberikan gambaran umum kepada masyarakat bahawa perlaksanaan hukum hudud itu memberikan manfaat kepada masyarakat. Mendatangkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan.”
Jemaah masjid terkebil-kebil mendengar penjelasan Faris. “Err..boleh saudara berikan contoh praktis yang lebih mudah ? Yang lebih senang difahami.”
Faris melirik senyuman. Baru tersedar dengan pertuturannya yang hanya seronok sendiri. Pertuturan yang gah dan bombastik tetapi tidak sampai ke pemahaman pendengar adalah suatu kerja yang sia-sia.
“Maafkan saya. Sebagai contoh mudah yang dapat kita ambil adalah bagaimana dapat tercetusnya gambaran ketidak-adilan hukum hudud apabila kaedah perlaksanaannya jauh dari apa yang diajar rasul. Misalnya perlaksanaan hukum hudud ketika mana sistem ekonomi dan pemerintahan dikawal rapi oleh kapitalis.
Maknanya sistem masyarakat yang menjerumuskan golongan kaya untuk terus kaya dan golongan miskin terus ke arah kemiskinan. Dan contoh yang lebih praktikal adalah ketika mana para pemimpin yang kaya membuka peluang kerjaya kepada konco-konconya yang kaya. Sedangkan masih ramai golongan miskin yang layak dan patut menerima peluang kerjaya tersebut.
Bagaimana jadinya apabila pemimpin yang terus selesa dalam kekayaan ; kaya harta dan kuasa, menuntut agar perlaksanaan hukum hudud dijalankan ke atas golongan miskin yang melakukan jenayah. Golongan miskin yang tidak mampu membeli kuasa dan keadilan sebagaimana golongan kaya dan pemimpin.”
Islam yang sempurna itu jika hanya diambil sebahagian dari prinsip dan peraturannya, dan ditinggalkan prinsip dan peraturan yang lain, maka kecacatan yang akan terserlah. Jangan hanya diambil sebahagian dan meninggalkan bahagian yang lain.
“Perompak, pelacur murahan dan peminta sedekah jalanan semuanya lahir dari korupsi pemimpin. Mahu laksanakan hudud ? Silakan mula dari pemimpin atasan.”
****
Pilihan raya umum tinggal cuma seminggu sahaja lagi. Dato’ Wahyuddin dan pesaingnya, Tan Sri Umar Mukhtar sibuk berkempen mengundi parti masing-masing. Segala jenis medium perantaraan antara pemimpin dan rakyat digunakan.
Bagi Dato’ Wahyuddin selaku wakil bertanding Parti Konvensional di kawasan tempat tinggalnya, agak mudah untuk menyebarkan janji dan manifesto yang dibawa kepada orang ramai. Selaku wakil parti yang menggalas tugas kerajaan, Dato’ Wahyuddin dengan mudah menggunakan khidmat media massa dalam meninggikan partinya dan merendah-rendahkan parti pihak lawan.
Petang itu Faris menyempurnakan perancangannya selama ini. Dengan penuh berhati-hati bimbang ayahnya ketahui, Faris bergerak menuju ke rumah Tan Sri Umar Mukhtar. Sepanjang perjalanan fikirannya ligat memikirkan perkara yang akan dibincangkan bersama pihak lawan ayahnya.
Faris tiba di halaman rumah Tan Sri Umar. Rumah teres satu tingkat itu kelihatan tidak setaraf dengan rumah-rumah wakil rakyat parti Konvensional yang lain. Kebiasaannya rumah mereka yang menjadi wakil parti kerajaan tersebut paling kurang dua atau tiga tingkat. Lebih besar pengaruh yang ada, lebih tinggi bilangan tingkatnya.
Tidak kesahlah sama ada gaji mereka sememangnya besar belaka ataupun entah dari mana datang duit semua, yang penting rumah mereka memang besar bak istana raja. Agaknya hukum alam memang begitu. Siapa yang berkuasa memegang amanah pemerintahan negara, maka dialah yang paling banyak duit dan besar-besar rumahnya.
Faris memberi salam tiga kali seraya menekan butang loceng di setiap salamnya. Tidak lama menunggu salamnya bersambut. Terdengar suara perempuan muda menyahut salam dari dalam rumah. Pintu rumah terkuak dan pemilik suara datang menghampiri.
“Wa’alaikumussalam. Ada apa ya cik ? Boleh saya bantu ?” Gadis manis dengan senyum terkulum yang menyerlahkan sepasang lesung pipit itu menyambut kedatangan Faris. Faris terpaku seketika.
“Err..Ini rumah Tan Sri Umar kan ? Saya Faris, anak Dato’ Wahyuddin. Boleh saya berjumpa dengan Tan Sri ?”
“Owh..Anak Dato’ Wahyuddin wakil parti Konvensional itu ya. Sebentar, saya beritahu ayah dahulu.” Gadis manis berlalu masuk ke dalam rumah. Mata Faris mengekori langkah kakinya. Beberapa minit kemudian anak gadis Tan Sri Umar keluar semula sambil membawa anak kunci.
“Maaf ya encik Faris. Saya kena minta izin ayah dulu sebelum membenarkan sesiapa masuk ke dalam rumah ini. Maklumlah satu-satunya anak perempuan ayah.”
Faris tersenyum kagum.
“Silakan.”
Mata Faris melilau sekeliling ruang tamu rumah. Simple dan tenang perhiasannya. Tidak seperti rumahnya yang dipenuhi perhiasan mahal sehinggakan tidak tenang untuk bergerak. Bimbang tertolak perhiasan mahal dan menyebabkannya jatuh berkecai. Ya, terkadang menjadi yang sederhana itu lebih tenang dan bahagia berbanding menjadi kaya, tetapi sengsara.
“Assalamu’alaikum..Oh kamu rupanya Faris. Kenapa susah-susah datang ke rumah pak cik ni. Kenapa tak telefon saja, boleh pak cik pergi jumpa di rumah kamu.” Tan Sri Umar dengan berkain sarung dan kemeja-T muncul di sebalik pintu.
“Eh pak cik. Apa khabar ? Memang betullah sepatutnya saya yang datang berjumpa dengan pak cik, bukannya pak cik yang datang berjumpa saya.”
“Macam mana dengan ayah kamu ? Sihat ?”
“Alhamdulillah sihat seperti biasa. Cuma sejak kebelakangan ini sedikit sibuk menguruskan perihal kempen. Maklumlah pilihan raya tinggal cuma seminggu sahaja lagi. Banyak lagi kerja yang belum siap katanya.”
“Biasalah tu. Nak jadi wakil rakyat ni bukannya senang. Banyak amanah dan tanggung jawab yang perlu kita pikul. Pak cik pun sama macam ayah kamu juga. Sibuk ke sana ke sini berkempen.”
“Jemput minum. Maaflah cuma teh panas dan biskut mayat sahaja.” Anak gadis Tan Sri Umar datang mendulang dua cawan berisi air teh panas. Matanya sempat dikerling pantas oleh Faris. Sejeda pandangan mata berdakapan. Faris melarikan semula anak matanya.
“Ayah ni, kalau ia pun tukarlah dahulu kain sarung tu. Buat malu ke tetamu saja.” Anak gadis Tan Sri Umar bersahaja menegur ayahnya.
“Haha..Kamu tengok anak perempuan bertuah saya ini Faris. Muka dah comel tapi perangai kasar.”
“Ish ayah ni..” Satu cubitan lembut hinggap di paha kanan Tan Sri Umar. Anak gadis Tan Sri Umar masuk semula ke dapur.
“Pak cik minta izin sekejap ya Faris. Nak pergi tukar kain sarung ni.” Faris mengangguk.
Tiba-tiba Faris terasa kagum dengan anak beranak dua orang ini. Si anak perempuan meladeni ayahnya seperti sahabat rapat, tanpa berlebihan. Dan si ayah selesa meraikan pendapat anaknya, penuh kasih sayang. Sebentar..Faris pun keliru sebenarnya. Adakah dia kagum dengan telatah dua beranak ini ataupun kagum dengan keayuan anak gadis Tan Sri Umar?
Iyalah, mana tidaknya. Inilah antara ciri gadis yang diminatinya. Di khalayak ramai penuh dengan sopan santun dan keayuan, tetapi sesama kawan karib dan ahli keluarga sedikit lasak. Mudahnya kata ramai orang sebagai sedikit tomboi.
Faris larut dalam kekagumannya. Hatinya tertarik dengan keramahan dan rendah diri Tan Sri Umar. Lebih tertarik lagi dengan kesopanan anak gadisnya.
“Astaghfirullah..”
Faris beristighfar panjang. Dia membetulkan semula niat asalnya datang ke mari. Bukannya salah tertarik dengan peribadi mulia seseorang itu, tetapi ada maslahah yang lebih besar dan lebih penting yang perlu dia selesaikan. Apabila bertembung antara maslahah individu dan umum yang sama pentingnya, maka utamakanlah maslahah umum.
Adil. Bukan bermakna sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Hanya itu kata kuncinya.

                                                ****
“Ah sudah..Bila masa pula papa kata nak laksanakan hukum hudud jika menang pilihan raya kali ini. Memandai dia saja berita ni.” Dato’ Din mengeluh sebaik sahaja melihat berita jam 8 malam tersebut.
“Cuba abang ingat betul-betul pernah tak abang terlepas cakap nak laksanakan hukum hudud jika menang undi nanti.” Isterinya turut terasa tempias berita yang baru di dengarnya tadi.
“Iyalah papa. Hukum hudud ini bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main. Soal lain kita boleh bertolak ansur lagi, tetapi soal agama jangan cuba-cuba dibuat main. Padah nanti.” Faris mencelah.
“Betul..Seingat papa tak pernah pun sekali bercakap soal hudud di khalayak ramai. Papa pun tahu padahnya mempermainkan hukum agama sebagai modal politik dan pilihan raya.” Dato’ Din naik berang dengan berita tersebut. Dia segera menghubungi pejabat utama berita jam 8 malam.
“Siapa yang membenarkan pihak kamu menyiarkan berita mengenai saya sebegitu rupa ? Sejak bila pula saya menjadikan perlaksanaan hukum hudud sebagai manifesto pilihan raya ? Jangan sampai saya saman syarikat kamu nanti.” Tengking Dato’ Din sebaik sahaja panggilan bersambung ke pejabat berita.
“Maaf tuan. Sebenarnya pihak kami pun tidak dapat berbuat apa-apa. Ini arahan pihak atasan.” Jawab pengarah syarikat berita bergetar. Ketakutan agaknya.
“Pihak atasan ? Pihak atasan mana lagi yang lebih tinggi daripada saya. Beritahu saya berapa juta dia bayar kepada kamu untuk sebarkan berita palsu mengenai saya. Saya mampu bayar lebih dari itu.”
“Err..Sebenarnya tuan, yang mengeluarkan arahan ini Tuan Presiden Parti Konvensional sendiri. Baru petang tadi beliau memberi arahan kepada pihak kami. Pihak kami cuba untuk mempersoalkan arahannya, tetapi mengenangkan pengaruh dan sumbangannya terhadap syarikat kami, kami mengalah.” Pihak syarikat buletin menjelaskan panjang lebar asal usul berita tersebut.
Dato’ Din menekan butang penamat panggilan. Entah mengapa kali ini hatinya tidak dapat menerima arahan majikannya. Terasa dirinya bagai dipergunakan.
Telefon mudah alih bergetar menandakan ada panggilan baru masuk. Tiada nombor yang tertera di skrin telefon. Yang ada hanyalah perkataan ‘private’.
“Helo..Dato’ Din bercakap. Siapa ini ya ?” Dia cuba menahan nada amarahnya.
“Helo Dato’. Ini saya Tuan Presiden Parti Konvensional. Dato’ sudah lihat berita jam 8 sebentar tadi ? Saya yang keluarkan arahan kepada pihak berita untuk menyiarkan berita manifesto hudud tersebut.” Nada Tuan Presiden begitu yakin sekali.
“Oh..jika itu arahan dari pihak Tuan Presiden, saya turutkan saja. Cuma rasanya tidak salah untuk saya ketahui strategi dan kerelevanan manifesto hudud ini.” Rasa amarahnya terpadam dengan kekaguman terhadap panggilan telefon peribadi Tuan Presiden kepadanya. Sepanjang bermajikan-kan Tuan Presiden, agaknya inilah kali pertama Tuan Presiden bercakap dengannya.
“Sebenarnya saya dapat berita bahawa pihak Parti Tradisional ingin mengetengahkan  manifesto perlaksanaan hukum hudud dalam pilihan raya kali ini. Jadi sebelum mereka mewar-warkannya, lebih baik kita dahulu yang war-warkan sebagai manifesto kita.”
Dato’ Din masih lagi berbelah bagi dengan keputusan ini. Dia sendiri sebenarnya tidak sanggup menanggung bebanan amanah perlaksanaan hukum hudud ini.
“Dato’ jangan risau. Berdasarkan maklum balas yang saya terima, ramai ahli parti lawan tertarik dengan manifesto kita ini. Lagi pun rakyat sekarang sedang membuak-buak menuntut keadilan. Jadi inilah masanya kita tawarkan janji keadilan kepada mereka. Soal perlaksanaan nanti bukanlah masalah yang besar. Kita sudah berpengalaman menyelesaikannya.”
Mendengarkan penjelasan dan jaminan Tuan Presiden tersebut, hati Dato’ Din berasa lega. Dia mula membayangkan saat bagaimana namanya diumumkan sebagai juara perlumbaan pilihan raya. Ah lagipun apa yang perlu dirisaukan sangat. Bukankah selama ini parti pihaknya sahaja yang berulang kali menjadi pemenang ?
                                                ***
Dua jam sebelum keputusan pilihan raya diumumkan terasa begitu lama. Dato’ Din telah bersiap sedia sejak semalam lagi. Segala persiapan untuk meraikan kemenangannya begitu yakin disediakan.
Dari sebesar-besar kemah sehingga sekecil-kecil cawan teh dirancang rapi. Saat kemenangannya akan diserikan dengan pertunjukan bunga api 300 kg yang diseludup secara ‘halal’ dari negara siam. Iyalah bukan semua tidak tahu, menjadi pemimpin itu boleh menghalalkan segala yang haram.
Dato’ Din sedang berteduh di bawah khemah khas ketika mana Tan Sri Umar datang menghampiri. Pada mulanya Dato’ Din terasa jelek dengan kunjungan mengejut Tan Sri Umar. Dia bersedia dengan dengan buku lima dan kudrat lelakinya. Siapa tahu mungkin Tan Sri Umar berniat jahat terhadapnya.
“Assalamu’alaikum Dato’. Apa khabar ? Macam mana dengan dengan respon undian rakyat terhadap Dato’ ?” Tan Sri Umar ramah menegur sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
Dato’ Din menyambut huluran salam. Terasa kekok.
“Err..baik sahaja. Sokongan rakyat terhadap saya kali ini rasanya semakin meningkat. Dan sememangnya saban tahun sokongan semakin bertambah, tidak pernah berkurang.” Dato’ Din mengangkat batang hidung sendiri.
Tan Sri Umar tersenyum tawar. Tidak tahu bagaimana cara menanggapi pernyataan tersebut.
“Sebenarnya Dato’ kedatangan saya ini ada sesuatu yang ingin dibincang. Kalau Dato’ sudi mari kita ke dalam dewan sebentar. Di sini ramai pihak media yang memerhatikan. Takut masalah lain pula yang timbul.” Tan Sri Umar memberikan isyarat tangan mempersilakan Dato’ Din mendahului.
Tiba di pintu dewan Dato’ Din berhenti dan tergesa-gesa membukakan pintu untuk Tan Sri Umar. Memang dari sudut bahasa badan siapa yang membuka pintu dan mempersilakan orang lain masuk dahulu, dia berkuasa ke atas orang tersebut. Dato’ Din tidak mahu dirinya kelihatan berada di bawah kuasa Tan Sri Umar.
Tan Sri Umar hanya tersenyum lebar melihat telatah Dato’ Din tersebut. Dia tidak sedikit pun terasa ingin membantah.
“Kalau kamu tidak bukakan pintu untuk aku sekali pun, aku akan tetap juga membukanya sendiri.” Suara Tan Sri Umar tersekat di kerongkong.
Adil bukan bermakna sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya. Hanya itu kata kuncinya.
Tanpa disedari ada selaras lensa sedang merakam pergerakan mereka.

‘Dato’ Wahyuddin dipercayai bersubahat dengan Tan Sri Umar dalam pilihan raya baru-baru ini. Kekalahannya dipercayai telah dirancang oleh mereka berdua sejak awal lagi’ Begitu media radio dan televisyen menyiarkan berita.
“Inilah masalah utama negara kita sebenarnya. Bukan masalah individu dalam mana-mana parti, tetapi masalah media massa yang sentiasa memutar-belit berita.” Faris yang duduk di kerusi belakang kereta bersuara.
Dato’ Din dan Tan Sri Umar mengangguk tanda setuju. Mereka bertiga dalam perjalanan menuju pejabat utama syarikat buletin dan radio. Ada banyak perkara yang perlu mereka jelas dan perbetulkan.
Dato’ Din teringat saat bagaimana Tan Sri Umar dengan segala rendah diri mengajaknya memerhatikan semula krisis negara. Demi membina nagara Malaysia yang baru.
“Sebenarnya Dato’ pada saya tidak kesahlah siapa yang menang dalam pilihan raya kali ini. Yang lebih penting adalah bagaimana cara kita bersama-sama memberikan yang terbaik buat kesejahteraan rakyat dan negara.” Dato’ Din teringat cadangan Tan Sri Umar kepadanya tempoh hari. Ada benarnya juga.
Dan pada hari itu kereta yang membawa tiga individu yang berjiwa besar itu terus meluncur laju. Penuh yakin dan tawakal. Demi ke arah negara yang lebih adil, cekal dan jitu.
Ayuh ! Hari ini, mari bina kita yang baru.
Ini kalilah !                                                              

1 ulasan:

Ajari Saya Menulis. Harap dapat memberi Kritikan-kritikan yang membangun.