Jumaat, Mac 2

Cerpen : Tikus


Gelap. Lumut dan sawang. Decitan anak-anak tikus -keturunan Cit Mun- rakus menggerit kotak-kotak KFC dan Secret Recipe jelas kedengaran. Bulan di luar samar-samar kelihatan. Seakan sudah bosan melakukan tugas harian ataupun sudah bosan melihat perihal kerosakan yang dilakukan insan.

Malam itu Cit Mun tersenyum sendirian macam orang gila. Mana tak gila, impiannya selama ini sedikit hari lagi akan tercapai juga. Cit Mun mencongak-congak dalam kepala, kiranya kurang lebih sebulan lagi perencanaannya sempurna terlaksana. Tulang ikan Pantai Merdeka, perut-perut ayam pasar Cheras, sisa buangan restoran-restoran di Tawau berlari-lari di mata. Sisa buangan melayu, cina atau india peduli apa, janji perut kenyang hati suka. Lagipun diakan masih muda, tunggu tua bila dah nak mati nanti baru lah bertaubat. Bukankah tuhan itu Maha Penerima Taubat?

Puii..Dasar betina jalang, tua perasan muda. Kononnya genit muda bergetah, tak sedar kulit berminyak badan gedempol macam lintah. Jangan ingat mati tu masa tua saja. Mati tu bila-bila pun boleh. Tanpa asbab ma’kul pun boleh mati tau.

Ya. Jangan hanya disalahkan Cit Mun sahaja. Dia mangsa keadaan sebenarnya. Kuasa di tangannya lah yang menyesatkannya. Sekejap…sejak bila pula Cit Mun ada kuasa. Bukankah tikus-tikus lain yang memilih Cet Min, suaminya untuk menjaga kebajikan para tikus? Oh mungkin dunia sekarang seperti itu. Betina lebih berkuasa daripada jantan.

Betina sekarang tidak perlu bersusah payah terkejar-kejar mencari makanan dan kedudukan. Muka lawa badan montok habis cerita. Usahanya cuma menggoda para jantan –yang sama hinanya-. Zuszas-zuszas pasti ada saja Dato’-Dato’ dan Tan Sri mana-mana yang rakus menyambarnya. Bahkan sampai ada yang berebut-rebutkannya. Tuah ayam nampak di kaki, tuah tikus siapa yang tahu. Kalau tuah lebih, dapat la Tan Sri beranak lima, tapi kalau dapat Dato’ tua tunggu mati pun sudah dikira selesa.

Tapi bukankah Cit Mun itu sudah tua? Kenapa Cet Min masih tergila-gilakannya. Segala kemahuan ditunaikannya. Ataupun Cet Min jantan dayus sebenarnya.

“Min, saya teringin pakai pewarna kuku. Harganya cuma 32 kilogram keju biru”. Rayu Cit Mun.

“Baiklah sayang. Nanti saya suruh pembantu saya belikannya.”

Kerja gila lagi mengada. Tikus apa yang pakai pewarna kuku? Sudahlah mengada nak pakai pewarna kuku, lepas itu makin gila harganya. 32 kilogram keju biru tujuh keturunan tikus beranak tujuh pun belum tentu dapat menghabiskannya. Ingat sini syurga ka?

Anganan Cit Mun kembali menerawang. Sebenarnya dia bukanlah sebegitu kejam mengikis keju-keju simpanan tikus-tikus yang berada di bawahnya. Dia masih ada sedikit nilai baik ketikusan. Masih ada hati dan perasaan. Masih ada rasa bersalah dengan segala kesalahan yang pernah dilakukan.

Pernah suatu ketika dia terasa insaf dan ingin berhenti daripada terus menerus melakukan penindasan. Dia mahu bertaubat dan memohon maaf kepada para tikus atas segala kesalahan yang dia telah lakukan. Cuma dia sedikit takut akan kutukan dan cemuhan yang bakal dilemparkan ke atasnya. Apakah para tikus akan memaafkan kesalahannya ataupun bertambah puas mengutuk menjatuhkannya.

Mimpi ngerinya menjadi kenyataan. Sebaik sahaja dia mengakui kesalahnnya, para tikus pembangkang terus menerus mencaci dan mengeji. Blog, Facebook, majalah, surat khabar dan surat layang menjadi medan kutukan. Ceramah mengutuk pihak pemerintah menular ke seluruh pelosok Kampung Atap Rumah. Ahli politik, tradisionalis, modenis malah kanak-kanak sekolah tadika juga turut tidak terlepas mengutuknya.

Dia menyesal kerana bertaubat. Sungguh, taubat kerana wajah manusia selalunya akan membawa kecewa.

****

Cet Mus tidak senang duduk petang itu. Kehulu kehilir berfikir. Masuk hari ini sudah tujuh purnama kumpulan Cet Min pegang kuasa mengurus kebajikan tikus-tikus Kampung Atap Rumah. Bermakna sudah tujuh purnama juga tikus-tikus kampung ini tertipu dan tertindas di bawah pengurusan Cet Min.

Cet Mus sudah mati akal memikirkan cara untuk memancing sokongan para tikus lain. Setelah bersusah payah dia berusaha mengorbankan segala kemampuan yang dia ada, titik peluh, masa, keju-keju simpanannya, tetapi keputusannya tetap sama. Pastinya setiap kali keputusan yang diumumkan, nama Cet Min pasti mendahuluinya.

Kadang-kadang dia terasa ingin mengalah. Rasa ingin dibiarkan sahaja kumpulan Cet Min berkuasa. Terus menerus membelot harta anak-cucu-cicit sendiri. Pernah juga dia terfikir untuk bermain kotor, dengan lumpur dan tahi. Ya dengan lumpur dan tahi sebagai mana cara permainan Cet Min.

Mereka main keju bawah meja, dia juga mahu main sama. Mereka upah para penyampai berita, dia mahu upah juga. Tapi kata-kata bapanya tidak pernah dilupa.

“Kita ini tikus mulia. Ada kepercayaan, tata-susila dan adat resam yang perlu dijaga. Biar seluruh dunia mula mengabaikannya, kita tetap seperti biasa menjaganya. Kerana kita tikus yang mulia.”

Cet Mus sedar perjuangan yang dibawa sememangnya memerlukan masa yang lama sebelum berjaya. Banyak juga yang perlu dikorban gadaikan. Itu fitrah perjuangan. Dia teringat cadangan anaknya kira-kira seminggu yang lepas. Ketika dia baru sahaja dibebaskan dari penjara –puak-puak Cet Min- atas tuduhan pencabulan.

“Ayah, kita bunuh sahaja Si bedebah Cet Min dan pengikut-pengikutnya yang gila itu. Habis cerita” Cadang anaknya beremosi.

“Jangan. Jangan sesekali pernah terfikir begitu. Mereka juga saudara kita. Cuma mereka sedikit bodoh kerana tidak ada yang mengajar mereka” Dia balas dengan penuh wibawa.

Ya, mereka Cuma sedikit bodoh sahaja. Tidak ada yang sudi mengajar. Atau memang mereka sendiri yang tidak mahu diajar. Pada Cet Mus itu semua tidak penting. Yang penting tugas Cet Mus ialah mengajar mereka. Mengajar tentang adab tata-susila, adat resam dan kepercayaan.

Perjuangan yang hanya tahu mengambil jalan pintas untuk berjaya pasti tidak kekal lama. Kemenangan mungkin mudah dicapai tetapi untuk mengekalkannya agak sulit.
                                                 
                                                                ****

Berita tv 6 jam 8 malam bersiaran. Terpampang megah sosok tubuh Cet Min yang sedang memberi ucapan. Ucapan kepada rakyat tercinta, pengikut tercinta sebenarnya.
  
Undian raya kali ini kamu semua hendaklah memilih saya. Kenapa? Kerana hanya saya yang mampu menguruskan kebajikan kamu semua. Sekiranya saya menang kali ini, saya akan membela nasib ibu-ibu tunggal, fakir miskin akan mendapat bantuan, cukai keju dengan segera akan dikurangkan.

Kumpulan mereka apa yang ada? Dengan masalah barisan pemimpin yang gila betina. Manis air liur daripada tenaga. Kes pencabulan yang tak ketemu akhirnya. Nafsu sendiri pun gagal dijaga, ada hati mahu memimpin kampung kita!

Cet Min dengan bangganya meludahkan kata-kata dustanya. Seperti biasa corak permainannya. Politik kotor, tahi dan lumpur. Enak bicaranya seakan tiada balasan di dunia sana.

Hidup Tuan Min!

Wah, makin kembanglah hidung Cet Min dengan pujian sebegitu rupa. Peduli apa dia dengan kata-katanya. Inikan kampung demokrasi, dia ada hak untuk bebas bersuara. Bebas bersuara untuk mengeji, menuduh, dan mengutuk sesiapa yang dia suka. Mungkin itulah makna kebebasan untuk bersuara padanya.

Kaprangg...Bunyi sebuah objek terhempas ke lantai. Cet Mus yang sejak tadi sibuk membantu tikus-tikus lain membersihkan longkang segera meluru ke arah sumber bunyi. Kelihatan anaknya yang bongsu sedang menendang peti televisyen penuh kebengangan.

Cet Mus terus teringat akan pesanan doktor yang merawat anaknya beberapa pekan yang lepas. Anaknya telah disahkan mengidapi kombinasi penyakit schizophrenia dan pyromania pada tahap ketiga. Seharusnya dia tidak lagi didedahkan dengan perkara-perkara lampau yang boleh mengganggu emosinya.

Dan kerjaya Cet Mus sebagai ahli politik sedikit sebanyak menjadi penyebab emosi anaknya terganggu. Penyakit anaknya semakin memburuk ketika Cet Mus dipenjara. Rakan-rakan sekolah yang sentiasa mengutuk dan mencela bapanya, ahli politik pihak lawan yang sentiasa melempari tuduhan jijik lagi meloyakan, dan guru-guru yang selalu menyindir halus di dalam kelas juga menjadi penyebab keparahan penyakitnya.

Undian raya cuma tinggal seminggu sahaja lagi. Cet Mus semakin bimbang dengan persiapannya. Dia juga bimbang dengan kesihatan anaknya yang semakin menggila. Semenjak dua tiga hari lepas anaknya kerap kali keluar rumah, tidak seperti biasa. Bila ditanya ke mana dia menghilang, katanya pergi berubat. Cet Mus yang sedia tahu ketidakwarasan akal anaknya membiarkan sahaja anaknya keluar kerana dia yakin sebelum senja anaknya pasti akan pulang ke rumah. Itu hasil didikannya sejak kecil lagi.

                                                              ****

Keputusan undian raya diumumkan. Dan seperti yang semua jangkakan, undian Cet Min mendahului undian Cet Mus. Dan seperti biasa juga rusuhan dan tunjuk perasaan berlaku di sana sini. Penyokong Cet Mus dengan slogan perjuangannya dan penyokong Cet Min dengan keegoannya tidak mahu kalah. Ianya hanyalah sebuah proses pengulangan yang hampir tiada makna.

Masing-masing menunding jari ke arah pihak lawan. Kata-kata kesat dan fitnah berdecitan memenuhi segenap ruang bumbung rumah. Kalau rumah ini masih berpenghuni, pasti tuan rumah akan terjaga dari tidur kerana ketakutan. Tuan rumah pasti meneka bahawa ianya ngilaian pontianak twilight dahaga darah. Tidak pun dia pasti menyangka ianya tangisan hantu penanggal kelaparan. Tetapi tuan rumah pasti tidak pernah menyangka bahawa bunyi tersebut lebih teruk dan menakutkan dari ngilaian pontianak dan tangisan hantu penanggal. Suara tuduhan, fitnah, mencarut dan mengutuk sememangnya amat menakutkan.

Pertemuan ringkas kedua-dua belah pihak bertanding diadakan. Cet Min, Cet Mus dan Cit Mun dijemput ke atas pentas oleh pengerusi majlis. Setiap pihak diberi peluang untuk berucap.

Cet Min yang paling awal berucap. Ucapannya dipenuhi sindiran-sindiran halus tepat dihalakan ke kepala Cet Mus. Cet Min agak pandai kali ini. Dia tidak melemparkan kutukan keras dan lantang tetapi secara jenaka sindiran halus yang amat memedihkan.

Giliran Cet Mus pula berucap. Ucapannya penuh semangat berapi-rapi. Tidak dilupakan juga sindiran-sindiran balas kepada pihak lawan. Jangan terkejut, ini perkara biasa dalam dunia politik tikus. Politik tahi dan lumpur juga termasuk dalam kebebasan bersuara. Ini baru demokrasi.

Sebelum majlis ditutup, Cit Mun minta kebenaran untuk berucap seketika. Ah, dia sudah mula mengada! Dia berjalan berlenggang-lenggok ke arah tin pembesar suara. Lagaknya seakan mengejek pihak lawan dan bermegah mahu tunjuk dia yang berkuasa.

“Terima kasih kepada para pengundi yang masih meletakkan kepercayaan kepada kami. Sebagai balasannya kami akan menaikkan peratus gaji bulanan sebanyak 30 peratus bagi sesiapa yang bersedia untuk terus menyokong kami…”. Tebu di bibir lebih manis dari tebu di batas. Janji biasa yang tidak pernah dikotakan.

Belum sempat Cit Mun habis berucap, dari kesesakan tikus yang berkumpul terpancul seekor tikus hitam meluru laju ke arahnya. Tikus itu merampas tin pembesar suara dan mula berucap dengan bahasa yang kadang difahami kadang tidak.

Cet Mus terkejut beruk-walaupun dia tikus- kerana tikus hitam tersebut adalah anaknya. Anak mata terjuling ke atas, tangan tergetar-getar dan mulut berbuih putih. Sah, penyakitnya kembali menyerang.

Dia sedang berilusi. Semua tikus di situ berubah-ubah menjadi manusia. Adakala menjadi tikus, kala lain menjadi manusia. Tika berubah menjadi manusia, tangannya semakin kuat bergetar. Di matanya semua tikus semakin mendekati. Mereka mahu membunuhnya!

Dengan penuh ketakutan dia mengeluarkan sebotol kaca penuh dengan serbuk halus kehitaman. Kelihatannya seperti bom peledak buatan tangan. Dia menciptanya sendiri pada minggu lepas. Ayahnya cuba mendekati untuk menenangkan. Tetapi ayahnya juga dilihat sebagai salah satu tikus yang ingin membunuhnya. Ketakutannya memuncak. Dia bersuara

“Aku sudah bosan dengan semua ini. Kamu semua sudah gila. Lebih gila dari aku yang gila ini. Kalau kamu semua yang waras tidak mampu menyelesaikannya, biar aku yang gila ini menyelesaikannya”. Orang gila dan tikus tiada taklifan. Manusia waras sahaja yang dipertanggung jawabkan atas segala perbuatan yang dilakukan.

Dan dengan penuh keazaman dia menghempaskan botol kaca ke lantai.
 
                                                         ****

Cet Min terjaga dari lena yang panjang. Matanya dibuka perlahan-lahan. Hanya sedikit cahaya yang meluru masuk ke dalam anak mata. Tangan dan kakinya terikat. Belakangnya terasa panas terbakar. Tiba-tiba dia terpusing 180 darjah ke belakang. Mukanya selari dengan graviti.

Dilihatnya ketulan batu dan arang panas merah menyala. Muka terasa kebas seperti dicucuk-cucuk. Kulit di perut terasa hangit dijilat bahang panas batu dan arang. Tiba-tiba sekali lagi dia terputar 180 darjah ke belakang. Kini tulang belakangnya pula digigit kepanasan.

Dari kejauhan samar-samar kelihatan segerombolan makhluk hitam. Tikus-tikus dengan wajah yang menakutkan, tulang pipi yang tersembul keluar dan kerangka dada yang jelas kelihatan. Bibir yang kekeringan menjelaskan lagi taring tajam yang menakutkan.

“Tuan, izinkan kami menjamah sedikit daging dari tubuh tuan. Sudah seminggu kami tidak menjamah sebarang makanan. Semua keju kami habis digunakan untuk membayar makan minum, golf, perjudian, pakaian dan perhiasan rumah tuan. Dan termasuk juga pewarna kuku isteri tuan.”

“Tidak. Jangan. Saya ada banyak lagi keju simpanan untuk kamu semua. Kalau kamu mahu saya boleh berikannya percuma kepada kamu. Kamu boleh ambil semuanya..” Dia menjerit sekuat hatinya. Tapi malang jeritannya hanya tersekat dikerongkong. Tidak sampai ke lidah dan keluar menjadi sebuah suara. Suara rayuan.

Cet Min sekali lagi terjaga dari pengsan. Kini dia di alam nyata. Tubuhnya penuh dibaluti dengan kain putih kecuali bahagian muka. Kelihatan para jururawat sedang rancak berbual. Dia memandang ke sebelah kanan. Kelihatan Cet Mus juga terbaring dan berbalut kain putih sepertinya. Dia memandang ke sebelah kiri. Isterinya juga sama.

Letupan kecil yang berlaku seminggu lepas tidak mengorbankan sebarang nyawa kecuali seekor. Anak Cet Mus yang gila itu sahaja. Cet Min teringat akan mimpinya. Rasa sesal dan bersalah mula menguasainya.

* Cerita rekaan semata-mata. Harap dapat memberi kritikan yang membina ^^ *

10 ulasan:

  1. nk bertaubat x kira muda or tua.. hehehehee..jgn menyesal di kemudiaan hari ^^

    BalasPadam
  2. betul3..moga tak termasuk dalam golongan yg menyesal di kemudian hari.

    BalasPadam
  3. moge2 kite semua tak termasuk dlm golongan itu ;)

    BalasPadam
  4. hidup cet mus!!!

    BalasPadam
  5. prince, aishah, jejaka..terima kasih kerana sudi baca. Moga bermanfaat ^_^

    BalasPadam
  6. Salam.

    Wah. Kenapa rasa sangat mendalam cerpen ni. Bahasa kamu pun sangat bagus. Kagum. Thumbs up*

    BalasPadam
  7. CP
    Wsalam.

    Terima kasih sebab sudi baca. Doakan saya mampu istiqamah dan buat lebih baik ya. ^^

    BalasPadam
  8. Hallo assalamualaikum,sobat cerpennya sudah bagus,silakan teruskan berkreasi,kami akan selalu menunggu cerpen,puisi mendatang salam............

    BalasPadam
  9. sulton..

    Wsalam, terima kasih. I.Allah. Doakan saya lebih bersungguh.

    Jemput baca lagi ya. Salam perkenalan dari tanah seberang.

    BalasPadam

Ajari Saya Menulis. Harap dapat memberi Kritikan-kritikan yang membangun.